Akmal jemput Teresa Kok berkunjung ke Melaka

SEPANG 3 Mei – Exco Kerajaan Negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh  menjemput Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkunjung ke Melaka untuk melihat bagaimana pelancongan menjadi tarikan tanpa acara ala disko jalanan seperti di Bukit Bintang.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, beliau tidak perlu membentangkan cadangan seperti diminta Ahli Parlimen DAP itu sebaliknya akan membentangkan bukti mengenai kehadiran pelancong ke Melaka.

Katanya, sepanjang tahun lepas, 15 juta pelancong datang ke Melaka dengan hasil yang dijana hampir berbilion ringgit dari sektor pelancongan tanpa mengadakan acara disko jalanan tajaan kerajaan.

“Saya jemput kamu datang ke Melaka dan saya akan bentangkan bagaimana Melaka menjadi negeri utama pelancongan dalam Malaysia tanpa acara ala-ala disko jalanan di Bukit Bintang,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Akmal mengakui di Melaka juga ada pesta air, tetapi dimasukkan elemen tradisional di mana pengunjung diperkenalkan pakaian tradisional,  nyanyian dan persembahan budaya, bukan dengan persembahan disco jalanan.

“Kita kalau nak promosi pelancongan negara ini, bawa dan promosikan budaya yang kita ada supaya pelancong dapat hargai dan kita dapat perkenalkan budaya Malaysia di mata dunia. Bukan ambil budaya luar dan kita pula promosikan

Dan saya nak beritahu kamu bahawa disko jalanan sambil tembak air tu bukan budaya Malaysia. Kalau nak kelas belajar budaya Malaysia pun saya boleh bagi pada kamu wahai Teresa,” katanya.

Terdahulu, Kok menerusi kenyataannya membidas Akmal dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar, yang didakwa  begitu gigih membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang.

Katanya, mereka bukan sahaja perlu berhenti membantah sebaliknya mesti membentangkan cadangan yang membina bagi menarik pelancong asing serta merangsang ekonomi tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Amat menghairankan apabila kedua-dua pihak yang lantang menolak program tarikan pelancong ini gagal mengemukakan sebarang alternatif yang konstruktif untuk memacu industri pelancongan negara,” katanya.

Kok turut menarik perhatian rekod prestasi Pas dalam sektor pelancongan amat membimbangkan dengan merujuk situasi di Pulau Langkawi yang menunjukkan kemerosotan mendadak jumlah pelancong asing dan domestik akibat kegagalan tadbir urus kerajaan negeri .

“Jangan jadikan Malaysia sebuah negara yang “lesu” pelancongannya seperti mana yang berlaku di Langkawi akibat imej dan dasar kerajaan negeri pimpinan Pas.

“Pas dan Dr. Akmal perlu berpijak di bumi nyata. Majoriti pelancong asing melawat Malaysia untuk berehat, mencari hiburan, dan merasai kemeriahan budaya bandar raya. Mereka datang bukan untuk terikat dengan sekatan moraliti yang melampau.

Sekiranya mereka tidak bersetuju dengan penganjuran konsert jalanan atau festival muzik, maka mereka bertanggungjawab untuk membentangkan program lain yang mampu membawa masuk berjuta-juta pelancong,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment