AYER KEROH: Salah satu janji Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md. Ali yang baharu mengangkat sumpah jawatan semalam, Sulaiman Md Ali, adalah untuk memberi perhatian terhadap isu catuan bekalan air.
Memang isu ini mendapat perhatian penduduk yang sudah ‘letih’ dengan catuan, sekejap ada, sekejap tidak ada. Bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga para pelawat yang bercuti di Melaka.
Baru-baru ini ketika berkunjung ke sebuah masjid untuk solat, air kolah tinggal sedikit. Terpaksa jimat. Di sebuah medan selera, nak basuh tangan pun tak ada air sedangkan kita digalakkan membasuh tangan ketika wabak Covid-19.
Sulaiman seperti dilaporkan akan mendapatkan penjelasan mengenai situasi itu khususnya daripada pihak pengurusan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).
Isu air semakin membebankan pengguna berikutan catuan selang sehari sejak 29 Januari lalu menyukarkan pengguna menjalani kehidupan. Catuan dimulakan dengan kaedah catuan selang sehari, mulai 10 pagi hingga 10 pagi keesokannya.
Semalam, catuan memasuki fasa keempat hingga 22 Mac ini membabitkan pengguna domestik, perkilangan dan pusat pelancongan tetapi ia tidak membabitkan hospital awam dan swasta.
Apa pun, eloklah Sulaiman diberi ruang untuk melihat perkara ini dengan teliti kerana isu catuan air membabitkan kepentingan semua pihak.
Isu ini berlanjutan lebih-lebih lagi paras air di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan masih belum menunjukkan peningkatan berikutan ketiadaan hujan sejak awal Januari lalu.
Apa pun, tahniah kepada Sulaiman, ADUN Lendu yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 semalam.
Beliau menggantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, ADUN Bukit Katil yang terpaksa mengosongkan jawatan itu setelah kerajaan PH tumbang berikutan perubahan kerajaan Persekutuan dan sokongan ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee (DAP) dan ADUN Rembia, Muhammad Jailani Khamis (PKR) yang menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional.
Sulaiman, 55, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah adalah anak kelahiran Jalan Bangsal Rebah, Kampung Durian Daun, Masjid Tanah. Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri pada 2014-2018.
Beliau mempunyai kelulusan Profesional Sarjana Pengurusan, Pesuruhjaya Jaminan Kualiti (QAC) dari United Kingdom, memiliki kelulusan latihan di Akademi Laut Malaysia (ALAM) serta berpengalaman dalam bidang industri minyak dan gas selama 25 tahun membabitkan syarikat PETRONAS Carigali, ExxonMobil dan Industri Pembangunan Minyak dan Gas.