Idrus ganti Thomas

PUTRAJAYA 6 Mac – Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata pelantikan Idrus telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah juga memperkenankan permohonan Tan Sri Tommy Thomas untuk memendekkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara berkuat kuasa pada 28 Februari 2020 selaras dengan Fasal (5) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 28 Februari lalu, Tommy Thomas telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

Thomas, 68, dilantik oleh Dr Mahathir pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua penggal untuk menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Tempoh jawatan Thomas berakhir pada Jun tahun ini.

Related posts

Leave a Comment