Jangan menang sorak kampung pula tergadai

SEMALAM, semasa menghampiri kawasan Stadium Titiwangsa, yang menjadi lokasi Persidangan Agung Tahunan Ke-8 Perkasa, seorang lelaki bertanya, agaknya siapa yang mereka akan sokong dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang? Soalan itu merujuk kepada parti yang akan bertanding pada PRU akan datang. Barisan Nasional (BN), Pas, PKR, DAP, Amanah atau PPBM. Saya hanya menjawab entahlah walaupun sebelum ini, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali pernah membayangkan pertubuhan itu akan bertanding. Jawapan kepada persoalan itu amat mudah sekiranya kita selak semula di sebalik kenapa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ditubuhkan.

Menyelak kembali penubuhannya, Perkasa lahir untuk memperkasakan Perlembagaan Persekutuan – melindungi Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan Raja-Raja Melayu sebagai simbol bahawa bangsa Melayu dan bumiputera adalah penduduk asal Tanah Melayu. Perkasa juga bangkit untuk mempertahankan hak-hak keisti­mewaan orang Melayu, memperkasakan kaum pribumi, serta menyatupadukan bangsa Melayu dan kaum pribumi dengan seluruh rakyat Malaysia. Perkasa wujud untuk mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan negara, keunggulan Perlembagaan Persekutuan, di samping menjamin perpaduan, keselamatan masyarakat serta kelangsu­ngan Malaysia.

Perkasa bukannya pertubuhan yang terlalu obsessed atau terlalu menumpukan matlamat dan cita-cita perjuangannya hanya kepada soal bangsa Melayu dan Bumiputera sahaja. Perkasa adalah pemangkin perpaduan bangsa Malaysia seluruhnya. Berdasar-kan matlamat ini, Perkasa bukannya pertubuhan rasis, organi­ sasi Melayu­ ultra atau persatuan perkauman­. Perjuangan Perkasa adalah selaras dengan falsafah Rukun Negara dan menepati Konsep 1Malaysia. Perkasa juga bukannya parti politik seperti parti-parti lain yang ada sekarang.

Oleh itu keputusan dan pendirian kita dalam PRU-14, mesti dan wajib berteraskan kepentingan Islam, pribumi dan keselamatan nasional”.

Ibrahim sebelum ini juga pernah menegaskan bahawa Perkasa tidak lahir untuk mengambil alih atau mengatasi peranan UMNO sebagai tunjang pemerintahan Malaysia. Perkasa juga tidak lahir untuk memusuhi parti-parti pembangkang tanpa sebab.

“Perkasa lahir untuk sama-sama membentengi pemerintahan negara daripada ancaman musuh yang menggugat Perlembagaan Persekutuan, keharmonian agama, perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi, ketenteraman awam, keselamatan negara dan kelangsungan Malaysia,” tegas Ibrahim.

Parti mana sekali pun, sekiranya mempunyai matlamat yang sama dengan Perkasa, sudah tentu anggotanya yang dalam kalangan mereka mungkin meng­ anggotai parti politik akan memberi sokongan. Walaupun bukan parti politik, pengaruh Perkasa tidak boleh dinafikan. Ketika parti politik yang baharu ditubuhkan dalam keadaan gelora dan berkecamuk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu terus memantapkan kedudukannya. Susunan organisasinya seperti parti politik yang mempunyai kepemimpinan peringkat bahagian atau Parlimen. Mesyuarat di pelbagai pe­ringkat berjaya dilaksanakan. Semalam, berlangsung persidangan dengan temanya Ummah Berintegriti, Negara Diberkati. Keha­ dirannya cukup memberangsangkan, bukan sekadar perwakilan tetapi juga pemerhati.

Syabas kepada kepemimpinan Perkasa yang berjaya mengadakan satu perhimpunan yang boleh dianggap besar secara tersusun. Dengan dana yang terbatas tanpa sumber kewangan – ibarat kais pagi makan pagi, kais petang ma-kan petang – seperti diungkapkan oleh Ibrahim, Perkasa masih boleh menghimpunkan perwaki-lan dan pemerhati dari seluruh negara. Tidak seperti NGO lain, Perkasa tidak menerima dana daripada mana-mana pihak tetapi masih bergerak dengan pelbagai aktiviti. Kini usia Perkasa sudah mencecah sembilan tahun. Perkasa mampu bersuara tetapi dalam tindakan yang lebih jauh bergantung kepada parti politik yang memerintah.

