Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap 6 Julai

PUTRAJAYA  6 Jun – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap  akan diadakan pada 6 Julai ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 22 Jun.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, berkata pengundian awal pula ditetapkan pada 2 Julai ini.

Azmi mengumumkan tarikh berkenaan dalam sidang media hari ini selepas mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh-tarikh penting untuk PRK tersebut.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56 pada 24 Mei lalu semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi DUN N.20 Sungai Bakap Pulau Pinang mengandungi seramai 39,279 orang pemilih.

“PRK DUN N20 Sungai Bakap ini memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta,” katanya di Menara SPR hari ini.

Pada 27 Mei lepas, SPR mengesahkan menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Negeri Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Sungai Bakap.

Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi berkenaan dipastikan oleh SPR.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment