Koleksi larangan merokok

SELAMAT datang 2019. Hari ini bermula penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran terbuka. Pengusaha dan pemilik kedai makan dan restoran perlu menaikkan tanda DILARANG MEROKOK selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok. Perokok sudah tentu gelisah lebih-lebih lagi yang gemar lepak waktu malam sambil menonton bola sepak. Mereka bukan sekadar minum segelas teh tarik dan sekeping roti canai tetapi menghabiskan dua tiga batang rokok sebelum beredar. Kenapa terlalu sukar untuk tidak merokok di premis seumpama itu?

Restoran bukan hanya tempat makan dan minum. Jika sekadar makan minum, mungkin tidak timbul masalah tetapi tabiat merokok sesudah itu yang menimbulkan keresahan. Ketagihan tidak dapat dielakkan. Selagi tidak merokok, maka selama itu perokok tidak bangun meninggalkan kerusi. Lebih-lebih lagi apabila hari hujan, makin lama melekat di kerusi dan semakin banyak rokok dihisap. Setiap orang ada hak, perokok dan bukan perokok. Bukan perokok berhak menjamu selera tanpa gangguan asap rokok atau baunya yang ‘memudaratkan’. Bagi yang alah dengan bau ini, mereka tidak akan selesa. Hilang ‘selera’ makan atau cepat-cepat makan dan cabut. Perokok pula ada hak melepaskan ketagihannya atau kebiasaannya.

Hakikatnya peraturan atau larangan merokok di premis makanan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sudah lama cuma kini diperluaskan. Bagaimanapun sikap tidak peduli dan tanpa disusuli penguatkuasaan menyebabkan peraturan itu diabaikan. Peraturan yang mahu mendidik dipandang sepi. Dalam sesetengah perkara, masyarakat hanya terdidik dengan penguatkuasaan undang-undang. Peraturan tanpa penguatkuasaan tidak dipedulikan. Hari ini peraturan lebih tegas tetapi masih ada kelonggaran. Perokok boleh merokok tetapi hanya dibenarkan di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Berapa ramai yang akan patuh atau pura-pura tidak tahu berhubung larangan ini? Pemerhatian hari ini, tidak sukar untuk mematuhinya. Ambil contoh perangkap had laju. Ketika melintasi kawasan kamera ini, pemandu memperlahankan kenderaan mengikut had laju tetapi sesudah itu, mereka pecut. Amat sukar untuk mendidik masyarakat menghormati peraturan atau undang-undang lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan isu hak dan kebebasan. Akhirnya undang-undang dan peraturan tidak akan ke mana. Sebuah NGO iaitu Pertahankan Hak Perokok mencabar larangan merokok di premis makanan . Mereka memohon mahkamah membatalkan larangan itu dan mengisytiharkan peraturan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bagi NGO ini, merokok bukan jenayah, dan mereka mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok. Apa kesudahannya?

Undang-undang atau peraturan tanpa penguatkuasaan serta tidak ada kesedaran orang ramai akan menyebabkan kawasan atau zon larangan merokok hanya akan tinggal sebagai catatan di atas kertas. Kesedaran itu terma­suklah risiko kepada kesihatan, kewangan dan juga hubungan sesama insan. Berkaitan dengan kesihatan, pelbagai amaran dipaparkan. Jika bercakap, sudah kering air liur untuk memperkatakan mengenai bahaya merokok. Pelbagai penyakit akibat amalan rokok tidak dipedulikan. Slogan Merokok Membahayakan Kesihatan dipandang sepi. Kenaikan harga rokok juga tidak memberi kesan.

Kajian menunjukkan, 70 peratus perokok sentiasa mencuba untuk berhenti merokok tetapi kebanyakannya gagal. Selepas lapan kali ke klinik merokok, barulah mereka boleh berhenti. Begitulah sukarnya untuk membuang tabiat selepas ketagih.

Bagi yang beragama Islam, ada fatwa merokok itu haram tetapi ramai tidak peduli. Pelik. Jika enggan menerima fatwa, ingatlah juga kesannya yang ‘mengganggu’ orang lain. Ada bukan perokok tidak sanggup ke tandas selepas perokok merokok di dalamnya kerana kesan bau asap rokok itu akan ‘melekat’ di baju orang yang memasuki tandas berkenaan. Ketika solat berjemaah, perokok yang tidak mencuci mulutnya dengan baik akan mengeluarkan bau yang boleh mengganggu jemaah lain. Hormatilah orang awam yang tidak merokok.

Bagaimana mahu mendidik perokok supaya tidak merokok sekiranya rokok masih dijual di restoran? Adakah dengan pe­nguatkuasaan larangan merokok di restoran terbuka, rokok tidak akan dijual? Langkah untuk menambah senarai kawasan larang­an merokok adalah satu keputusan yang baik bagi melindungi orang awam terutama bukan pe­rokok. Cadangan ini merupakan tambahan kepada 23 kawasan larangan merokok yang sudah diwartakan. Kawasan yang terlibat termasuklah hospital atau klinik, tempat makan atau kedai berhawa dingin, kompleks membeli-belah, taman awam, hentian rehat dan rawat, tandas dan lif awam, lapangan terbang, stesen minyak, kawasan yang digunakan untuk aktviti perhimpunan, di dalam kenderaan awam, premis kerajaan dan juga kompleks sukan

Begitulah senarai kawasan larangan tetapi sejauh mana pelaksanaan peraturan dan penguatkuasaannya?

Diharapkan peraturan yang diperkenalkan hari ini mendapat kerjasama semua pihak. Setiap peraturan atau undang-undang adalah untuk kebaikan. Hormatilah! Ingatlah, jika anda tidak bernasib baik, ketika anda merokok di restoran, kesalahan itu boleh menyebabkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Untuk sehari dua ini diharap ada pemantauan dan penguatkuasaan, bukannya dibiarkan menjadi koleksi senarai kawasan larangan merokok.

Sumber: http://bebasnews.my/2019/01/01/koleksi-larangan-merokok/

Related posts

Leave a Comment