Luah perasaan tanpa rosakkan harta awam

KETIKA melintasi laluan ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Plaza Rakyat melalui Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral baru-baru ini, saya terpandang papan iklan (billboard) yang tertera slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan dan juga 1Malaysia. Malangnya slogan itu diconteng dan ditambah perkataan lain. Papan iklan itu yang nampak ‘uzur dan pudar’ telah dikotori. Memalukan juga apabila slogan Sayangi Kuala Lumpur, Kebersihan Bandaraya, Tanggungjawab Bersama seolah-olah diabaikan. Tiada siapa peduli dengan slogan itu dan mereka tidak malu mencontengnya. Khabarnya, sudah lebih setahun keadaan itu. Mungkin tidak ada pelawat VIP yang berkunjung ke situ selepas kunjungan Perdana Menteri, Najib Tun Razak ke kawasan berkenaan suatu masa dulu.

Mungkin kedudukannya tersorok, maka ia tidak dipedulikan. Tidak ada VIP yang melalui kawasan itu kerana tidak ada sebab untuk ke sana kecuali jika ada lawatan. Jika diatur lawatan, tentulah papan iklan itu akan dicat semula atau dipadamkan, biarkannya kosong tanpa slogan. Begitulah nasib papan iklan terpinggir, tidak dipeduli walaupun kehadirannya di situ menyakitkan mata. Sama ada masih ada di situ atau tidak, persoalannya kenapa ia dibiarkan terlalu lama ‘keletihan’ di situ. Adakah tidak ada pemantauan, sekurang-kurangnya sebulan sekali. Bukan sekadar memantau papan iklan itu tetapi suasana di sekitarnya bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna. Wujudkan suasana ceria di dalam dan di luar bangunan kerana ia kawasan tumpuan pelbagai lapisan manusia termasuk pelajar. Selak tidak bermaksud mahu mempertikaikan mana-mana pihak tetapi vandalisme seperti ini sepatutnya diberi perhatian kerana ia melibatkan isu-isu berkaitan kenegaraan. Jika hayat papan iklan itu sudah tamat, elok dipadam keseluruhannya dengan cat atau dihumbankan sahaja ke kawasan hutan batu Plaza Rakyat.

Vandalisme berlaku di mana-mana sahaja dan mereka yang kreatif akan menconteng dengan perkataan-perkataan yang memalukan serta boleh menimbulkan kemarahan. Walaupun masyarakat kita terdiri daripada golongan yang berpendidikan tetapi vandalisme masih berlaku. Ada sahaja tangan-tangan gatal yang merosakkan harta awam. Inilah salah satu tabiat buruk segelintir masyarakat. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, vandalisme ialah perbuatan membinasakan, merosakkan harta benda awam atau persendirian. Perbuatan ini ada di mana-mana. Pelakunya sudah tentu mereka yang nakal, tidak mempunyai kesedaran sivik atau tidak ada perasaan bertanggungjawab menjaga harta awam ini.

Perbuatan ini juga melibatkan pelbagai latar belakang kehidupan. Sejauh mana golongan remaja dikatakan sebagai penyumbang kepada perbuatan ini? Hakikatnya, bukan sahaja remaja tetapi golongan lain juga terlibat. Perbuatan ini juga bukan sahaja melibatkan mereka yang hidup di jalanan tetapi kumpulan manusia yang berakal dan berpelajaran. Kadang-kadang insan jalanan itu lebih menghargainya. Dalam isu ini, kita tidak perlu keluar jauh untuk melihat vandalisme. Cukuplah perhatikan di rumah, pejabat dan sekolah. Ada sahaja yang menjadi ‘mangsa’ vandalisme walaupun sekadar contengan. Faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku antara lain disebabkan tekanan dan emosi. Mereka ingin meluahkan perasaan marah, gembira, bosan, sedih dan sebagainya.

Ada juga yang berkata, mereka mahu menunjuk kebolehan, menarik perhatian orang lain dan juga untuk keseronokan atau kepuasan diri sendiri. Mereka yang marah akan melepaskan perasaan itu dengan menconteng dan menulis di dinding, tembok, pintu dan sebagainya dengan perkataan-perkataan yang berbentuk kutukan dan kemarahan. Ada juga yang menulis perkataan lucah serta slogan dan lukisan yang memalukan. Lebih parah apabila mereka melepaskan geram dengan merosakkan sama sekali kemudahan berkenaan. Contohnya telefon awam yang suatu masa dulu  pernah diletupkan. Mujurlah telefon awam pada hari ini bukan lagi satu keperluan utama kerana di tangan masing-masing sudah ada telefon mudah alih. Suatu masa dulu, telefon awam merupakan satu keperluan. Itulah satu-­satu­ nya alat perhubungan yang ada. Sebarang kerosakan kemudahan ini boleh me­nyusahkan orang lain yang memerlukannya ketika da­lam keadaan kecemasan seperti untuk mendapatkan ambulans, bomba atau polis. Hari ini sasaran vandalisme lebih kepada contengan. Ada juga yang merosakkan kemudahan tertentu seperti milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Difaham­kan, KTMB terpaksa mem­belanjakan lebih RM6 juta tahun lepas untuk menampung kos menggantikan kira-­kira 1,300 unit tingkap koc komuter yang pecah akibat vandalisme.

Tingkap ini pecah atau re­tak akibat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab memba­ling batu ketika komuter melalui trek. Walaupun batu berkenaan tidak menembusi tingkap yang pecah atau retak tetapi akibatnya perkhidmatan komuter boleh terjejas. Hanya kerana perbuatan itu, kemungkinan koc berkenaan tidak boleh digunakan untuk sementara waktu. Bagaimana­ pun mungkin disebabkan keper­luan permintaan, ada koc yang tingkapnya kelihatan retak seribu masih beroperasi. Kadang-­ka­dang ternampak air bertakung di celah-­celah tingkap berlapis yang sudah retak itu. Mungkin disebabkan tingkap yang berla­pis, lontaran batu itu tidak me­nyebabkan tingkap pecah sepenuhnya. Apa terjadi jika pecah dan batu melantun ke arah pe­numpang? Kos membaiki kero­sakan itu sepatutnya digunakan untuk keperluan lain yang lebih berfaedah kepada perkhidma­tan itu tetapi akibat ingin men­cari kepuasan dalam kalangan pelaku, maka soal kerugian dan bahaya tidak dipedulikan. Mung­kin kesan vandalisme nampak kecil disebabkan tidak ada ke­celakaan tetapi bagaimana jika berlaku sesuatu yang lebih besar? Hanya kesedaran sivik orang ramai dapat menyelamatkan harta benda awam ini. Luahkan pe­rasaan anda tanpa merosakkan harta benda awam.

UMA230117010C#

Related posts

Leave a Comment