PTPTN: Peminjam perlu pegang konsep pinjaman wajib dibayar

SETIAP tahun, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memerlukan dana sebanyak RM5 bilion untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara. Akibat kekangan kewangan yang turut dipengaruhi oleh sikap liat penerima bantuan atau pinjaman itu, mulai 1 November lalu, PTPTN terpaksa menyusun semula kadar pembiayaan iaitu bagi pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pinjaman dikurangkan sebanyak lima peratus dan 15 peratus pula untuk pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Bagaimanapun jumlah pembiayaan pelajar ijazah Sarjana Muda Perubatan di IPTS dikekalkan dan tidak mengalami sebarang pengu-rangan kerana yuran pengajiannya yang tinggi. Pengurangan peratusan itu tidak dapat dielakkan berikutan kekangan dana PTPTN bagi menampung keperluan 50,000 peminjam baharu untuk melanjutkan pelajaran di IPT seluruh negara.

Berikutan pengurangan tersebut, apakah kesannya terhadap pelajar-pelajar baharu ini? Siapa yang paling terasa kesannya akibat pengurangan tersebut? Khabarnya, ramai pela-jar Melayu yang sepatutnya boleh ditempatkan di IPTS terpaksa berfikir dua tiga kali sebelum melanjutkan pengajian­ mereka. Merekalah (anak-anak Melayu) yang masih muda terpaksa `beratur’ panjang menantikan bantuan atau pinjaman ini. Menurut sumber, ramai yang terpaksa menangguhkan hasrat untuk meny-ambung pelajaran ke IPT kerana bimbang kos yang tinggi.

Kebanyakan daripada pelajar ini juga terdiri daripada keluarga yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Berdasarkan kos pengajian, mereka memang tidak mampu untuk mengharapkan keluarga menanggung pembiayaan pengajian. Hanya pinjaman melalui PTPTN yang dapat menyokong pengajian mereka. Ada yang berhenti setakat diploma sahaja kerana tidak mampu melanjutkan pengajian di peringkat sete­rusnya. Hakikatnya, mereka layak ke peringkat lebih tinggi. Ada dalam kalangan mereka yang bekerja sementara dan setelah mendapat gaji, mereka ‘liat’ untuk menyambung pelajaran. Ini satu kerugian bukan sahaja kepada mereka tetapi negara.

Walaupun mereka tidak mampu bersaing dengan rakan-rakan lain yang dapat memasuki IPTA yang menawarkan kos pengajian yang lebih murah serta pelbagai kemu­ dahan yang boleh dianggap percuma, tetapi kelulusan yang ada masih membuka ruang untuk mereka belajar dalam bidang kemahiran tertentu di luar IPTA. Masing-masing mempunyai ‘kelayakan’ tersendiri dalam bidang tertentu. Amat malang, peluang belajar golongan ini tertangguh atau terhenti di separuh jalan akibat masalah kewangan. Berbanding IPTA yang banyak kemudahan sudah disediakan untuk pelajar-pelajar tetapi bagi IPTS, banyak wang yang perlu digunakan untuk membiayai pengajian.

Sesuatu harus dilakukan supaya generasi muda pelajar ini terutama dalam kalangan anak Melayu tidak tercicir sedangkan mereka mempunyai masa depan yang baik dalam bidang kemahiran tertentu. Keadaan ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya, setiap pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN menginsafi kewa­jipan membayar balik pin­jaman setelah bekerja. Malangnya ramai yang liat berbuat demikian selepas tamat pengajian sehingga PTPTN terpaksa ‘menghukum’ orang lain yang tidak bersalah. Mujurlah, bagi peminjam yang ibu bapa mereka disenaraikan sebagai penerima BR1M, akan menerima pembiayaan maksimum PTPTN.

