Apa peranan sebenar pertubuhan Melayu

SIAPA pula rakan baharu Pas dalam pakatan pembangkang yang bakal diumumkan nanti? Sebelum ini, Pas sudah menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang sama ada yang dipimpin oleh orang Islam atau bukan Islam. Menyelak kembali kerjasama itu, Pas pernah bersama dalam gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Gagasan Rakyat dan Pakatan Rakyat. Setelah menyedari hakikat keperluan kerjasama seperti dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), Pas sudah bersama parti pelbagai kaum untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU). Pas pernah bersama parti politik seperti DAP, PBS, PRM, IPF, MSP, S46, Hamim dan PKR. Maka, tidak hairanlah Pas akan terus menjalinkan kerjasama politik dengan parti lain dalam menghadapi BN dan gabungan DAP-Amanah-PKR. Persoalannya, siapa rakan baharu Pas? Tidak dinafikan semakin banyak parti politik semakin meriahlah PRU. Tetapi sejauh mana ia menguntungkan rakyat lebih-lebih lagi apabila parti yang muncul itu diasaskan oleh orang Melayu?

Mengambil kira parti politik yang dipimpin Melayu, kita ada pelbagai pilihan sama ada UMNO, Pas, PKR, Berjasa, Hamim, KITA, Amanah, PRM, DAP, Gerakan dan MyPPP. Begitulah kehebatan orang Melayu berpolitik. Diharapkan, ‘perpecahan’ yang melibatkan parti politik ini tidak menjejaskan perpaduan dan kesatuan umat Melayu. Jangan menang sorak, kampung tergadai. Ini bukan isu sentimen kaum tetapi soal kedudukan dan masa depan orang Melayu. Selak tidak berhajat mengulas lebih lanjut mengenai sit-uasi politik ini kerana sudah banyak yang diperkatakan. Cuma berapa banyak pun parti politik dipimpin Melayu, biar sejauh mana bergaduh, jangan sampai kita sekadar mendapat untung secupak, rugi segantang. Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Biarkan politik dengan gaya politiknya tetapi perpaduan kaum itu sendiri harus diperkukuhkan. Jangan kerana politik kita berpecah belah sehingga sanggup membuka pekung di dada atau menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. Akibatnya, keburukan dan aib kita terdedah. Apabila dalam keadaan marah, tidak ada lagi kebaikan, semuanya mengenai keburukan.

Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar. Apa juga nasihat Melayu pada masa lalu seperti cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar tidak dihiraukan. Mereka sudah tidak kenal musang berbulu ayam, api dalam sekam dan musuh dalam selimut. Akhirnya perpaduan terjejas dan ketika itulah ada yang menangguk di air keruh atau menahan lukah di pergentingan.

Berbalik kepada perpaduan, saya begitu kagum melihat sebuah bangunan yang tersergam di Seri Kembangan, dekat Serdang. Setiap hari berulang-alik melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban atau melalui Serdang Lama, mata pasti tertumpu ke bangunan yang ‘berdiri megah dan gagah’ di tepi lebuh raya itu. Pada peringkat awal pembinaannya, saya tertanya-tanya apakah bangunan yang begitu gah di tepi lebuh raya itu. Akhirnya pada 16 Januari lalu, persoalan itu terjawab apabila Perdana Menteri, Najib Tun Razak diundang merasmikan bangunan itu, Wisma Huazong, ibu pejabat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia atau The Federation of Chinese Associations Malaysia.

Bangunan ini akan memudahkan urusan membabitkan masyarakat Cina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kaum berkenaan. Kata Najib, pembinaan bangunan terbabit menjadikan gerakan NGO Cina itu dipandang tinggi oleh masyarakat Cina di negara lain. Pada majlis sama, Najib mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM3 juta untuk menampung dana

Huazong yang masih kurang RM12 juta. Pada tahun 2011, kerajaan menyalurkan bantuan RM5 juta bagi pembinaan wisma 12 tingkat itu bernilai RM85 juta. Wisma ini yang digerakkan pembinaan sekitar tahun 2009 turut dilengkapi dewan makan yang dapat memuatkan 150 meja makan dan auditorium.

