Meraikan ‘kemenangan’ dalam kesedihan, kedukaan

SYUKURLAH selepas sebulan berpuasa, kita dapat meraikan hari kemenangan, Hari Raya Aidilfitri. Ramadan yang meninggalkan kita semalam diharap dapat mendidik umat Islam untuk menggandakan ibadat sepanjang bulan dan diteruskan lagi pada bulan berikutnya. Semoga Ramadan mampu memantapkan akidah serta semangat beribadat. Syukur juga bagi mereka yang berjaya mengisi Ramadan dengan ibadah yang secukupnya untuk memohon keampunan Allah. Kepada yang leka dan lalai sepanjang bulan lalu, berusahalah memperbaikinya lagi sekiranya diizinkan untuk ke temu semula bulan yang penuh keberkatan itu. Diharapkan segala amalan kita sepanjang Ramadan sama ada puasa, solat sunat, membaca al-Quran, sedekah dan sebagainya dapat diterima Allah SWT.

Kini kita menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Idulfitri iaitu hari meraikan kemenangan. Menang kerana berjaya melaksanakan kewajipan yang dituntut oleh agama serta memperoleh ganjaran pahala yang besar. Raikan kemenangan ini dengan takbir, tasbih dan tahmid. Seperti biasa, saban tahun, tradisi balik kampung terus mewarnai kemeriahan Aidilfitri. Walaupun ada yang menyifatkannya sebagai `mimpi ngeri’ ketika dalam perjalanan pulang ke kampung akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya selama berjam-jam, tetapi semua mimpi itu berubah sebaik sahaja menjejakkan kaki di kampung. Penat terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas hilang apabila dapat bertemu keluarga.

Kesesakan di lebuh raya atau di jalan raya tidak dapat dielakkan lagi. Jumlah kenderaan di dalam negara terus bertambah. Bayangkan 1.5 juta kenderaan meninggalkan ibu negara sejak Jumaat lalu dengan tumpuan ke destinasi utara, selatan dan timur. Bagi yang sudah ada di kampung, syukurlah hasrat untuk menjengah sanak saudara tercapai. Sekurang-kurangnya kita berpeluang menemui orang tersayang, saudara-mara dan sahabat handai di kampung menjelang 1 Syawal. Kunjung mengunjung dan ziarah menziarah sambil menikmati pelbagai juadah sudah menjadi kelaziman ketika di kampung. Begitulah kemeriahan Aidilfitri di negara kita. Sambutannya memang meriah tetapi dalam kemeriahan itu masih ramai insan yang berduka. Mungkin ada yang terpaksa bekerja dan pulang ke kampung lebih lewat. Masih ada juga yang berduka kerana tidak puas hati dengan cuti yang diperoleh untuk berhari raya. Biar apa pun, bersyukurlah. Ingatlah ada orang lain yang langsung tidak berpeluang bersama keluarga.

Tidak semua layak mendapat cuti pada hari raya. Jika kita merasakan tidak dapat pulang berhari raya, masih ada orang lain yang perlu berada di lokasi kerja. Janganlah kita hanya memikirkan peluang diri sendiri untuk berhari raya. Fikirkan sama hak orang lain.

Walaupun negara kita dalam keadaan aman yang membolehkan setiap lapisan masyarakat menyambut Aidilfitri, masih ada pihak yang tidak tenteram menyambut hari lebaran ini. Kita sedia maklum kehilangan pesawat MH370 yang terus menjadi misteri. Keluarga mangsa masih mengharapkan kepulangan mereka. Rasanya tidak ada perkataan yang boleh diucapkan sekiranya persoalan itu terjawab ketika ketibaan 1 Syawal pada hari ini. Begitu juga tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh. Keluarga mangsa amat mengharapkan cebisan mayat tiba di tanah air menjelang hari raya tetapi harapan itu tidak kesampaian. Mereka terpaksa menunggu satu atau dua minggu lagi. Begitulah kedukaan mereka yang sedang menanti kepulangan orang tersayang. Lebih pilu kehilangan orang tersayang itu berlaku menjelang Syawal ini.

Ketika kita menerima hakikat bahawa semuanya itu sudah ketentuan Tuhan tetapi kematian melibatkan MH17 amat pedih kerana mangsa terperangkap dalam kemelut pihak yang bertelagah. Pesawat MAS menjadi sasaran dan mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa. Bagi berkongsi kedukaan, eloklah, MAS menghentikan siaran lagu-lagu hari raya di dalam pesawatnya.

Dalam kita gembira menyambut Aidilfitri ini juga, jangan dilupakan saudara seagama kita di Gaza, Palestin. Sejak awal Ramadan, mereka hidup menderita akibat serangan tentera Zionis. Ramai yang terkorban dan cedera. Mereka mengharungi Ramadan dalam suasana yang teramat sukar. Sewaktu berbuka, tidak ada kuih-muih seperti yang boleh kita dapati secara mewah di bazar Ramadan dalam negara kita. Begitu juga dengan suasana menyambut Aidilfitri. Jika kita sibuk melakukan persiapan sehingga ke awal pagi, tetapi keadaan di Gaza tentu jauh berbeza.

Jika kita ke tanah perkuburan bagi menziarahi pusara anggota keluarga yang sudah lama meninggal dunia, keadaan di Gaza pula menyaksikan mereka sibuk menguruskan jenazah yang menjadi mangsa pembunuhan Zionis. Ketika anak-anak kita riuh rendah bermain bunga api dan mercun, anak-anak Palestin bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada terkena roket dan bom tentera Zionis. Ketika kita dan anak-anak berpakaian baharu berkunjung ke rumah saudara mara untuk berhari raya, mereka di Gaza berlari ke sana-sini menyelamatkan diri dengan baju yang berlumuran darah. Jika ada dalam kalangan kita yang sibuk menghias rumah dengan menggantung langsir baharu tetapi di Gaza, tidak ada tingkap untuk berbuat demikian kerana rumah runtuh akibat dibom Zionis. Begitu juga dengan peralatan rumah yang musnah teruk sedangkan ada dalam kalangan kita masih mampu bergaya dengan perabot baharu. Mungkin dalam kalangan kita yang berpeluang untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid baharu tetapi di Gaza ada masjid yang musnah sama sekali. Begitulah bezanya sambutan Aidilfitri di negara kita dan Gaza.

Dalam menghadapi suasana sedih yang menyelubungi keluarga MH370, MH17 dan penduduk Gaza, kita mengalu-ngalukan langkah RTM mengurangkan program hiburan pada hari raya. Eloklah diisi semula dengan bacaan al-Quran, zikir dan program bercorak keagamaan seperti yang kita lihat pada peringkat awal kehilangan MH370 dan MH17. Begitu juga dengan pembatalan sambutan rumah terbuka menteri Kabinet.

Belajar daripada apa yang dialami oleh rakan-rakan lain, eloklah kita bermuhasabah diri. Memang kita dianjurkan untuk meraikan kemenangan ini selepas berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan tetapi biarlah diraikan secara sederhana. Raikannya dengan azam dan tekad untuk meneruskan segala kebaikan yang diperoleh pada bulan Ramadan supaya dapat diamal secara berterusan. Jangan kita berpatah balik kepada `perangai’ lama yang tidak elok. Selamat jalan Ramadan! Kita akan merindui puasa sebulan dan solat sunat tarawih yang tidak ada pada bulan lain. Semoga kita dipertemukan lagi dengan Ramadan akan datang. Insya-Allah. Kepada semua pembaca Utusan Malaysia, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

UMA280714014C#

Related posts

Leave a Comment