Dua tahun lagi, jangan lupa ‘hang pi MAHA 2018’

SEKALUNG tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana berjaya menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 dengan baik. Kehadiran pengunjung mencecah hampir 4 juta orang menjangkaui sasaran awal 3 juta. Sasaran itu dicapai Sabtu lalu dan semasa majlis penutup tengah hari semalam, jumlah itu meningkat kepada 3.5 juta. Angka itu akhirnya menghampiri 4 juta, tidak termasuk mereka yang memasuki kawasan itu bukan melalui pintu rasmi. Bukan setakat pengunjung, jualan dan perjanjian jualan juga meningkat iaitu RM380 juta berbanding sasaran RM200 juta. Apakah yang mendorong sambutan hebat ini? Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery Cheek, sambutan luar biasa antaranya adalah kerana konsep agrotainmen yang turut menarik kehadiran golongan belia. Secara tidak langsung memupuk minat mereka kepada pertanian.

Apa pun alasannya, sudah tentu setiap pengunjung mempunyai pelbagai matlamat apabila berkunjung ke sana dalam tempoh 11 hari penganjuran. MAHA berjaya menarik perhatian keluarga diraja, pemimpin kerajaan pusat dan negeri serta rakyat pelbagai peringkat usia. Walaupun cuaca kurang baik, hujan sehingga menyebabkan sesetengah kawasan becak tetapi, sambutan yang diberi amat memberangsangkan. Konsep serta pembaharuan yang dibuat terus menggamit kehadiran para pengunjung. Menarik perhatian juga pada kali ini ialah promosi dan
publisiti yang diadakan. Penganjur begitu kreatif mempromosikan MAHA melalui video klip lagu Hang Pi Maha (lagu asal Hang Pi Mana), nyanyian kumpulan Khalifah. Lirik serta video klipnya telah menceritakan segala-galanya apa yang ada di MAHA 2016. MAHA bukan sekadar pameran pertanian atau pesta jualan tetapi lebih daripada itu. Di dalamnya ada pelbagai komponen yang menjadi perhatian pengunjung.

Sesuatu yang harus dihargai apabila penganjur tidak mengabaikan ruang untuk pengunjung menunaikan solat. Buat kali pertama, solat Jumaat juga dilangsungkan di MAHA. Jumlah surau juga memuaskan. Setiap ‘laman’
pameran akan ada surau, sama ada saiz kecil atau besar. Tidak timbul lagi masalah tempat untuk solat lima waktu. Semalam, ketika menutup MAHA, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan tapak MAHA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) dijadikan pusat agropelancongan bagi mempromosi produk pertanian di dalam dan luar negara. Tapak itu akan terus dihidupkan sepanjang tahun.

Langkah itu amat baik kerana MAHA hanya muncul dua tahun sekali. Dewan sedia ada di tapak itu sebelum ini menjadi lokasi pelbagai pameran termasuk Pesta Buku Antarabangsa, Jualan Mega, dan acara-acara sambutan
tertentu. Sebuah universiti juga ditempatkan di situ. Nafas Cube yang menyediakan penginapan ala resort termasuk khemah yang turut berada di dalam komponen MAHA akan terus ‘bernafas’ dengan pelbagai aktiviti. Pavilion atau Rumah Negeri yang begitu indah khususnya Perak (Rumah Negeri Terbaik MAHA 2016), juga tidak harus dibiarkan sepi tanpa aktiviti sehingga MAHA 2018. Dalam hubungan ini, kerajaankerajaan negeri boleh menjalankan aktiviti bagi tujuan promosi pelbagai industri tempatan.

Sesuai dengan tema kali ini Makanan Kita, Masa Depan Kita, diharapkan para pengunjung terutama generasi muda dapat menyedari tentang pentingnya pengeluaran makanan di dalam negara untuk masa depan. Selama mana kita perlu bergantung kepada import makanan? Bagi yang berkunjung ke MAHA, sedikit sebanyak dapat mengenali lebih dekat pelbagai teknologi bagi meningkatkan kualiti seterusnya pengeluaran pertanian. Buat orang lama atau veteran, MAHA mengimbau kembali pelbagai nostalgia sementara orang muda boleh mengenali pelbagai teknologi baharu di samping menyelak semula bagaimana industri pertanian diusahakan oleh orang terdahulu.

Zaman sudah berubah. Aktiviti pertanian secara tradisional turut berubah. Jika diselak pada masa lalu, betapa sukarnya untuk menghasilkan beras secara konvensional tetapi hari ini, semuanya lebih mudah. Nostalgia
bagaimana padi dihasilkan boleh dilihat di Laman Padi yang dikendalikan oleh Bernas. Di situ dipamerkan
peralatan tradisional bermula kerja membajak tanah sehinggalah menghasilkan beras. Turut menarik perhatian pertandingan bola sepak bendang melibatkan institusi pengajian tinggi tempatan. Meriahnya sukan bergelumang dengan selut. Saya berpeluang melihat pertandingan akhir Sabtu lalu yang turut dihadiri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai salah satu badan penganjur. Bukan mudah untuk menendang bola walaupun sepakan penalti. Bendang bukan setakat padi tetapi ada aktiviti lain yang boleh dilakukan. Begitu juga dengan sudut sayur-sayuran. Di mana sahaja kita boleh menanam sayur. Tidak perlukan tanah yang luas sebaliknya cukup di dalam pasu. Semua bergantung kepada kemahuan.

Seperti yang ditegaskan oleh Ahmad Zahid, apabila Transformasi Nasional 2050 (TN50) dicapai pada 2050, Malaysia yang dijangka mempunyai kira-kira 50 juta penduduk tidak perlu lagi mengimport makanan. Persoalannya, adakah kita bersedia? Bukan setakat menghentikan import tetapi juga mengeksport. Diharapkan MAHA dapat memberi kesedaran betapa pentingnya pertanian ini. MAHA tidak harus dilihat sebagai pesta jualan,
hiburan tetapi selaklah apakah kepentingan di sebaliknya yang boleh menjana pendapatan diri, keluarga, masyarakat dan negara. MAHA akan datang juga diharap dapat menampilkan ‘lebih dekat’ penglibatan negara luar. Sekali lagi tahniah kepada kementerian khususnya Menterinya, Ahmad Shabery Cheek, timbalannya, Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian, Dr. Ismail Bakar yang tidak henti-henti ‘turun padang’ sebelum dan semasa MAHA. Semoga bertemu lagi di MAHA 2018!

UMA121216012C#

Related posts

Leave a Comment