BILA pilihan raya? Itu soalan pertama pemandu teksi ke tika saya di dalam kenderaannya pada Khamis, 22 Februari lalu. Saya menghulurkan kupon teksi dan menyatakan destinasi yang dituju iaitu, Hotel Istana. Saya peringatkannya, jangan salah tempat, jangan pula bawa saya ke istana (Istana Negara). Dengan selamba dia menjawab kalau ke istana boleh jumpa Agong dan kemudian muncul soalan “Bila pilihan raya?” Secara kebetulan pula tujuan ke Hotel Istana adalah untuk menghadiri Perbincangan Meja Bulat (RTD) Pra PRU14 – BN kekal atau..??? Dia terus menambah: “Kata hari ni (22 Februari – Parlimen bubar!),”. Sah, pemandu itu juga terpengaruh dengan maklumat yang tular sebelum itu. Kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan persidangan akhbar pada 21 Februari dan keesokannya Parlimen dibubarkan. Penamaan calon pula pada 13 Mac, pengundian awal (undi pos) 22 Mac dan pengundian umum 24/25 Mac.
Begitulah pengaruh besar media sosial terutama WhatsApp walaupun secara logik akal, perkara itu terserah kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong serta menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sekali lagi, perangai pelik sesetengah orang Malaysia yang mendakwa SPR tidak telus dan macam-macam tetapi mereka sendiri yang mendahului SPR. Maklumat ‘bocor’ seperti soalan kertas peperiksaan. Kembali kepada persoalan pemandu teksi itu, saya menyatakan tunggulah pengumuman. Secara ringkas juga saya maklumkan, Yang di-Pertuan Agong dijangka merasmikan mesyuarat Parlimen pada 5 Mac. Tidak perlu cakap banyak. Jika dilayan, entah apa pula terpacul daripada mulutnya. Ada pemandu teksi atau Grab, yang menyokong dan tidak kurang juga mengutuk kerajaan.
Untuk rekod, Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Majlis Parlimen Ke-13 akan berlangsung sehingga 5 April diikuti Sidang Dewan Negara mulai 16 hingga 30 April. Adakah mesyuarat itu menjadi ‘kenyataan’ atau jika berlangsung, ia sekadar separuh jalan? Apa pun, jelaslah rakyat Malaysia tidak sabar menunggu detik Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Bayangan sudah ada tetapi orang kita memang suka membuat tilikan. Najib dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah membayangkan PRU-14 dijangka mengambil tempat sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Menyelak kembali tarikh PRU ini, Perdana Menteri semasa berucap pada majlis penyerahan surat tawaran Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1MDB memberitahu, para peserta yang akan bertolak pada 14 Ju lai akan melepasi dua peristiwa ‘raya’. Katanya: 14 Julai bererti bahawa dua peristiwa akan terlepas, Hari Raya Aidilfitri dan satu lagi Hari Raya satu lagi, jadi dua-dua raya, baru tuan-tuan naik haji. Ahmad Zahid pula berkata: Kita ada tiga raya…raya Cina baru lepas…sebelum raya haji, kita ada raya puasa tapi sebelum raya puasa, kita ada satu lagi ‘raya besar’.
Sehingga tempoh pengumu man rasmi, bersabarlah. Hentikanlah spekulasi. Usahlah membuang masa mencipta tarikh PRU dan disebarkan. Apa yang pasti, PRU semakin hampir dan mandat kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak akan melepasi 24 Jun 2018. Biarkanlah orang politik meneruskan agenda memancing undi. Kerja mereka untuk menyediakan jentera parti menghadapi PRU. Biarlah parti politik termasuk komponen BN, Pakatan Harapan (PH) dan Pas atau Gagasan Sejahtera meneruskan kerja mereka. Bagi orang politik, masa mereka mungkin suntuk, semakin kerap turun kawasan.
Kempen tidak rasmi sudah kelihatan. Semua parti sudah bersedia. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru dilahirkan tetapi masih ‘bergolak’ juga bersedia. Kempen melalui media sosial meletakkan parti-parti politik dalam keadaan bersedia. Tidak dinafikan, melalui media sosial, pemikiran rakyat atau pengundi sudah berubah. Mereka cepat mendapat maklumat walaupun sesetengahnya tidak sahih dan tidak boleh dipercayai. Kebiasaannya, maklumat pertama itu sahaja diambil peduli dan apabila diberi penjelasan sebenar bagi menangkis maklumat awal, ramai yang tidak peduli. Maka maklumat yang salah akan tertanam dalam benak fikiran.
Rakyat juga sudah mula menerima parti politik yang pelbagai, bukan lagi ‘dua parti’ seperti masa lalu sama ada UMNO (BN) atau Pas bagi orang Melayu. Jika dulu fokus kepada BN dan pembangkang (Pas, DAP, PKR) tetapi kini sudah ada pula PPBM dan PAN. Seperti yang pernah diselak sebelum ini, kehadiran parti-parti politik yang dilahirkan daripada ‘perut’ parti Melayu menjadikan majoriti Melayu semakin mengecil atau terpecah kepada banyak bahagian. Ketika pengundi Cina dikatakan tidak banyak berubah, UMNO, Pas, PKR, PPBM dan PAN akan bersaing ‘mencuri hati’ pengundi Melayu. Kerusi Melayu tidak ke mana jika berlaku pertembungan BN (UMNO) dan Pas bersama salah satu ang gota PH sama ada PKR atau PAN.
Di kawasan Melayu, keluarga Melayu akan bertarung sesama mereka. Adakah ini yang dikata kan tsunami Melayu? Jika ya, tsunami ini memihak kepada Melayu UMNO, Pas, PAN atau PPBM? Walaupun ada yang berkata, pertandingan tiga penjuru lebih menguntungkan BN, komponen parti khususnya UMNO tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Seperti ‘kajian profesor’ yang dinyatakan baru-baru ini, ‘kelebihan’ pertandingan tiga penjuru bukanlah kelebihan mutlak kepada BN. Pelbagai faktor akan mempengaruhi pengundi seperti calon, manifesto, isu di samping peranan pengundi muda dan pengundi atas pagar. Isu calon misalnya, ada sesetengah kawasan perlukan calon yang mesra rakyat yang mudah didekati. Peranan calon di kawasan luar bandar dan bandar amat berbeza. Calon di kawasan luar bandar perlu sering ‘menunjukkan muka’ di tengah-tengah masyarakat, bukan muncul apabila beliau memerlukan rakyat. Di kawasan bandar, mungkin calon nya tidak perlu kerap bersama pengundi sebaliknya kemunculan di alam maya sudah memadai.
Situasi ini yang mewujudkan keadaan pengundi boleh memilih sama ada politik pembangunan atau politik pembaharuan/politik perubahan. Masing-masing ada matlamat. Apa pun situasinya, PRU-14 membuka peluang bukan sahaja kepada rakyat membuat pilihan tetapi juga kepada semua parti politik yang menawarkan diri. Begitu juga bagi pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan seperti Tok Mun. Mereka boleh bertanding dengan mengemuka kan manifesto masing-masing.
Bagi yang layak mengundi, bertekadlah untuk keluar me ngundi. Jangan terpengaruh dengan saranan pelik yang muncul sejak kebelakangan ini sama ada mereka tidak keluar mengundi atau merosakkan undi. Rakyat jangan menyerah kalah kepada kempen buruk itu. Mereka perlu menang dalam menentukan masa depan negara ini walau parti mana menjadi pilihan mereka.
UMA260218010C#