Tol percuma pada 20, 21 Januari

PUTRAJAYA 18 Jan. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tol percuma kepada semua kelas kenderaan sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata tol percuma itu boleh dinikmati pengguna lebuh raya di seluruh negara pada 20 dan 21 Januari ini.

Langkah itu hasil perbincangan pihak kerajaan dengan syarikat konsesi yang terlibat.

“(Ada) berita baik (untuk Tahun Baharu Cina). Untuk itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Anthony Loke) sudah mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi dan setuju supaya ditiadakan tol bagi 20 dan 21 Januari.

“Ia untuk memudahkan kerana ramai rakyat yang akan pulang ke kampung bukan saja (masyarakat) Cina tetapi juga Melayu, India dan yang lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Langkah itu memberi implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM40 juta.

Anwar pada masa yang sama turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan serta patuh terhadap undang-undang jalan raya bagi mengurangkan jumlah kemalangan ketika cuti musim perayaan ini.

Bagaimanapun kerajaan masih belum memperincikan berkenaan tol percuma untuk tempoh dua hari ini.

Related posts

Leave a Comment