WASHINGTON : Setelah dikritik lembab bertindak menangani wabak Covid-19, akhirnya Presiden Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Pengisytiharan pada Jumaat itu membolehkan bantuan berskala besar di peringkat persekutuan, bagi memerangi virus yang sudah menjangkiti 138,000 penduduk dunia dan meragut lebih 5,000 nyawa.
“Untuk membolehkan kerajaan persekutuan memperoleh kuasa penuh, saya dengan ini mengumumkan darurat nasional, dua perkataan yang membawa makna sangat besar,” kata Trump dalam ucapannya di Rumah Putih.
Setakat ini di AS, lebih 2,000 kes dilaporkan dengan jumlah kematian 43 orang.
Reuters melaporkan, Trump mengingatkan, situasi di AS boleh menjadi lebih buruk dan tempoh lapan minggu akan datang adalah fasa paling kritikal.
Trump sebelum ini dikritik kerana terlalu lembab dan tidak efektif dalam menangani krisis terbabit, sekali gus mengurangkan ancaman COVID-19.
Dua hari lepas Trump mengumumkan larangan perjalanan dan menyekat semua pintu masuk ke AS ke atas sebahagian besar penduduk dari benua Eropah.
Walaupun setakat ini Britain dikecualikan dari larangan itu, beliau berkata keputusan berkenaan mungkin diubah selepas mengambil kira jumlah jangkitan yang semakin meningkat di negara terbabit.
Menurut beliau, kerajaan persekutuan dan sektor swasta akan bekerjasama dalam meningkatkan pengeluaran kit ujian bagi membolehkan ia diperoleh semua rakyat Amerika secara lebih mudah.
Kesan wabak terbabit ke atas kos ekonomi global setakat ini masih belum diketahui namun larangan perjalanan yang dikenakan memberi kesan besar kepada syarikat penerbangan dan agensi pelancongan, manakala pasaran kewangan dilanda penjualan panik.
(GAMBAR HIASAN LAPORAN AKHBAR 7 MAC 2020)