KAHERAH: Masjid Al-Zhahir Baybars yang dibina pada abad ke-13 dan rosak selepas digunakan bertahun-tahun sebagai kilang sabun, pusat penyembelihan dan kubu dibuka semula semalam selepas menjalani kerja-kerja pemulihan yang lama.
Kerja-kerja pemulihan yang bermula pada 2007 menelan belanja AS$7.68 juta (RM35.16 juta) itu dibiayai bersama dengan Kazakhstan.
Masjid Al-Zhahir Baybars yang dibina di bawah pemerintahan Mamluk pada 1268, merangkumi kawasan seluas 1.2 hektar di utara Kaherah, menjadikannya masjid ketiga terbesar di Mesir.
Menurut Tarek Mohamed El-Behairy yang menyelia pemulihan itu memberitahu, Masjid Al-Zhahir Baybars menjalani pemulihan mekanikal dan kimia untuk mengembalikannya kepada keadaan asal.
Ada bahagian yang musnah, ada bahagian yang digantikan kerana strukturnya tidak sesuai untuk kekal dalam masjid.
Selama 225 tahun, masjid itu sama ada ditutup, ditinggalkan atau beroperasi untuk tujuan bukan agama yang menyumbang kepada kerosakannya.
Ketika kempen Napoleon di Mesir, ia digunakan sebagai kubu tentera, kemudian di bawah pemerintahan Uthmaniyyah pada abad ke-19 sebagai kilang sabun dan apabila British menyerang Mesir pada 1882, ia diguna sebagai rumah penyembelihan.
Al-Zahir Baybars adalah seorang tokoh terkemuka dalam sejarah Mesir dengan mengukuhkan pemerintahan Mamluk di Mesir yang berlangsung selama tiga abad hingga 1517.
