Nama bank pada skrin telefon

MOSCOW – Dalam usaha membanteras penipuan, nama institusi perbankan akan mula terpapar pada skrin telefon bimbit penerima apabila mereka menerima panggilan daripada beberapa bank utama di Rusia.

Menurut Kementerian Pembangunan Digital, Komunikasi dan Media Massa Rusia, empat pengendali telekomunikasi terbesar dan bank utama mencapai persetujuan mengenai syarat pelabelan identiti pemanggil serta menandatangani kontrak yang diperlukan.

Menerusi aturan itu, nama bank akan tertera pada skrin telefon pintar apabila panggilan masuk dibuat oleh pihak bank berkenaan, sekali gus membantu penerima mengenal pasti pemanggil dan mengurangkan risiko penipuan oleh individu yang menyamar sebagai kakitangan institusi kewangan.

Kementerian itu menyifatkan persetujuan berkenaan sebagai langkah penting ke arah melindungi rakyat daripada penipuan telefon serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap panggilan daripada organisasi.

Peraturan yang mewajibkan paparan identiti pemanggil bagi panggilan daripada syarikat dan usahawan individu telah berkuat kuasa di Rusia sejak 1 September 2025 sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk melindungi orang ramai daripada penipuan telefon.

Related posts

Leave a Comment