SUATU masa dulu, pada hari ini Jumaat, setiap petang akan berlangsung Busking Bersama Buskers. Melalui inisiatif Utusan online, bergilir-gilir buskers dijemput. Sambil mempromosi penggiat seni terutama muka-muka baharu, ia juga pentas untuk menghiburkan kakitangan sambil minum petang di kafe Kak Ani.
Saya jarang mengikuti persembahan ini kerana cuti hujung minggu saya adalah setiap Jumaat dan Sabtu. Kadang-kadang jika bertugas Jumaat dapatlah menyaksikan persembahan itu . Hanya ‘curi-curi’ kerana ketika itu adalah waktu sibuk di editorial. Boleh juga ikuti melalui online.
Kini sudah lama setiap Jumaat, panggung ini terbiar sepi, sama seperti sepinya bangunan Utusan yang masih gagah berdiri tetapi kosong. Tidak ada lagi buskers yang mahu menghiburkan kerana tidak ada lagi yang mahu berhibur atau menghiburkan diri. Semua yang dulu berhibur kini berduka mengenangkan untung nasib mereka.
Di Panggung Utusan yang merupakan sebuah pentas kecil, tersemat dua plak atau papan batu tanda perasmian bangunan lama Utusan.
Pertama sebagai tanda peringatan perasmian bangunan Utusan oleh Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 6 Februari 1958. Kedua papan tanda
perasmian bangunan tambahan Utusan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra pada 9 Februari 1965.
Untuk rekod bangunan lama serta bangunan tambahan Utusan di Jalan Lima melalui Jalan Chan Sow Lin kini terbiar. Keadaannya semakin teruk selepas semua petugas berpindah ke bangunan baharu. Sejak utusan masih hidup tidak ada usaha untuk memuliharanya. Mungkin kerana tidak ada wang atau tidak ada inisiatif pihak berkenaan untuk menjaga warisan ini.
Berbalik ke Panggung Utusan, latar belakang pentas dihiasi gambar-gambar lama dan baharu mengenai Utusan termasuk perasmian oleh Tunku. Sambil berhibur, sekurang-kurangnya generasi baharu Utusan tahu asal-usul Utusan serta mereka yang memainkan peranan melahir dan menghidupkan Utusan. Kata orang, biar gambar berbicara.
Kini Utusan sudah tidak ada. Saya tidak pasti sama ada bahan-bahan di kawasan Panggung Utusan masih ada di situ atau sudah dipunggah ke dalam lori. Maknanya berpindah tangan sama ada dilelong atau diambil begitu sahaja. Ini adalah sebahagian khazanah Utusan yang saya tulis semalam yang patut ditempatkan di satu galeri khas sebagai tanda mengingati sejarah Utusan.
Tetapi siapa yang mahu ambil peduli hal ini? Mungkin kebanyakan orang tidak melihat dari sudut sejarah. Keutamaan kepada bangunan yang masih ada untuk dijual. Bagi mereka itu lebih penting.
Apa pun, bangunan lama bertahan lebih lama dan banyak jasanya. Di situ Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo Ahad! terus hidup dan bergerak ke hadapan. Sebaliknya bangunan baharu hanya mampu bertahan tidak sampai 10 tahun.
Di situ Utusan dimatikan di sebalik kisah ‘dongeng’ kononnya bangunan lama akan ‘berwajah baharu’ setanding bangunan lama. Bangunan baharu Utusan masih gagah berdiri di situ. Nampak indah dan hebat di luar tetapi di dalamnya sudah kosong. Sedang menunggu untuk bertukar tangan.
Sementara Utusan Malaysia pula akan dihidupkan semula. Tidak pasti bila. Mungkin pada ulang tahun kelahirannya pada bulan Mei. Sama-sama kita nantikan bagaimana Utusan dipentaskan semula di panggung yang lain.