GENEVA – Situasi kemanusiaan yang sudah sedia kritikal kini semakin buruk susulan pertempuran di Yaman yang menyebabkan puluhan ribu lagi penduduk memerlukan bantuan untuk terus hidup.
Menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, seramai
22 juta orang, hampir separuh daripada keseluruhan penduduk, bergantung kepada bantuan kemanusiaan.
Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di Yaman Abdusattor Esoev berkata, sumber yang ada sangat terhad dan bekalan akan habis tidak lama lagi.
Manakala wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Francesco Galtieri, yang mengendalikan kesihatan seksual dan reproduktif, berkata krisis semakin meruncing “dari jam ke jam.
Selama bertahun-tahun, kerajaan memerangi kumpulan Houthi yang menguasai bahagian utara negara itu dan ibu negara Sana’a sejak 2014.
Kumpulan itu menawan pantai Laut Merah di sepanjang Selat Bab al-Mandab yang mempunyai kepentingan strategik pada minggu lepas, manakala pertempuran masih berterusan di daerah pedalaman.
Menurut Abdusattor, sekurang-kurangnya 112,000 orang kehilangan tempat tinggal, dengan lebih 100,000 melarikan diri dalam tempoh dua minggu lepas sahaja
