Mesyuarat 6 Jun tentukan PRK Sungai Bakap

KUALA LUMPUR 27 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) 20 Sungai Bakap pada 6 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pihaknya sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Pulau Pinang,  Law Choo Kiang, berhubung kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Katanya, kekosongan kerusi N20 itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan dipastikan oleh pihaknya, sebagaimana diperuntukkan bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat 6 Jun ini.

Terdahulu, Choo Kiang menyerahkan notis kekosongan DUN Sungai Bakap kepada Pengarah SPR Pulau Pinang, Dr Siti Nazariah Abdul Zalim, di pekarangan bangunan DUN Pulau Pinang, di sini, kira-kira pukul 2 petang.

Nor Zamri, 56, meninggal dunia pada Jumaat lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya (HSJ), kerana mengalami keradangan dalam perut. Allahyarham menerima rawatan sejak awal bulan ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, dengan majoriti 1,563 undi.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment