Anwar menanti peluang berulang

ANWAR Ibrahim terpaksa menunggu peluang seterusnya untuk menduduki kerusi Perdana Menteri (PM). Mungkin yang kesembilan atau ke-10. Anwar yang begitu menonjol untuk mengambil alih jawatan daripada Dr. Mahathir Mohamad sebagai PM ke-5 tidak lama dulu sudah tentu tidak akan berputus asa. Jika lebih 20 tahun boleh menunggu, kenapa tidak terus menanti? Biar masa menentukannya.

Peluang ini terbuka kepada semua. Lihat sahaja Muhyiddin Yassin yang mungkin tidak pernah terduga untuk sampai ke tahap ini selepas dipecat tetapi akhirnya berada di kedudukan itu.  Anggaplah bahawa kekuasaan itu ada pada Allah. Allah akan memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia suka atau kehendaki.

Justeru, buatlah apa juga kaedah, ‘helah atau komplot’  untuk mendapatkan kuasa itu tetapi akhirnya terserah kepada ketentuan Allah.

Muhyiddin adalah antara mantan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang akhirnya menduduki kerusi PM yang kelazimannya pernah menduduki kerusi No.2 dalam kerajaan. Jika diselak kembali sejak PM pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, TPM ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein juga menjadi PM. Bagaimanpun Timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan.

Berikutan kematian Dr. Ismail, jawatan TPM diserahkan kepada Tun Hussein Onn  dan kemudiannya sebagai PM berikutan kematian Abdul Razak. Apabila Hussein dilantik sebagai PM ke-3, Dr. Mahathir dilantik sebagai TPM. Persaraan Hussein membuka peluang untuk Dr. Mahathir dilantik sebagai PM.

Maknanya tiga TPM yang sedang berkhidmat kepada PM berjaya menjadi PM walaupun ia bukannya satu kemestian.

Sebaliknya ketika era PM Ke-4, yang mempunyai empat TPM sepanjang pentadbirannya, hanya seorang berjaya menduduki kerusi PM selepas persaraan Dr. Mahathir. Beliau adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dua lagi TPM adalah Tun Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba yang meletak jawatan manakala Anwar pula dipecat.

Musa yang menjadi TPM pertama kepada Dr. Mahathir meletak jawatan apabila berlaku krisis dengan PM. Ghafar yang dikenali sebagai tokoh penstabil politik, juga meletak jawatan bagi memberi laluan kepada kumpulan yang dianggap sebagai pendesak UMNO diketuai Anwar. Ghafar memberi laluan mudah kepada Anwar untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden UMNO seterusnya TPM.

Namun selepas 16 tahun dalam Kabinet, Anwar dipecat atas alasan moral sehingga Dr. Mahathir memberitahu bahawa “Anwar tidak layak menerajui negara”. Nampaknya kata-kata itu ‘masin’ apabila jawatan PM terlepas lagi walaupun Dr. Mahathir sudah ‘menerima’ Anwar melalui Pakatan Harapan (PH).

Pemecatan Anwar memberi laluan kepada Abdullah, untuk dilantik sebagai TPM seterusnya menjadi PM ke-5 apabila Dr. Mahathir bersara.

Abdullah melantik Najib Razak sebagai TPM seterusnya Ahli Parlimen Pekan itu menggalas tanggungjawab sebagai PM ke-6. Najib melantik Muhyiddin sebagai timbalannya. Berikutan pemecatannya pada Jun 2016 angkara isu 1MDB, Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik ke jawatan itu sehinggalah penguasaan UMNO berakhir pada pilihan raya umum lalu.

Kemenangan PH pada PRU lalu membuka laluan terbaik kepada mana-mana pemimpin (selain Dr. Mahathir) parti komponen PH – PKR, DAP, Amanah, Bersatu – untuk menjadi PM. Anwar juga ‘layak’ tetapi ada halangan kerana ketika itu masih terikat dengan hukuman penjara.

Andai Anwar berada di luar semasa PRU lalu, jawatan PM ketujuh adalah miliknya. Maksud di luar itu terlepas daripada sekatan akibat hukuman penjara. Malangnya ketika PRU, beliau masih dipenjara. Mengikut undang-undang, beliau perlu menunggu lima tahun sebelum boleh bertanding PRU.

Anwar bernasib baik kerana mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong (Pengampunan Diraja) dan boleh bertanding pilihan raya. Bagi tujuan itu, seorang ahli Parlimen PKR iaitu dari Port Dickson sanggup menawarkan diri mengosongkan kerusi. Anwar bertanding pilihan raya kecil dan menang.

Kemenangan itu meletakkan beliau dalam keadaan selesa untuk menjadi PM separuh penggal, selepas Dr. Mahathir menyerahkan jawatan itu seperti dipersetujui PH. Mulanya dijadualkan Mei ini tetapi dilanjutkan sehingga November.

Malangnya hasrat itu tidak kesampaian. Akibat ada yang membuat desakan berhubung jawatan itu dan beberapa pertikaian lain, perancangan awal tidak menjadi kenyataan. Bukan setakat jawatan PM separuh penggal atau 21 bulan malahan  keseluruhan anggota Kabinet hilang jawatan.

Begitulah senarai penyandang jawatan TPM serta kejayaan dan kejatuhan mereka.

Secara keseluruhannya, daripada 12 TPM di bawah tujuh PM, enam orang berjaya menduduki kerusi PM. Lima lagi (tidak termasuk Dr. Ismail yang meninggal dunia semasa berkhidmat) gagal menjadi PM iaitu Musa, Ghafar, Anwar, Zahid. Terkini, isteri Anwar iaitu Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Jika Anwar masih mencari-cari jawatan PM, Wan Azizah hanya mampu bertahan 21 bulan untuk jawatan TPM.

Sama-sama kita tunggu dan lihat langkah Anwar seterusnya. Jika Muhyiddin mencatat sejarah dipecat sebagai TPM yang mewakili UMNO tetapi kembali sebagai PM mewakili Bersatu, bagaimaba pula Anwar? Sejarah apa yang akan dicipta oleh Anwar? Mungkinkah persidangan Dewan Rakyat pada Mei ini akan mencatatkan satu lagi sejarah baharu?

Related posts

Leave a Comment