Matlamat Perkasa ini tidak mampu dicapai sekiranya berge­rak bersendirian. NGO Melayu seharusnya bersama Perkasa untuk memperkasakan lagi Perlembagaan. Malangnya ada pihak yang seolah-olah takut kepada bayang-bayang Perkasa lebih-lebih lagi apabila dalam PRU lalu, ada parti politik bukan Melayu yang begitu bimbang dengan pertubuhan itu. Perkasa tidak bertanding tetapi ada yang cemas dan membayang­kan Perkasa sebagai ‘musuh’. Apabila­ Ibrahim mengeluarkan kenyataan kemungkinan Perkasa menyertai PRU, ramai juga yang gelisah. Sepatutnya Perkasa yang lebih gelisah jika umat Melayu sendiri berpecah belah dan tidak meletakkan kepentingan Islam dan bangsa lebih daripada lain-lain kepentingan demi ke­sejahteraan rakyat dan negara.

Menyelak kembali ucapan da­sarnya di persidangan itu, Ibrahim mengingatkan golongan cauvinis dan elit politik pribumi supaya tidak bersekongkol de­ngan mana-mana pihak yang secara terang memusuhi Islam dan peribumi. Perkasa juga dengan tegas mengingatkan pemimpin pribumi yang di ambang perebutan kuasa supaya tidak memburukkan lagi keselamatan dan ke­ langsungan pribumi.

“Perkasa merayu, insaflah maksud peribahasa, jangan berpatah arang, jangan berkerat rotan, maksudnya jangan persengketaan siasah dijadikan barah yang memusnahkan keselamatan dan kelangsungan pribumi, sosioekonomi, sosiobudaya dan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jangan akhirnya menang sorak kampung tergadai, bumi sendiri dipijak orang,’’ kata Ibrahim.

Menjawab persoalan lelaki seperti disebut di awal tulisan Selak ini, Ibrahim sebelum meng­akhiri ucapannya berkata: “Tindakan kita dalam PRU-14 kelak, perlu dihayati dengan pesanan, jangan menang sorak, kampung tergadai. Oleh itu keputusan dan pendirian kita dalam PRU-14, mestilah dan wajiblah berteraskan kepentingan Islam, pribumi dan keselamatan nasional”.

Bagi NGO Melayu, adakah mereka juga akan bersama-sama dengan Perkasa untuk mempertahan dan memperkasakan Perlembagaan Persekutuan? Contohilah NGO dan parti politik bukan Melayu yang tetap bersatu dalam isu-isu berkaitan kaum mereka walaupun berlainan fahaman politik. Mereka bercakap dalam satu nada dan suara. NGO Melayu perlu bergerak seiring menuju matlamat yang sama. Cukuplah parti politik yang bersengketa. Jangan disulitkan lagi dengan pelbagai pertubuhan yang membawa haluan masing-masing. Dalam hubungan ini, elok juga diselak semula ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan pada satu majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa tidak lama dulu. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan orang Melayu dan umat Islam supaya bersatu padu dan mengelak daripada perpecahan sesama mereka.

“Kita boleh berlainan pendapat dan berselisih pandangan tetapi itu tidak boleh dijadikan sebagai asas untuk kita berpecah belah kerana jika kita berpecah belah, kita akan menjadi lemah. Jangan­ terpedaya, terlena dan asyik mendengar kata-kata yang hendak memecahbelahkan kita. Yang penting pada kita ialah mesti bersatu-padu,” katanya.

Orang Melayu dan umat Islam hendaklah berwaspada kerana usaha memecah belah dan melemahkan mereka sentiasa ada. Perkasa serta orang Melayu, NGO Melayu dan Islam harus bertindak sebagai benteng Islam dan payung pribumi. Kepada pemimpin politik bukan pribumi, fahamilah beberapa perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum melabelkan mana-mana pihak sebagai rasis.

UMA201117010C#

Related posts

Leave a Comment