LAKSA Redup Rimba. Lokasi Redup Rimba Corner ini terletak di kiosk Tasik Cempaka, kawasan rekreasi di Persiaran Pusat Bandar, Bandar Baru Bangi. Lebih mudah panduannya, adalah bersebelahan Perpustakaan Awam Bangi atau berhadapan Pusat Pentadbiran dan Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat. Di sini popular dengan laksa dan cendol sama ada cendol biasa, cendol pulut atau cendol tapai. Minuman lain juga dijual. Ketika ini ada juga nasi ayam dan bihun sup serta kuih muih Melayu. Waktu perniagaan antara 11 pagi hingga 7 petang (bergantung keadaan) setiap Sabtu hingga Khamis. Cuti pada hari Jumaat.
Dulu gerai ni terletak di jalan ke Bangi Lama. Lokasi lama ini memang redup dan nyaman kerana kedudukannya di tepi hutan, jalan menghala ke Lembaga Atom dan Pusat Nuklear Malaysia. Di situ sekali sekala kedengaran bunyi cengkerik dan kelihatan juga monyet bergayutan. Waktu tu, susah nak parking kereta kerana kedudukan di tepi jalan. Nak dapat tempat duduk juga sukar. Jika tidak ada pilihan, bungkus sahaja. Berbanding sekarang, lebih banyak kerusi meja dan tempat letak kereta bagi kemudahan orang ramai.