Semoga Johor stabil

ADAKAH kerajaan Negeri Johor berada dalam keadaan stabil? Jika tidak, siapakah dalam tempoh sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang bakal menjadi ‘penyelamat’ bagi menstabilkan kerajaan?

Maksudnya ‘penyelamat’ yang akan menyelamatkan kedudukan kerajaan sekarang atau sebaliknya. Ia melibatkan kedua-dua belah pihak. Atau adakah satu pilihan raya negeri boleh diadakan bagi merungkai persoalan?

Walaupun Gabungan Baharu -BN, Bersatu, Pas- telah disahkan sebagai kerajaan, kedudukan kerusi ‘yang terikat’ boleh menimbulkan masalah pada masa hadapan.

Kedudukan Gabungan Baharu dan Pakatan Harapan (PH) adalah 28:28 dan ini sudah tentu menyukarkan urusan pentadbiran terutama berkaitan kelulusan rang undang-undang dan sebagainya di Dewan Undangan Negeri.

Apa pun Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, telah membuat pilihan dan keputusan. Semua pihak harus menghormati keputusan itu bagi meneruskan agenda pembangunan negeri. Jangan kerana sengketa politik, rakyat terabai.

Istana Johor dalam satu kenyataan sebelum itu berkata Bersatu dan BN mempunyai majoriti mudah iaitu 28 kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan “Gabungan Baharu” berbanding PH dengan 26 kerusi, selepas temu bual baginda Sultan dengan 54 daripada 56 ADUN Johor.

Sementara PH pula mendakwa mempunyai bilangan yang sama dan menegaskan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pakatan itu akan terus kekal bersama PH.

Bagaimanapun PH mengambil maklum pelantikan Hasni Mohammad iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, sebagai Menteri Besar negeri itu yang ke-18.

“Kami berpandangan bahawa keadaan buntu ini akan menyukarkan urusan yang memerlukan kelulusan Dewan Negeri,” kata PH dalam satu kenyataan.

Ketika ini juga keadaan politik yang tidak menentu di peringkat Pusat boleh mengubah landskap politik di peringkat negeri.

Hasni, 61, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu (ke-18) di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pada Jumaat (28 Februari) untuk menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu.

Pelantikan Menteri Besar ini adalah yang ketiga selepas pilihan raya umum lalu. Menteri Besar pertama atau ke-16 adalah  Osman Sapian yang memegang jawatan itu tidak sampai 11 bukan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei 2018.

Selepas peletakan jawatannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 pada 14 April 2019.

Related posts

Leave a Comment