Zawawi mohon maaf, akui kurang cermat

SEPANG 13 Mei  – Ahli Parlimen Pasir Puteh,  Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memohon maaf atas kekhilafan semasa ceramahnya yang mengaitkan latar kehidupan zaman jahiliah para sahabat Rasulullah SAW khususnya Sayidina Abu Bakar RA, Sayidina Umar RA dan Sayidina Uthman RA sebelum Islam.

Dalam kenyataannya, beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut yang akhirnya menimbulkan kontroversi dan kecaman pelbagai pihak.

“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut.
Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT,” katanya menerusi Facebook.

Beliau menjelaskan tujuan asal kenyataannya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mahupun kepemimpinannya.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya susulan kontroversi tersebut.

Terdahulu, Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sahabat Rasulullah SAW yang disentuh oleh Nik Muhammad Zawawi.

Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah berkata, DUPP telah menegur dan memberi peringatan kepada Ahli Parlimen itu agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah SAW.

“DUPP menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.

Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman jahiliah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan.

DUPP turut menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih dan berharap budaya
saling menasihati dalam perkara ilmu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.

“DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment