MAIS kecam imej aibkan Sultan Selangor

SHAH ALAM 3 Mei – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab pihak yang menyunting dan menyebarkan imej yang menjengkelkan serta mengaibkan Sultan Selangor .

Pengerusinya, Salehuddin Saidin berkata, hantaran yang dibuat dengan sengaja menerusi laman sosial Facebook itu adalah untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di negeri ini.

Katanya, tindakan itu jelas tidak menghormati kedudukan baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor kerana mengaitkan baginda dengan objek dan visual yang jelas haram mengikut perspektif hukum syarak.

“Merujuk kepada satu hantaran di Facebook yang memaparkan suntingan imej Sultan Selangor dalam keadaan berpakaian tidak sopan, MAIS mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook, Lucas Liam.

“MAIS juga turut menyelar tindakan menyunting dan menyebar imej yang menjengkelkan dan mengaibkan Sultan Selangor sebelum ini yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook Huayan The Pure Learning Centre.

MAIS percaya bahawa tindakan-tindakan tersebut dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Salehuddin berkata, visual yang dihantar juga jelas melampaui norma dan nilai masyarakat yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, rentetan daripada beberapa insiden itu, MAIS menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap Sultan Selangor dan institusi beraja tidak boleh dipandang ringan.

MAIS menggesa jenayah ini disiasat dengan segera oleh pihak berwajib iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) agar pelakunya dapat diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal.

“MAIS juga menegaskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu adalah tonggak perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Salehuddin berkata, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, kebijaksanaan institusi beraja yang memperkenan pelaksanaan dasar-dasar penting termasuk pemberian kewarganegaraan yang lebih terbuka kepada kaum minoriti haruslah sentiasa dikenang sebagai suatu simbol perpaduan antara kaum.

Tegasnya, semua pihak tidak kira bangsa dan agama wajib menghormati dan memelihara institusi beraja ini daripada sebarang unsur yang boleh mencemar dan menjatuhkan kedaulatannya.

“MAIS kekal komited untuk mempertahankan kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di Negeri ini. MAIS juga menyeru semua pihak untuk memelihara kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta memastikan kesejahteraan umat Islam dan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment