Tiga pemimpin DAP saman Dr Mastura

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Tiga pemimpin DAP memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad berhubung ucapan beliau dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman, awal bulan ini.

Saman itu difailkan oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng, bapanya Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim melalui firma SN Nair & Partners pada 27 November lepas di Mahkamah Tinggi Georgetown.

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November lepas, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.

Menurut plaintif, kenyataan Siti Mastura juga mengandungi butiran bahawa mereka adalah musuh negara serta tidak mempunyai kesetiaan kepada Raja dan negara selain warganegara yang tidak setia dan mengamalkan ideologi terlarang.

Plaintif mendakwa kenyataan itu turut mengandungi butiran bahawa mereka membawa ancaman kepada keselamatan negara selain dakwaan mereka adalah sebahagian daripada agenda ‘Klan Lim’ untuk membentuk sistem karde, iaitu istilah yang biasa digunakan dalam struktur parti komunis, oleh DAP bagi menyebarkan ideologi dan falsafah komunis di negara ini.

Ketiga-tiga ahli politik menegaskan bahawa dakwaan defendan adalah tidak berasas, palsu serta berniat jahat kerana sengaja mengaitkan mereka dengan parti komunis dan Chin Peng.

Ketiga-tiga plaintif dalam pernyataan tuntutan menyatakan, tindakan defendan jelas sekali didorongi dengan tipu muslihat untuk mendapatkan publisiti bagi menaikkan imej parti politik defendan.

Menurut pernyataan tuntutan itu, petikan ucapannya kemudian dimuat naik di TikTok dua hari kemudian.

“…yang telah mendapat tontonan melebihi 17,200 kali, 496 komen, melebihi 294 butang ‘likes’, melebihi 70 butang ‘saved’, dan 178 kali perkongsian setakat tarikh pemfailan tindakan ini,” menurut pernyataan itu.

Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan sama.

Related posts

Leave a Comment