50 kes Covid-19 di Malaysia

JUMLAH kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 50 kes berikutan 14 kes baharu dilaporkan sehingga tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata gelombang pertama Covid-19 di Malaysia, merangkumi 22 kes yang kesemuanya telah sihat dan dibenarkan pulang.

Gelombang kedua Covid-19 bermula pada 27 Februari sehingga 4 Mac, dengan mencatatkan 28 kes positif iaitu kes ke-23 sehingga kes ke-50.

Bagi gelombang kedua terdapat satu kluster Covid-19 yang melibatkan kes positif ke-26 manakala kes positif ke-31 hingga kes ke-50 merupakan kontak rapat kepada kes positif yang ke-26.

Berdasarkan siasatan dan pengesanan kontak yang telah dijalankan sehingga kini terdapat 215 kontak rapat kes positif ke-26 yang dikesan.

“Daripada jumlah kontak rapat itu, 16 kes dikesan positif COVID-19, 19 adalah negatif dan 180 menunggu keputusan,” katanya lagi.

Siasatan mengenai kluster ini masih diteruskan dan Kementerian berharap semua pihak dapat bertenang dan sentiasa bekerjasama memberi maklumat yang tepat apabila dihubungi dan dikenal pasti sebagai kontak rapat.

Sementara itu, kementerian dengan kerjasama pihak swasta, akan menjalankan perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 di rumah orang awam, yang ingin menjalankan ujian pengesanan COVID-19, di mana caj akan dikenakan.

Related posts

Leave a Comment