Merokok haram, jual pula ‘rokok haram’

DALAM tempoh sebulan ini, pelbagai usaha cuba dilakukan untuk mengekang tabiat merokok dalam kalanganrakyat. Semuanya berkaitan dengan peraturan dan undang-undang. Tujuannya bagi mendidik masyarakat ‘secara paksa’ supaya menjauhi rokok yang membahayakan kesihatan. Rokok dan merokok yang berkaitan hukum dan fatwa juga menjadi perbahasan bagi membimbing perokok khususnya dalam kalangan masyarakat Islam menghentikan tabiat merokok. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam. Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pula mewartakan fatwa pengharaman rokok berkuat kuasa pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989. Itu pandangan sudut agama.

Tindakan lain termasuk mengurangkan ‘wilayah merokok’ iaitu menetapkan kawasan tertentu sebagai tempat larangan merokok. Mulai awal bulan lepas, semua hentian pengangkutan awam tidak berhawa dingin, tempat makan berhawa dingin dan stadium terbuka sepenuhnya menjadi kawasan larangan merokok. Begitu juga taman awam dan Taman Negara yang diwartakan. Kini terdapat lebih 20 kawasan awam disenaraikan zon larangan merokok.

Berhubung isu rokok, merokok dan perokok ini, Selak juga telah beberapa kali membincangkannya dan terakhir dalam keluaran 13 Februari lalu di bawah tajuk Sejauh mana kesan tambah zon larangan merokok. Kerajaan tidak pernah berputus asa untuk melahirkan masyarakat yang bencikan rokok. Selain mendidik rakyat supaya menjauhi aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan, secara tidak langsung boleh menyelamatkan kos perubatan akibat aktiviti merokok. Seperti diketahui umum, merokok boleh menyebabkan penyakit paru-paru obstruktifkronik, penyakit jantung, kanser paru-paru serta pelbagai jenis penyakit kanser dan penyakit kronik yang lain. Pada masa yang sama, harus diingat bahawa pendedahan kepada ‘asap rokok basi’ terbukti boleh memberi kesan kesihatan yang buruk kepada orang lain, sama seperti tabiat merokok. Jelaslah ‘sumbangan’ rokok kepada tahap kesihatan seseorang bukan terbatas kepada perokok tetapi orang sekeliling yang ‘menikmati’ asap rokok.

Malaysia sebagai negara ahli atau parti kepada World Health Organization Framework Convention On Tobacco Control (WHO FCTC) bertanggung jawab untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan di dalam perjanjian antarabangsa ini. Artikel 8, WHO FCTC bertajuk ‘Perlindungan Daripada Pendedahan Kepada Asap Tembakau’ menegaskan negara atau parti memperakui bahawa bukti-bukti saintifik telah mengesahkan asap tembakau boleh menyebabkan kematian, penyakit dan kecacatan atau ketidakupayaan. Negara atau parti juga dikehendaki melaksanakan langkah-langkah yang berkesan bagi mengadakan perlindungan daripada pendedahan kepada asap tembakau di tempat kerja dalam bangunan, pengangkutan awam, tempat-tempat awam dalam bangunan dan tempat awam yang lain dengan sewajarnya. Peranan ini sedang dilakukan oleh Malaysia.

Entah berapa banyak peraturan dilaksanakan. Apa lagi yang tidak dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan perokok. Harga rokok dinaikkan sehingga RM17 bagi kotak 20 batang. Kemungkinan akan naik sehingga RM21.50. Apakah kesan kenaikan itu? Berkurangkah jumlah perokok? Lebih malang, apabila kenaikan harga rokok diisi dengan kemunculan rokok haram. Khabarnya, rokok haram lebih murah, dijual serendah RM3 setiap pek. Berdasarkan kajian oleh Nielsen Malaysia pada Disember 2016, pasaran rokok haram telah menguasai pasaran sebanyak 57.1 peratus dan ini salah satu daripada kadar tertinggi di dunia.

Akhirnya, perokok yang terasa dengan kenaikan harga rokok di pasaran akan beralih kepada rokok haram. Situasi ini mendorong Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) menggesa kerajaan meningkatkan usaha memerangi perdagangan rokok murah haram jika serius untuk mengurangkan tabiat merokok. Semua pihak berkuasa perlu berganding bahu memerangi penyeludupan rokok yang sudah mencapai tahap yang membimbangkan di Malaysia. CMTM percaya bahawa isu ini perlu diberi keutamaan dan memerlukan ker-jasama daripada semua agensi penguatkuasaan termasuk pendekatan holistik dalam polisi cukai. Pasaran tidak boleh lagi dibebankan dengan kenaikan harga.

Saranan itu mendapat perhatian kerajaan. Semalam, Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan akan meminda Akta Kastam 1967 bagi mengambil tindakan ke atas individu atau pihak yang menjual rokok haram. Pindaan itu akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang. Amaran Johari: “Kalau dapat kita pergi kedai jual rokok haram, satu kotak (yang dijual) kita akan denda dan kemungkinan dipenjara,”. Beliau mengakui penggunaan rokok dikenakan cukai eksais jatuh tetapi penggunaan rokok haram meningkat. Diharapkan langkah itu dapat ‘membantu perokok’ meninggalkan tabiat merokok dan pada masa yang sama membantu kerajaan daripada kehilangan hasil cukai ke atas rokok. Kerajaan kerugian kira-kira RM4 bilion dalam kutipan hasil seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Kastam pada 2016.

Adakah menaikkan harga rokok satu penyelesaian terbaik? Mampukah ia mengekang tabiat orang ramai daripada terus merokok? Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Hilmi Yahaya baru-baru ini memberitahu, kadar penurunan tabiat merokok tidak begitu ketara. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati trend merokok dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas adalah 24 peratus berbanding dapatan NHMS 2011 iaitu 24.6 peratus. Realitinya, kenaikan harga rokok bukan lagi penyelesaian terbaik untuk mengekang orang ramai daripada terus merokok. Kemasukan rokok seludup yang lebih murah menyebabkan perokok terus merokok ‘rokok haram’ yang murah. Akhirnya sasaran mengurangkan tabiat merokok terbabas.

Baru-baru ini timbul cadangan untuk menaikkan had usia membeli dan menjual rokok kepada mereka yang berusia 21 tahun berbanding ketika ini 18 tahun. Ini antara cadangan dalam undang-undang baharu yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun depan. Turut diberi perhatian ialah kaedah pengiklanan syarikat rokok di belakang kaunter premis terutamanya di premis makanan. Jelaslah, kerajaan berusaha melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tabiat merokok. Kejayaannya tidak terletak kepada peraturan sahaja. Penguatkuasaan yang bertujuan mendidik perlu diperkasakan supaya rakyat menghormati peraturan dan undang-undang, bukan sekadar menjadi siaran media atau pekeliling yang ditampal di merata tempat.

Jika ketagihan dadah masih sukar dibendung, inikan pula rokok yang dijual secara terbuka dan haram di pasaran. Sekali lagi, masyarakatlah yang boleh menentukan sejauh mana tabiat merokok dikurangkan. Kesedaran mereka amat penting. Hentikan aktiviti terhadap sesuatu yang diisytihar haram sama ada merokok haram atau menjual rokok haram!

UMA030417010C_2#

Related posts

Leave a Comment