Wan Azizah sebagai wakil rakyat dan wakil Anwar

BUKAN satu kejutan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semalam. Apa yang dinantikan ialah majoriti undi yang diperoleh. Keupayaan PKR untuk menang PRK ciptaannya tidak boleh dipertikaikan. Cuma peratusan keluar mengundi merosot. Daripada 39,278 pengundi, hanya 28,314 atau 72 peratus keluar mengundi berbanding 87.9 peratus pada Pilihan Raya Umum (PRU) kira-kira 10 bulan lalu. Majoriti kemenangan pula menunjukkan kemerosotan, daripada 6,824 undi kepada 5,379 undi. Perbezaan 1,445 undi.

Adakah kemenangan ini merupakan satu langkah kukuh untuk PKR melangkah ke Putrajaya? Sejak awal lagi slogan PKR yang bertanding mempertahankan kerusi itu adalah Dari Kajang ke Putrajaya. Seperti sebuah drama, episodnya dikatakan bermula apabila berlaku ‘pertelingkahan’ antara Menteri Besar (MB), Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Episod seterusnya apabila Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai ADUN Kajang pada 27 Januari, kira-kira sembilan bulan selepas PRU pada 2013. Sehari kemudian, Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon PKR untuk mengisi kekosongan itu. Walaupun alasan utama pencalonan Anwar untuk menjadikan ‘Kajang Jalan ke Putrajaya’ tetapi timbul spekulasi bahawa Anwar bakal menggantikan Khalid sebagai MB. Bagaimanapun ‘Langkah Kajang’ seolah-olah tersekat seketika apabila Anwar tidak layak bertanding selepas Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya. Ini juga dikatakan salah satu ‘babak’ yang sudah dimasukkan dalam drama Kajang ini.

Sebagai ganti, isterinya, Dr. Wan Azizah Ismail diturunkan. Jika pada 2008, Wan Azizah meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya pada PRK kawasan itu, kini beliau mewakili Anwar bagi PRK Kajang. Mungkin inilah yang dikatakan beberapa pihak bahawa pada PRK semalam, pengundi-pengundi Kajang dalam pemilihan wakil rakyat memilih Wan Azizah (WA) sebagai ‘Wakil Anwar’ (WA). Terpulang kepada orang ramai untuk membuat andaian.

Apakah drama seterusnya untuk menjadikan Kajang sebagai laluan ke Putrajaya? Sejauh mana ‘WA sebagai WA’ akan menjadikan Kajang sebagai pangkalan utama untuk melangkah ke Putrajaya? Sebenarnya ini bukan kali pertama slogan ke Putrajaya digunakan. Sebelum ini, ada beberapa siri perhimpunan yang berkaitan dengan langkah ke Putrajaya yang dilancarkan oleh pakatan DAP, Pas, PKR (3P) ini. Sehingga PRU lalu, Putrajaya masih dalam tangan Barisan Nasional (BN).

Walaupun kempen PRK Kajang ditenggelami isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, namun pembangkang seperti biasa rancak berkempen dengan pelbagai kecaman dan kritikan terhadap kerajaan BN. Pelbagai isu dibangkitkan bagi menimbulkan ‘kemarahan’ terhadap kerajaan BN. Banyak slogan, poster dan tindakan yang bertujuan memancing undi dan kadang-kadang sinis. Contohnya ada yang beraksi meneropong sesuatu yang pastinya sinis kepada aksi bomoh yang cuba mengesan MH370. Ada juga yang membawa kangkung semasa hari pembuangan undi semalam yang sudah tentu menyindir pucuk pimpinan kerajaan.

Turut dijadikan ‘bahan kempen’ ialah Selawat Perdana Malam Cinta Allah & Rasul di Dataran Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu lalu. Pada malam yang sama pakatan 3P menganjurkan perhimpunan Reformasi 2.0 di Stadium Kajang. Khabarnya, ada yang memperlekehkan acara di Putrajaya yang dihadiri kira-kira 500,000 umat Islam itu. Kenapa diperlekehkan sesama umat?

Perhimpunan di Kajang yang dikatakan ‘ala konsert’ itu menampilkan nama-nama besar PKR, iaitu Anwar, Wan Azizah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan penasihat DAP, Lim Kit Siang. Perhimpunan itu seperti perhimpunan sebelumnya hanyalah untuk membela nasib Anwar. Dihadiri sekitar 5,000 orang, isu-isu yang dibangkitkan termasuk ketidakadilan sistem kehakiman ke atas Anwar serta memperlekeh usaha kerajaan dalam menyelesaikan misi kehilangan MH370.

Nampaknya kempen awal PKR iaitu sebaik sahaja wakil rakyatnya meletak jawatan membuahkan hasil. Wan Azizah yang sebelum ini berehat selepas meletak jawatan sebagai anggota Parlimen kini kembali memikul tugas sebagai wakil rakyat. Bezanya kini, beliau hanyalah wakil rakyat di DUN dan mungkinkah bakal dilantik sebagai exco kerajaan negeri Selangor? Jika benar, siapa pula akan dijadikan korban atau wujud satu portfolio baharu? Mungkinkah juga beliau bakal menjadi MB?

Seperti yang diselak sebelum ini, Wan Azizah yang sentiasa ‘ditemani kipas di tangannya’ mampu menarik simpati pengundi-pengundi terhadapnya sama seperti yang dialami ketika beliau menawarkan diri buat kali pertama untuk bertanding di Permatang Pauh. Menarik juga untuk diberi perhatian sama ada beliau sekali lagi akan ke Permatang Pauh sekiranya sesuatu berlaku terhadap Anwar selepas ini. Begitu juga jika Anwar terlepas daripada hukuman. Berapa lama Wan Azizah akan kekal di Kajang? Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Tidak mustahil akan berlaku episod Kajang-Permatang Pauh atau Permatang Pauh-Kajang. Segala kemungkinan boleh berlaku kerana PKR boleh melakukan apa sahaja demi kelangsungan politik Anwar.

TEWAS PADA UJIAN PERTAMA

PADA PRU lalu, PKR mengalahkan calon MCA yang mewakili BN, Lee Ban Seng dalam pertandingan yang melibatkan enam penjuru. Semalam wakil MCA kalah lagi tetapi majoriti kemenangan dikurangkan. Adakah ini satu petanda baik kepada MCA? Kemenangan besar PKR di peti undi majoriti masyarakat Cina boleh menjawab persoalan ini. Mungkin masih terlalu awal untuk mengukur sokongan masyarakat Cina terhadap MCA yang kini dibarisi barisan kepemimpinan baharu. Bagi MCA, ini adalah ujian pertama kepada parti itu selepas prestasi paling buruk pada PRU lalu. Namun kekala-han semalam menimbulkan persoalan sejauh mana MCA masih relevan kepada masyarakat Cina. Turut menimbulkan persoalan dengan jumlah pengundi Melayu s-banyak 48 peratus dan kini diwakili calon Melayu, adakah MCA akan diberi peluang lagi pada PRU akan datang? Kajang sebelum ini pernah diwakili oleh Pas.

UMA240314010C#

Related posts

Leave a Comment