Tangan kanan tidak beri tangan kiri pula menjual

SEORANG sahabat dari Pulau Pinang bertanya apa kisahnya isu plastik di Selangor? Riuh rendah
macam boria. Tahu apa itu boria? Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), boria adalah kesenian tradisional dalam kalangan orang Melayu Pulau Pinang yang berupa lakonan (lawak jenaka) dan diikuti dengan nyanyian yang diiringi tarian berkumpulan. Katanya lagi, Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP telah lama melaksanakan peraturan itu tetapi tidaklah riuh seperti di Selangor, negeri di bawah pentadbiran PKR-DAP-Pas. Adakah orang Pulau Pinang lebih terbuka menerima peraturan itu atau orang Selangor lebih ambil tahu mengenai masalah atau bebanan yang ditanggung? Untuk rekod, Melaka juga antara negeri terawal melarang penggunaan beg plastik. Ada perbezaan pelaksanaannya kerana semua ini di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sama dengan Selangor, di Pulau Pinang, setiap beg plastik dikenakan caj 20 sen tetapi di Melaka
khabarnya tidak dikenakan caj sebaliknya terpulang kepada peniaga dan pengguna. Dalam isu ini,
tidak timbul soal rakyat menolak usaha menjaga alam sekitar sebaliknya sen itu yang dipertikaikan.
Orang ramai boleh menerima cukai barang dan perkhidmatan (GST) apabila membeli barang atau menjamu selera kerana nilai sen atau RM itu sudah ‘diserap masuk’ di dalam bil. Rakyat juga sedar hasil GST turut dikembalikan kepada mereka termasuk untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai insentif lain. Sebaliknya bagi setiap sen plastik, pengguna terpaksa keluarkan 20 sen untuk diberikan kepada peniaga jika memerlukannya.

Isu ini tidak timbul jika peniaga serapkan sen itu di dalam harga barang jualan. Berapa sen sangat
nilai plastik itu? Seperkara lagi, ke mana pergi 20 sen itu? Masuk kantung siapa? Peniaga, PBT,
persatuan atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO)? Adakah peraturan itu membebankan
pengguna?

Penduduk Pulau Pinang mungkin boleh beri penjelasan. Menyelak kembali isu ini, Selak pernah menulis mengenai beg plastik ini di bawah tajuk Kenapa jual beg plastik pada hari tanpa plastik’ (14 Jun 2010) dan Kerajaan CAT DAP di Pulau Pinang perlu jelaskan aktiviti PAP (4 Februari 2013). Di Pulau Pinang, ‘pengharaman’ penggunaan beg plastik melalui Hari Tanpa Plastik (HTP) bermula sejak 1 Julai 2009 pada setiap Isnin. Matlamatnya untuk mengurangkan penggunaan plastik bagi melindungi alam sekitar. Kempen secara berperingkat itu melibatkan premis perniagaan seperti pasar raya besar, pasar raya, pasar raya mini, restoran makanan segera dan peruncit. HTP kemudiannya diperluaskan pada Selasa dan Rabu mulai 1 Januari 2010.

Akhirnya mulai 1 Januari 2011, setiap hari tanpa plastik. Ketika melancarkan kempen ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata: Pada hari tanpa beg plastik, sesiapa yang inginkan (beg plastik) akan diminta membuat bayaran 20 sen di bawah prinsip pencemar harus membayar (polluters pay principles) dan kutipan tersebut akan disalurkan kepada akaun Rakan Anti-Kemiskinan) Negeri Pulau Pinang. RAK telah menjayakan usaha Pulau Pinang menjadi negeri pertama menghapuskan miskin tegar dan memastikan setiap keluarga memperoleh RM500 sebulan”. Begitulah senario beg plastik di Pulau Pinang. Ketika itu tidak banyak isu yang timbul. Tidak pasti sama ada ia tidak diberi perhatian atau pengguna patuh peraturan yang bertujuan mendidik masyarakat untuk membantu usaha  kerajaan memulihara alam sekitar. Harus diingatkan bahawa plastik mengambil masa yang lama untuk dilupuskan dan pembakarannya akan membawa pencemaran.

