Kes Indonesia cecah 93,657

SINGAPURA merekodkan 354 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes 49,098, kebanyakan melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Terdapat lapan kes dalam komuniti dengan empat daripadanya adalah warga Singapura atau penduduk tetap dan empat pemegang pas kerja.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan memaklumkan terdapat lima kes import dari individu yang diletakkan dalam Notis Duduk Dirumah (SHN) semasa tiba di Singapura.

Setakat ini sebanyak 44,795 kes atau kira-kira 92 peratus daripada keseluruhan kes telah pulih manakala 150 kes masih di hospital, sebilangan besar stabil.

Sejumlah 3,772 pesakit yang mempunyai gejala atau sihat secara klinikal tetapi masih positif diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti. Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

INDONESIA mencatatkan 1,906 kes baharu dan 117 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 12 tengah hari semalam (22 Julai) sehingga 12 tengah hari ini.

Pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 93,657 iaitu tambahan 1,906 manakala kematian pula meningkat kepada 4,576 orang.

Mengikut data terkini pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, sebanyak 47,756 pesakit masih dalam pemantauan.

Sementara itu, Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,525 orang, diikuti Jakarta (751), Jawa Tengah (504), Sulawesi Selatan (287) dan selebihnya di wilayah lain.

FILIPINA setakat pukul 4 petang ini merekodkan 2,200 kes yang disahkan berdasarkan jumlah ujian yang dilakukan oleh 76 daripada 90 makmal semasa.

Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan jumlah kes Covid-19 kini meningkat kepada 74,390.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 1,871 aapabila 28 lagi meninggal.

DOH juga mengumumkan 760 kes pemulihan yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan sebanyak 24,383,

THAILAND terus mencatatkan sifar kes penularan tempatan tetapi masih merekodkan kes import Covid-19, hari ini sebanyak lapan kes.

Mereka dikuarantin sejurus tiba di Bangkok dari Mesir (empat orang) dan masing-masing dua dari Sudan dan Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memberitahu, empat kes dari Mesir melibatkan dua lelaki berusia 21 tahun dan dua lagi pelajar berusia 20 dan 24 tahun.

Dua lagi adalah pelajar lelaki dan wanita berusia 20 tahun yang pulang dari Sudan manakala dua lagi, pekerja yang baru pulang dari AS pada Sabtu lalu.

Setakat ini, Thailand merekodkan 3,269 kes di mana 3,105 kes sembuh sementara 106 pesakit masih dirawat. Jumlah kematian pula kekal 58.

Related posts

Leave a Comment