Pada masa yang sama, langkah berterusan perlu dilakukan bagi menyedarkan peminjam untuk membayar balik pembiayaan yang mereka peroleh. Peminjam perlu disedarkan bahawa pembayaran ba-lik dapat membantu memulih atau meningkatkan dana PTPTN untuk diagihkan kepada pelajar baharu. PTPTN tidak lagi boleh menunggu peminjam datang ‘menyerah diri’ untuk membayar sebaliknya perlu mencari mereka yang liat berbuat demikian. Langkah memperkenalkan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) diharap dapat melatih peminjam menjadi lebih bertanggungjawab. Ini juga merupakan pendekatan paling mudah untuk menggalakkan pelajar yang masih berhutang dengan PTPTN melunaskan pinjaman dengan kadar segera. CCRIS bukan bertujuan menyenarai hitamkan nama pe­ minjam sebaliknya bagi memudahkan institusi kewangan melihat rekod peminjam untuk pelbagai urusan kredit pada masa akan datang. Langkah itu sedikit sebanyak­ ‘menakutkan’ peminjam yang ma­sih ‘liat’ membuat bayaran balik.

Ada sesetengah peminjam yang sudah bekerja dan mampu membayar pinjaman enggan berbuat demikian. Apakah masalah golongan seperti ini? Adakah mereka mementingkan diri sendiri? Bagi menyedarkan­ golongan ini, mulai 1 Januari depan, sebanyak 558,475 peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman sejak 1997 akan disenaraikan dalam CCRIS. Pada peringkat awal, penyenaraian melibatkan 173,985 peminjam iaitu mereka yang tidak pernah membuat bayaran balik melebihi tiga tahun dari tarikh sepatutnya yang melibatkan dana berjumlah RM1.23 bilion. Jumlah ini amat besar dan kegagalan­ mengutipnya akan menjejaskan dana PTPTN. Eloklah menjelang 31 Disember ini, mereka yang masih berdegil dapat mengunjungi mana-mana 25 cawangan PTPTN seluruh negara untuk bayaran balik atau berunding menyusun semula akaun. Bayangkan bagi tahun ini sahaja, sehingga 30 September lalu, kutipan bayaran balik pinjman adalah sebanyak RM447 juta berbanding­ sasaran RM850 juta. Jika diselak lebih jauh, sejak diwujudkan pada 30 September 1997 sehingga 30 September lalu, bayaran balik yang diperoleh ialah RM5.41 bilion melibatkan 996,610 peminjam berban­ ding RM48.3 bilion yang dikeluarkan untuk 2.1 juta peminjam.

Syukurlah selepas CCRIS diper­ kenalkan, sudah timbul kesedaran untuk membayar balik pinjaman. Pengerusi PTPTN, Shamsul Anuar Nasarah memberitahu, jumlah kutipan meningkat kepada RM3.5 juta sehari berbanding RM1.2 juta dan RM2.5 juta sebelum ini. Diharapkan, trend ini berterusan. Peminjam-peminjam haruslah menghargai peluang yang diberikan oleh PTPTN ini. Apa yang lebih penting, peminjam ini tidak harus menjadi penghalang untuk lebih ramai orang terutama generasi muda menyambung pengajian mereka. Bayangkan, jika perkara yang sama berlaku terhadap adik-adik atau pada masa hadapan anak-anak mereka. Berpeganglah kepada konsep setiap hutang yang kita pinjam wajib dibayar. Diharapkan juga, PTPTN lebih agresif untuk menggalakkan ibu bapa menabung melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Mulakan simpanan sebaik sahaja anak dilahirkan kerana kita tidak tahu keperluan kewangan untuk pendidikan­ pada masa hadapan. Misalnya dengan deposit bulanan sebanyak RM20, selama 17 tahun, simpanan itu dijangka meningkat sehingga RM5,627 berdasarkan andaian dividen sebanyak 4 peratus setahun. Jumlah itu mungkin kecil tetapi sekurang-kurangnya, setiap anak mempunyai deposit yang boleh melayakkan pinjaman dibuat. Wang ini juga jika tidak diganggu boleh menjadi sandaran untuk membayar balik pinjaman.

UMA221214010C#

Related posts

Leave a Comment