Bagus kempen ini. Bagaimanapun biarlah kena kaedahnya. Tabiat masyarakat kita, setiap barang  perlu diisi di dalam plastik. Maka jika dikenakan caj, mereka akan terfikir sama ada untuk mendapatkan plastik atau tidak. Menjual beg plastik sebenarnya tidak akan membantu kempen menghapuskan’ plastik. Adakah dibuat kajian, sejauh mana kempen itu berjaya mengurangkan penggunaan beg plastik? Adakah peraturan itu menyebabkan permintaan beg plastik berkurangan sehingga peniaga beg plastik tidak dapat berniaga atau kilang beg plastik rugi dan menutup perniagaan? Kempen ini sudah diadakan begitu lama tetapi tidak dapat diterima sepenuhnya. Kenapa begitu?

Pengguna sudah dimaklumkan mengenai pengharaman beg plastik. Mereka sepatutnya lebih bersedia dengan beg plastik atau apa sahaja untuk diisi barang yang dibeli. Di sesetengah lokasi terutama melibatkan pasar ikan, sudah tentu menyukarkan pengguna tanpa plastik. Persoalannya, kenapa hanya pembeli perlu mematuhi peraturan sedangkan penjual tidak memberi alternatif kepada pengguna? Beberapa kelemahan perlu diperbaiki di samping menjelaskan isu berbangkit. Contohnya, di Pulau Pinang, ke mana hasil jualan beg plastik itu?

Kononnya disalurkan kepada persatuan kebajikan. Ramai yang mempersoalkan isu ini tetapi sejauh mana kesudahannya? Jika benar untuk kebajikan, hasil ‘jualan’ beg plastik itu perlu sampai ke  sasaran. Biar ada akaun berkaitan. Jangan niat pengguna membayar 20 sen untuk derma kebajikan tetapi hasilnya masuk kantung pihak yang berkepentingan. Bagi sesetengah orang, 20 sen, 50 sen atau RM1, mereka akan membayar apabila terdesak. Di sini harga bukan isunya tetapi sejauh mana kita serius mengharamkan beg plastik. Bagaimana jika diharamkan terus selepas ada alternatif lain? Apa reaksi pengguna dan peniaga? Sampai bila pengguna yang mampu perlu ‘membuang’ 20 sen untuk plastik?

Wajibkan pula peniaga menyediakan beg kertas yang mesra alam. Janganlah kempen ini bagai melepaskan batuk di tangga, sekadar ada atau ikut-ikutan. Kempen tanpa plastik ini tidak akan berjaya selagi tangan kanan tidak memberi tetapi tangan kiri pula menjual. Penggunaan kertas bukanlah sesuatu yang baharu kerana ketika plastik belum muncul secara meluas, kertaslah sebagai pembungkus. Suri rumah pula akan membawa bakul rotan ke kedai runcit. Kertas surat khabar dijadikan bungkusan dalam pelbagai bentuk untuk diisi barangan basah atau kering. Penulis dapat merasai pengalaman itu kerana pernah membuat bungkusan seumpama itu untuk dijual di kedai.

Matlamat kempen adalah untuk menghapuskan penggunaan beg plastik bukannya menggalakkan
pengguna membawa beg sendiri. Mungkinkah ada insentif untuk pengguna membawa beg sendiri
seperti dilakukan oleh sesetengah pasar raya besar? Apa kata setiap beg yang dibawa pengguna ditawarkan nilainya 20 sen? Apa salahnya caj itu berbalik kepada peniaga. Biar apa pun, didiklah rakyat Malaysia untuk mencintai alam sekitar walaupun hakikatnya ini satu kerja sukar. Bukan plastik sahaja mencemarkan alam, banyak lagi aktiviti manusia yang mencemarkannya.

UMA300117008C#

Related posts

Leave a Comment