Penularan Covid-19 berterusan

COVID-19 telah menyebabkan 3,964 kematian di seluruh dunia dengan jumlah kes 113,255 yang merangkumi 101 negara dan wilayah. Kelmarin, 4,233 kes baharu dan 173 kematian dilaporkan.

China – tidak termasuk wilayah Hong Kong dan Macau – di mana wabak itu muncul pada akhir Disember lalu mempunyai 80,735 kes, di mana 3,119 maut. Kelmarin terdapat 40 jangkitan baharu dan 22 kematian dilaporkan.

AFP melaporkan, di luar China, sejumlah 32,520 kes telah direkodkan di seluruh dunia sejak wabak itu bermula, termasuk 845 kematian. Jumlah kes baharu adalah 4,193, dengan 151 kematian.

Negara yang paling terjejas selepas China adalah Itali (9,172 kes, 463 kematian), Korea Selatan (7,382 kes, 51 kematian), Iran (7,161 kes, 237 kematian) dan Perancis (1,191 kes, 21 kematian).

Kelmarin China, Itali, Iran, Korea Selatan, Perancis, United Kingdom, Iraq dan Switzerland telah mencatatkan kematian baharu.

Jerman melaporkan dua kematian pertamanya. Albania dan Cyprus mengesahkan kes COVID-19 pertama di wilayah mereka.

Asia mencatatkan jumlah keseluruhan 89,913 kes (3,188 kematian), Eropah 14,868 kes (511 kematian), Asia Barat 7,576 kes (244 kematian), Amerika Syarikat (AS) dan Kanada 614 kes (16 kematian), Oceania 98 kes (tiga kematian ), Amerika Latin dan Caribbean 93 kes (satu kematian), Afrika 93 kes (satu kematian) setakat semalam.

Penilaian itu dijalankan menggunakan data yang dikumpulkan oleh pejabat AFP dari pihak berkuasa negara dan maklumat dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, Reuters melaporkan, Iran membebaskan sementara kira-kira 70,000 banduan sebagai langkah memerangi penularan Covid-19 di dalam penjara.

Ketua Hakim, Ebrahim Raisi, berkata pembebasan sementara banduan akan diteruskan ‘selagi ia tidak menimbulkan ancaman keselamatan dalam masyarakat’.

Setakat ini Iran melaporkan 595 kes baharu dan 43 lagi kematian dalam tempoh 24 jam. Ia menjadikan jumlah jangkitan coronavirus mencecah 7,161 kes dengan 237 kematian.

Related posts

Leave a Comment