Carian Wikipedia menunjukkan, Huazong ditubuhkan pada 1991 sebagai persekutuan bagi kesemua Dewan Perhimpunan Cina negeri di Malaysia di mana bernaungnya semua pertubuhan Cina seluruh negara bagi memperjuangkan sosio-ekonomi, budaya, pendidikan dan kebajikan rakyat berketurunan Cina di Malaysia. Presidennya ialah Tan Sri Pheng Yin Huah. Pada tahun 2008, Huazong melancarkan Pelan Tindakan (PoA) Malaysia 20 Tahun di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur. Lebih 40 pakar pendidikan daripada semua kaum dalam pelbagai bidang berkongsi pandangan menuju cabaran 2030. Lima sektor tumpuan ialah, Sosial an alam sekitar; Kebudayaan; Pendidikan; Ekonomi; Politik dan tadbir urus. Begitulah serba sedikit mengenai gabungan ini. Tahniah Huazong!

Kini gabungan itu boleh berbangga kerana impian untuk membina sebuah bangunan miliknya menjadi kenyataan. Ini adalah hasil perpaduan pelbagai pertubuhan dan persatuan Cina serta jutawan terutama dalam kalangan masyarakat Cina. Keupayaan gabungan ini patut menjadi contoh kepada pertubuhan yang diterajui orang Melayu.

Bukan untuk bermegah atau mempamerkan ‘kekuatan’ tetapi menunjukkan kesepaduan masyarakat. Sekurang-kurangnya gabungan pertubuhan Melayu ini ada sesuatu yang boleh dibanggakan. Apakah ada sebuah bangunan seumpama itu milik pertubuhan Melayu? Berapa banyak pertubuhan Melayu yang bertindak seperti pertubuhan Cina ini? Ketepikan bangunan yang dibangunkan atas nama parti politik atau individu Melayu. Saya tidak pasti berapa banyak bangunan di Kuala Lumpur ini benar-benar berdiri tegak atas nama kesatuan Melayu. Bagi membilang jutawan Melayu pun amat sukar. Orang Melayu tidak boleh berbangga dengan ‘kejayaan’ yang bersandarkan kepada agensi kerajaan kerana apabila jatuh sesebuah kerajaan, belum pasti semuanya selamat.

Seribu satu kemungkinan boleh berlaku terhadap bangunan-bangunan yang dikatakan menjadi sandaran kejayaan Melayu seperti Bank Islam, Mara, Felda, Tabung Haji, PNB dan sebagainya. Perubahan landskap politik akan menyebabkan agensi kerajaan juga akan berubah kerana segala peraturan dan undang-undang itu adalah ciptaan manusia. Janganlah terlalu megah menumpang kejayaan kerajaan atau pihak lain. Berdirilah di atas kaki sendiri. Jika orang lain boleh berjaya kenapa orang Melayu tidak? Jika kena cara dan kaedahnya serta tidak ada sebarang ‘politiking’ serta pelbagai ‘penyakit’ dalam masyarakat Melayu yang mengendali pertubuhan atau persatuan ini, sudah tentu perancangan yang baik boleh menjadi kenyataan. Masalahnya, kita bimbang di dalam pertubuhan ini pun haru-biru atau kalut sama seperti parti politik.

Diharapkan pertubuhan Melayu dapat melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan, bukan sekadar mencanangkan keahlian. Jangan sekadar hebat menjadi jurucakap untuk menyatakan sokongan, bantahan, membuat laporan polis, menyertai demonstrasi dan sebagainya yang bersifat sementara. Gabungan pertubuhan Melayu harus bersatu dalam apa juga keadaan. Susah senang dihadapi bersama bagaikan hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah; berat sama dipikul, ringan sama dijinjing atau bukit sama didaki, lurah sama dituruni.

UMA140316010C_2#

Related posts

Leave a Comment