Covid-19 : Manila ‘berkurung’ sebulan waktu malam

 

MANILA: Selama sebulan, jika peraturan perintah berkurung dipatuhi, suasana malam di Manila akan bertukar sepi mulai malam esok dalam usaha membendung penyebaran wabak Covid-19.

Datuk Bandar untuk 16 buah bandar raya di Metro Manila mengarahkan penduduknya untuk berkurung pada waktu malam dan pusat membeli belah tutup selama sebulan selepas Filipina mencatatkan lapan kematian akibat Covid-19.

Jabatan Kesihatan Filipina mengesahkan tiga kematian baharu, termasuklah seorang pesakit di selatan Filipina.

Presidennya, Rodrigo Duterte menaikkan status kecemasan kesihatan negara ke tahap tertinggi dan mengeluarkan langkah kuarantin di ibu negara dan di rumah kepada sekurang-kurangnya 12 juta orang.

Jika semua langkah keselamatan dilaksanakan sepenuhnya, ini akan menjadi antara negara paling ketat di Asia seperti di negara Eropah dan Amerika Syarikat yang sedang bergelut membendung pandemik yang membunuh sekurang-kurangnya 5,000 orang seluruh dunia.

“Untuk mengehadkan penyebaran virus itu, kita perlu hadkan pergerakan setiap orang dan itu yang sedang kita laksanakan di Metro Manila,” kata Pengurus Besar Metropolitan Manila Development Authority, Jose Arturo Garcia.

Presiden mengeluarkan arahan sekatan perjalanan udara dan darat yang bermula 15 Mac ini dan penutupan sekolah dilanjutkan sehingga 12 April.

Tempoh berkurung pada waktu malam akan bermula 15 Mac hingga 14 April, tetapi sebahagian pekerja dikecualikan, tetapi sesiapa yang melanggar arahan tidak akan ditangkap.

Datuk Bandar akan mengeluarkan ordinan tempatan untuk penutupan sementara pusat beli belah kecuali kedai yang menawarkan barang keperluan, bank dan farmasi.

(MUKA depan akhbar Filipina minggu lepas)

Related posts

Leave a Comment