Darah manis jangan bertukar kencing manis

PERNAH dengar darah manis? Biasanya dalam istilah kesihatan atau penyakit, kita hanya biasa mendengar mengenai darah tinggi atau kencing manis. Tidak ada darah manis. Istilah atau simpulan bahasa darah manis ini membawa maksud mudah mendapat bahaya dan kecederaan. Ia lebih kepada peringatan atau amaran supaya seseorang itu tidak melakukan perkara yang berisiko dan berbahaya.

Darah manis sering merujuk kepada orang sedang bertunang yang perlu berhati-hati melakukan sesuatu kerja sebelum tiba hari perkahwinan mereka. Dalam tempoh pertunangan ini, banyak cabaran yang akan dihadapi oleh pasangan berkenaan. Maka setiap tindakan dan perbuatan mereka perlu lebih berhati-hati supaya tidak timbul masalah. Jangan sampai pertunangan putus di tengah jalan dan orang lain pula naik pelamin.

Begitu jugalah dengan parti politik yang sedang menunggu untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang. Tempohnya tidak lama. Sudah hampir ke penghujungnya. Walaupun PRU akan datang boleh menjangkau sehingga Jun untuk membubarkan Parlimen, tetapi paling kencang tiupan angin yang membawa khabar mengenai PRU ini adalah kemungkinan berlangsung pada Mac. Tempoh inilah – sekarang hingga pembubaran Parlimen – dianggap paling mencabar.

Berhati-hatilah dalam membuat keputusan. Jangan biarkan tempoh darah manis ini bertukar menjadi darah tinggi dan kencing manis. Contoh terkini sudah tentulah berkaitan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (Imams). Tujuan dan niatnya baik iaitu bagi memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah daripada menipu para jemaah. Sekurang-kurangnya pihak kerajaan tidak berpeluk tubuh memerhati apa yang berlaku. Mangsa penipuan tidaklah menyalahkan kerajaan semata-mata walaupun jemaah lebih bertanggungjawab mengelakkan penipuan.

Difahamkan sejak 2007, lebih 14 syarikat yang menipu pakej pengendalian umrah dan ziarah telah dikenakan tindakan. Sebanyak 11 syarikat dibatalkan lesen dan satu syarikat telah ditarik lesen bidang pelancongan luar negara (outbound). Mungkinkah tindakan yang lebih tegas dikenakan kerana ini melibatkan penipuan untuk ibadah. Peringatkan pihak-pihak berkenaan supaya hukuman mempermainkan ibadah adalah amat berat umpama menghumban seseorang ke neraka atas dosa-dosa yang dilakukan. Biar pihak pengendali atau agensi ini benar-benar serik dan insaf. Jemaah pula perlu lebih berhati-hati. Jangan terpengaruh dengan pelbagai tawaran yang meragukan. Mungkin kita boleh maafkan pengendali jika perjalanan ibadah itu terganggu akibat masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, contohnya visa yang menjadi kuasa mutlak kerajaan Arab Saudi.

Berbalik kepada Imams, usianya begitu singkat. Mula dilaksanakan pada Jumaat, 15 Disember, kemudian kecoh mengenainya seawal pagi 16 Disember dan menjelang tengah hari Imams dimansuhkan serta merta. Begitu hebat hasil respons yang diterima berhubung isu ini. Terima kasih kepada pelbagai saluran media sosial yang berjaya mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati ini dengan paparan komen berserta bukti-bukti kukuh termasuk kenyataan akhbar berkaitan Imams, gambar, latar belakang syarikat pengendali dan pelbagai lagi.

Sesetengah fakta itu pula ada yang tidak disedari oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Mungkin inilah kebaikan atau keberkesanan media sosial yang cepat melaporkan sesuatu dengan bukti, bukan semberono. Seperti disebut tadi, tujuan Imams baik tetapi pendekatannya bukan sahaja menimbulkan persoalan tetapi kemarahan. Melihat pelbagai reaksi jelaslah dalam hal ini, kerajaan dipersalahkan kerana tidak berhati-hati, tidak sensitif dengan keperluan rakyat dan lebih malang berkaitan agama.

Beberapa perkara yang menimbulkan kemarahan ialah apabila Imams mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM5.10, bayaran tambahan RM45 untuk sistem dan pengurusan serta RM40 untuk in-surans. Jumlahnya RM90.10. Isu ini mungkin tidak timbul jika ia dijadikan kos tersembunyi yang diserapkan dalam kos keseluru-han jemaah umrah tanpa menjejaskan kos sebenar.

Namun apabila GST dikenakan, walaupun sekadar 10 sen, ia amat sensitif. Jemaah umrah atau haji sanggup membayar wang tambahan beribu ringgit jika dikenakan untuk kali kedua umrah/haji tetapi akan pertikaikan GST yang dikenakan walaupun sekadar satu dua ringgit. Begitulah sensitifnya orang kita mengenai GST. Adakah pihak-pihak berkenaan tidak sedar? Bukankah sebelum ini dijanjikan GST tidak akan memberi kesan? Turut melukakan perasaan orang Islam sebagai pelanggan tetap umrah/haji apabila pengendali Imams adalah orang bukan Islam. Apa motif sebenarnya? Tidak adakah orang Islam atau badan Islam yang lebih layak?

Memang bukan Islam sekadar pengendali. Mereka juga tidak boleh ke Tanah Suci walaupun barangan yang diasaskan oleh mereka kini berada di sana. Melalui kenyataannya pada 15 Disember, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menegaskan bahawa Lembaga Pengarah Imams perlu terdiri daripada warganegara Malaysia beragama Islam. Malangnya apa yang terjadi?

Keadaan ini amat mengguris perasaan orang Islam. Apakah tidak ada pihak lain? Di luar orang bercakap dan membuat pelbagai andaian sehingga terbawa-bawa kepada PRU? Kesannya terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan. Inilah kerosakan yang berlaku. Justeru fikir dahulu sebelum buat. Samalah gesaan kerajaan kepada masyarakat supaya selidiki dahulu kandungan media sosial sebelum sebar. Apa pun biar undur setapak daripada terus melangkah ke hadapan yang mungkin menyebabkan ‘kecederaan’ lebih teruk. Undur setapak tidak bermakna tewas tetapi jadikan pengajaran. Ular menyusur akar tidak hilang bisanya.

Tidak dinafikan sebelum ini ada keputusan yang dibuat terpaksa dikaji semula atau dibatalkan selepas berlaku kesilapan atau mendapat bantahan orang ramai. Kerajaan boleh mendengar bantahan tetapi janganlah isu yang boleh dielakkan jika pelaksanaannya benar-benar relevan. Sekurang-kurangnya belajarlah daripada kesilapan, jangan diulang lagi. Secara sinis ada yang berkata jika kesilapan terus berulang, suatu masa nanti makmum akan menggantikan ‘imams’.

UMA181217010C#

Related posts

Leave a Comment