TENTERA Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan ia melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) berhampiran Selat Hormuz.
Dalam satu kenyataan, IRGC memaklumkan, operasi itu dilancarkan selepas apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran gencatan senjata oleh AS.
Ia susulan serangan terhadap sebuah kapal tangki minyak Iran berhampiran pelabuhan Jask serta pergerakan kapal pemusnah AS menuju ke laluan perairan strategik itu.
Tentera Iran melaksanakan “operasi gabungan berskala besar dan tepat” menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah antikapal dan dron berisi bahan letupan yang menyasarkan kapal pemusnah AS.
Menurut IRGC, penilaian risikan menunjukkan kapal AS berkenaan mengalami “kerosakan ketara”, manakala tiga kapal pemusnah berundur dari kawasan Selat Hormuz.
Media Iran melaporkan pasukan tentera laut negara itu menyasarkan tiga kapal pemusnah AS berhampiran Selat Hormuz menggunakan peluru berpandu dan dron selepas apa yang didakwa sebagai serangan AS terhadap sebuah kapal tangki minyak Iran.
