Jumlah kes kini 1,555,093

PUTRAJAYA 22 Ogos – Kes jangkitan baharu Covid-19 menunjukan sedikit penurunan hari ini apabila 19,807 kes dilaporkan berbanding 22,262 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,555,093 kes.

Katanya, sebanyak 262,255 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini iaitu 1,026 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 496 kes daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata daripada kes baharu yang dikesan hari ini, 19,464 kes bersamaan 98.3 peratus adalah mereka dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyi gejala serta bergejala ringan.

“Selain itu, 343 kes atau 1.7 peratus lagi adalah kes dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen atau berada dalam keadaan kritikal.

“Secara keseluruhannya, 16,368 kes iaitu 82.6 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini tiada atau belum lengkap vaksinasi,” katanya.

Sementara itu, mengenai 232 kes kematian yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, 43 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) iaitu membabitkan 32 warganegara serta 11 lagi warga asing.

Selangor kekal mencatat kes kematian tertinggi iaitu 94 kes dilaporkan diikuti, Johor (64), Sabah (16), Kuala Lumpur (15), Kedah (11), Kelantan (sembilan), Pulau Pinang (lapan), Perak (lima), masing-masing tiga kes di Melaka dan Negeri Sembilan, Terengganu (dua) serta masing-masing satu di Sarawak dan Pahang.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kluster terdapat sedikit penurunan iaitu sejumlah 24 kluster baharu dikesan yang membabitkan 12 di tempat kerja, dalam kalangan komuniti (11) dan kumpulan berisiko tinggi (satu). Pertambahan kluster berkenaan sudah menjangkiti 661 kes.

Beliau juga memaklumkan sehingga pukul 12 tengah hari ini, terdapat 18,200 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada Covid-19 ialah 1,278,670 kes.

Related posts

Leave a Comment