MELALUI Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Kementerian Pendidikan akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penjualan makanan kategori ‘makanan dilarang’ atau makanan tidak berkhasiat di luar pekarangan sekolah. Ini adalah satu langkah yang baik dan memerlukan sokongan semua pihak khususnya ibu bapa, guru-guru dan peniaga yang terlibat. Janganlah kedengaran dalam kalangan masyarakat, suara-suara sumbang yang marah atau mempertikaikan usaha ini dengan menyatakan pihak berkenaan cuba menutup pintu rezeki atau ‘periuk nasi’ peniaga yang menumpang mencari makan di pekarangan sekolah. Demi anak-anak, korbankan kepentingan peribadi. Bukanlah maksud Kementerian Pendidikan untuk menyekat rezeki mana-mana peniaga. Mereka boleh meneruskan perniagaan tetapi sudah tentulah dengan syarat yang ditetapkan. Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid, kita harus pantau dan kawal pemakanan anak-anak ini sejak dari muda lagi kerana ia melibatkan masa depan mereka selain bagi mengatasi masalah obesiti.
Jangan biarkan anak-anak terdedah dengan makanan atau minuman yang tidak berkhasiat.
Bukan setakat di luar pekarangan sekolah, pengawasan dan pemantauan juga perlu dilakukan di kantin sekolah. Langkah ini bagi mengelakkan keracunan makanan atau penjualan makanan/minuman yang tidak berkhasiat, harga tidak sepatutnya dan ‘khasiat’ makanan.
Berkaitan keracunan ma-kanan, Kementerian Kesihatan sebelum ini melaporkan bahawa, berdasarkan pemantauan yang dilakukan sehingga 16 April 2016, sebanyak 60 episod keracunan makanan (KRM) berlaku di sekolah seluruh negara yang melibatkan 2,325 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 47 (78.3%) episod berlaku di sekolah dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan yang melibatkan 1,900 orang warga sekolah; manakala selebihnya melibatkan sekolah di bawah agensi lain seperti Majlis Amanah Rakyat, Kerajaan Negeri dan sekolah swasta.
Episod KRM di sekolah Kementerian Pendidikan meningkat sebanyak 57% iaitu dari 30 episod tahun 2015 kepada 47 episod pada tahun 2016. Keracunan ini berpunca daripada makanan yang disediakan sama ada di kantin sekolah atau dapur asrama manakala masing-masing satu episod berlaku di prasekolah dan makanan yang dibawa dari luar. Berdasarkan laporan hasil siasatan yang diterima dari Pejabat Kesihatan Daerah terlibat, faktor utama yang dikenalpasti penyumbang KRM ialah bahan mentah tercemar, pencemaran silang semasa pengendalian makanan, makanan disediakan terlalu awal dan dimakan lewat iaitu melebihi empat jam dari masa disediakan. Terdapat juga pengabaian suhu semasa pem prosesan, pengangkutan, penjualan dan penyimpanan bahan mentah serta makanan yang telah dimasak.
Keracunan makanan ini boleh dielakkan sekiranya pengusaha kantin atau dapur asrama memantau dan menyelia proses penyediaan makanan mengikut garis panduan keselamatan makanan yang ditetapkan, begitu juga tahap kebersihan sumber bekalan bahan makanan.
Di samping peranan guru atau penyelia asrama mengawal bahan makanan supaya tidak tercemar, pelajar dan warga sekolah pula perlu dididik dengan amalan sebelum makan/minum iaitu lihat, hidu dan rasa.
Diharapkan, pihak kementerian atau penguatkuasa berkaitan akan lebih kerap turun padang untuk melakukan pemeriksaan kantin dan dapur asrama sekolah bagi memastikan kesihatan warga sekolah terjamin.
Lawatan berkala perlu dijalankan secara berterusan ke kantin-kantin sekolah untuk memastikan pengendali kantin mengikut garis panduan penjualan makanan yang ditetapkan. Difahamkan antara makanan yang dikategorikan sebagai makanan dilarang ialah gula-gula, jeruk, minuman bergas, coklat dan makanan yang berupa mainan seperti cincin, gambar, belon dan sebagainya.
Kawalan pengambilan makanan atau minuman tidak berkhasiat ini perlu dilakukan sejak anak-anak di peringkat prasekolah seterusnya di sekolah rendah. Amat membimbangkan mengenai pemakanan yang menyumbang kepada obesiti seterusnya diabetes.
Seorang pakar diabetes menyatakan, ramalan global untuk epidemik diabetes dari tahun 2015 hingga 2040 dianggarkan meningkat 55 peratus, dengan 415 juta kes dalam tahun 2015 kepada 642 juta pada tahun 2040.
Di Malaysia, kira-kira 3.5 pera-tus atau 17.5 peratus rakyat Malaysia berumur lebih 18 tahun mempunyai penyakit diabetes. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 pula menunjukkan lebih daripada separuh atau 9.2 peratus tidak sedar mereka mempunyai diabetes.
Kajian oleh Persatuan Pemakanan Malaysia menunjukkan hampir 30 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 6 hingga 17 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Jika pemakanan kanak-kanak dan remaja tidak dikawal, tidak hairanlah, rakyat Malaysia lebih gemuk atau ‘berisi’ pada masa hadapan.
Apa yang membimbangkan, jika kawalan pemakanan tidak dilakukan dalam kalangan pelajar, kadar obesiti akan bertambah buruk dan kemungkinan masalah ini kekal sehingga seseorang itu mencecah usia 25 tahun. Ibu bapa yang sibuk turut menyumbang kepada pengambil makanan yang tidak seimbang atau tidak mengamalkan diet dan cara hidup yang sihat.
Lebih buruk apabila, mereka ini tidak ada masa untuk bersenam kerana sibuk sepanjang hari sama ada ke kelas tambahan selepas selesai sesi persekolahan pagi atau asyik bermain dengan telefon pintar, komputer dan sebagainya.
Sebelum ini, satu laporan menyebut, wakil UNICEF Malaysia Marianne Clark-Hattingh berkata, Malaysia adalah salah sebuah daripada negara di Asia Tenggara yang menghadapi masalah berat badan berlebihan dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.
Memetik Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS 2015), Clark-Hattingh berkata, lebih tujuh peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun dikenal pasti mengalami masalah berat badan berlebihan.
Kajian yang sama juga mendapati lapan peratus kanak-kanak dalam kumpulan yang sama menderita masalah kekurangan nutrisi yang teruk. Punca berat badan berlebihan dan kekurangan nutrisi saling berkaitan. Risiko berat badan meningkat seiring dengan peningkatan kepada akses kepada makanan dan minuman tidak berkhasiat, makanan dengan kandungan lemak atau gula dan nilai nutrisi yang rendah, dan kurang aktif dan gaya hidup sedentari.
Justeru, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dengan sokongan kuat oleh PIBG di samping peranan ibu bapa dan guru-guru serta sikap kanak-kanak itu sendiri. Semuanya ini bermula dari rumah. Jika kanak-kanak sudah diasuh tentang diet pemakanan serta pilihan makanan yang berkhasiat, masalah obesiti dan keracunan mampu diatasi.
UMA270217010C_2#