Mahkamah Syariah: PN sedia sokong pindaan perlembagaan

PUTRAJAYA 20 Nov. – Pindaan perlembagaan perlu disegerakan bagi mengelakkan peruntukan jenayah syariah di negara ini dicabar dan berisiko dibatalkan, kata Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN), Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, PN akan memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan jika melakukan pindaan perlembagaan itu.

“Sebelum ini kita tidak boleh bawa (di Parlimen) kerana kita tiada majoriti dua pertiga tetapi sekarang kita ada dan PN akan menyokong sepenuhnya sekiranya pindaan perlembagaan dibuat dengan segera.

“Kita perlu memuktamadkan ini, tidak boleh sedikit-sedikit (perlahan-lahan) tetapi perlu berterusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Himpunan Selamatkan Syariah, di sini hari ini.

Seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 mahu mengisytiharkan peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mengulas mengenai kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, yang mempertikaikan tindakan baharu oleh PN berhubung isu itu, Tuan Ibrahim berkata, ia sepatutnya tidak dipolitikkan sebaliknya semua pihak harus memainkan peranan yang terbaik.

“Sepatutnya tiada pertikaian, apa yang kita buat kerana kita tidak tahu waktu itu. Dia sepatutnya tanya apa yang dia lakukan apabila mahkamah syariah diganggu dan digugat.

“Sebab itu, kita kecewa hari ini kerana kita jemput semua pihak (parti politik) kerana ia bukan isi politik tetapi tidak ada yang hadir. Ini bukan isu Pas atau PN, sebaliknya isu ummah,” katanya.

Dalam perkembangan itu, beliau turut memohon Majlis Raja-Raja segera bertindak terhadap usaha pihak tertentu yang cuba menggugat mahkamah syariah.

Malah, beliau turut menggesa supaya menghayati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang bertitah, satu jawatankuasa khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian terhadap kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah enakmen negeri serta bidang kuasa mahkamah syariah.

Katanya, sekiranya perkara ini tidak dihalang maka akan berlaku lagi cubaan di masa hadapan untuk menggugat ketenteraman umat Islam negara.

“Hari ini, 20 enakmen dicabar untuk dikeluarkan dan saya yakin ia bukan hanya terjadi di Kelantan sahaja tetapi di semua negeri dan kita yakin ia tidak akan berhenti di situ.

“Dalam 20 enakmen yang dicabar ini membabitkan perkara jenayah dan tidak mustahil ia akhirnya akan pergi dan menyebabkan kehilangan fungsi mahkamah syariah.

“Oleh itu, kami memohon Majlis Raja-Raja (bertindak) dan kita juga menjunjung titah Tuanku Selangor yang menyedari isu ini menggugat Majlis Raja-Raja sebagai Ketua Agama di semua negeri,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata, perhimpunan hari ini sekadar permulaan dan jutaan rakyat akan turun sekiranya berlaku ancaman demi ancaman yang menggugat agama Islam dan ummah.


(Foto PN & Pas) 

Related posts

Leave a Comment