Ismail kekal MB Negeri Sembilan

SEREMBAN 20 Nov. – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menitahkan supaya Ismail Lasim yang dilaporkan meletak jawatan baru-baru ini terus kekal sebagai Menteri Besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu memaklumkan demikian dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini, pagi tadi.

Sesi menghadap Tuanku Muhriz yang bermula pukul 10.30 pagi selesai pada pukul 11.35 pagi.

Justeru Ismail, 67 menegaskan akan memberikan komitmen untuk terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.

Beliau juga menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 November lalu.

“Saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz. Malahan, saya pun tidak menghantar surat berkenaan (ke Istana Negeri Sembilan), ” katanya.

Isnin lalu, Ismail dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos lalu.

Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada hari yang sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut melanda negeri itu, dengan sesi menghadap berlangsung dari kira-kira 5 petang hingga 6.30 petang.

Ismail menjelaskan , walaupun surat peletakan jawatan itu sememangnya wujud dan kini disimpan pimpinan parti, beliau tidak memberikan sebarang persetujuan untuk surat berkenaan dihantar kepada Tuanku Muhriz dalam keadaan sedemikian.

“Surat peletakan jawatan itu memang ada, disimpan oleh pimpinan parti tapi saya tak pernah bersetuju ia dihantar dalam keadaan begini,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dr Zambry Abd Kadir, memaklumkan bahawa pihaknya menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang didakwa bertarikh 16 November 2026 dan diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Ismail berkata, menjadi keutamaan beliau untuk melantik barisan Exco bagi memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri lancar.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri lebih penting kerana ia membabitkan kepentingan rakyat, malah perkara tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) .
“Pentadbiran kerajaan negeri ini sekarang ini banyak yang terganggu kerana tiada EXCO susulan pemecatan 10 Exco dilantik sebelum ini akibat kenyataan mereka pada 16 September lalu.

“Itu sebenarnya inti pati yang dilihat kerajaan negeri seperti terjejas. Saya akan pastikan dengan perkenan istana untuk kita melantik semula (Exco) yang baharu supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat bergerak,” katanya.

Menurutnya, nama-nama barisan Exco berkenaan akan dibawa bagi perkenankan Tuanku Muhriz dan urusan mengenainya akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Kemungkinan perkara ini (pelantikan Exco) akan diselesaikan dalam minggu ini,” katanya.

Mengenai hasrat kerajaan negeri untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 26 November ini, Ismail berkata, pihaknya mahu menyelesaikan pelantikan Exco terlebih dahulu.

Beliau berkata, persidangan DUN masih mempunyai masa kerana 26 November itu adalah cadangan awal kerajaan negeri dan ia akan tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.

“Jika kita nak anjakkan ke bulan berikutnya pun boleh, banyak masa lagi, tapi itu langkah berikutnya selepas kita selesaikan dulu pelantikan Exco, namun dalam masa terdekat juga lah (bincang persidangan DUN,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment