Terus berikhtiar, berdoa sehingga menemui noktahnya

BUNTU. Kabur. Keliru. Itulah perkataan yang dapat diungkapkan apabila misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih belum terungkai. Seminggu sudah berlalu tetapi belum ada tanda-tanda yang dapat membantu usaha mencari dan menyelamat dilakukan. Kerajaan Malaysia dengan sokongan negara-negara luar telah melakukan yang terbaik untuk mencari dan menyelamat. Kita dapat melihat apa juga kekuatan yang ada telah dikerah. Jika dulu ada yang mengkritik mengenai keupayaan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman, tetapi dalam isu ini, ada yang mahu kekuatan itu digunakan walaupun hakikatnya mereka tidak faham fungsi sebenar kapal itu.

Pelbagai usaha sudah dilakukan yang melibatkan teknologi canggih yang didatangkan daripada pelbagai negara. Setiap teori dan andaian tidak dibiarkan begitu sahaja sebaliknya diberi perhatian. Walaupun ada antaranya mempunyai unsur-unsur khabar angin, ia tetap diberi perhatian serta diberi penjelasan bagi menamatkan segala spekulasi. Terakhir, pencarian di sekitar kepulauan Andaman dan Nicobar juga belum berhasil. Hasil pencarian yang dilakukan, tidak ditemukan tanda-tanda pesawat terhempas berhampiran kawasan pencarian yang melibatkan semua kepulauan. Perincian yang diperoleh juga kabur. Pihak berkuasa di India juga menolak kemungkinan pesawat itu terbang melalui ruang udara negara itu. Radar sistem pertahanan negara itu juga tidak dapat mengesan sebarang kehadiran pesawat itu. Begitu juga dengan andaian sesetengah pihak bahawa pesawat itu mendarat di Pangkalan Tentera Amerika Syarikat Diego Garcia di Lautan Hindi. Segala usaha sudah dilakukan. Hilangnya tanpa meninggalkan kesan. Apa lagi yang harus dilakukan? MH370 bukanlah pesawat pertama yang menimbulkan misteri kehilangannya. Jika diselak kembali, bangkai pesawat Air France ditemukan hampir dua tahun selepas dilaporkan hilang. Hanya beberapa serpihan ekornya dijumpai seminggu selepas kehilangan.

Jika MH370 itu dirampas, siapakah yang melakukannya? Apa agendanya? Sehingga kini tidak ada sesiapa yang menuntut sesuatu sebagai `menebus pesawat’ itu. Jika ada dalam kalangan penumpang atau anak kapal yang bertindak sehingga `menghilangkan’ MH370, apakah masalah mereka? Jika sudah mendarat, di mana mereka. Semua persoalan ini terus menjadi tanda tanya masyarakat seluruh dunia. Pada masa yang sama, semua pihak tidak seharusnya membuat pelbagai andaian yang boleh menimbulkan rasa cemas dan mengelirukan. Berfikirlah secara positif. Jangan pula ada dalam kalangan kita yang sengaja mencetuskan keresahan terutama dalam kalangan keluarga penumpang dan anak-anak kapal pesawat misteri itu. Sejak awal kehilangan pesawat, pelbagai cerita karut marut sudah dipaparkan dalam pelbagai medium termasuk media sosial. Melalui Facebook, Twitter dan WhatsApp, segala maklumat yang mengarut menjalar dengan pantas. Kadang-kadang apa yang dicipta itu mencemaskan anggota keluarga mangsa. Memang seronok bagi mereka yang berada di luar kelompok keluarga dan saudara mara mangsa membaca kisah-kisah yang dipaparkan itu tetapi apa perasaan mereka yang terlibat, yang terus ternanti-nanti khabar mengenai pesawat itu?

Biar apa pun perkhabarannya – gembira atau duka, apa yang penting ketepatan maklumat. Hentikan sebarang penyebaran cerita palsu yang kadang-kadang melucukan. Terlalu banyak khabar yang mempermainkan kehilangan pesawat itu. Setiap hari ada sahaja `khabar terkini’ yang masuk melalui WhatsApp dan sebagainya tetapi semuanya hampas, lucu, memalukan, mengecewakan dan melukakan. Kenapa sampai ke tahap itu sikap kreatif rakyat Malaysia mencipta cerita ini? Kehilangan pesawat ini bukanlah satu permainan yang sengaja mahu mengundang orang yang membacanya ketawa dan tersenyum riang. Cuba letakkan diri anda dalam kelompok keluarga mangsa. Apa kata mangsa yang sedang dicari itu adalah suami, isteri, anak, adik, kakak, cucu, sahabat dan siapa sahaja yang mem-punyai kaitan dengan anda? Apa perasaan anda apabila membaca kisah-kisah tidak benar yang sengaja direka untuk `memperkecil atau mempersendakan’ kehilangan ini. Ketika orang lain sedang berduka, anda mengajak orang lain tertawa atau sekurang-kurangnya dalam keadaan cemas. Memang benarlah dalam peristiwa ini ramai `wartawan segera’ muncul untuk melaporkan pelbagai cerita mengenai kehilangan MH370 itu. Mereka ingin turut serta menjadi pelapor. Akhirnya perkara yang serius menjadi bahan jenaka. Alangkah baiknya mereka ini menyebarkan sesuatu yang dapat mengajak semua pihak bertenang dan tidak mengambil kesempatan memanipulasi keadaan.

Selak teringat kembali kandungan khutbah Jumaat di Masjid Negara pada Jumaat lalu. Dalam khutbah bertajuk Hikmah di sebalik ujian Allah, khatib antara lain berkata: “Mimbar yang mulia ini ingin berpesan kepada umat Islam sekalian bahawa sebagai seorang Islam yang bertakwa kepada Allah dan percaya kepada hari akhirat, kita hendaklah menjaga akhlak dan adab-adab kita ketika berbicara untuk menjaga perasaan kaum keluarga mangsa. Sebaliknya marilah kita sama-sama bermuafakat untuk mem-bantu menenangkan hati dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat,’’.

Khatib juga mengajak seluruh umat Islam sama-sama menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT agar segala kemelut ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Khatib turut memetik firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 155 dan 156 yang membawa maksud: “Demi sesung-guhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Iaitu) Orang- orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Semasa mengimamkan solat Jumaat itu, imam sebak ketika membaca petikan ayat dari surah al-Baqarah. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dalam misi pencarian ini supaya akhirnya pasukan mencari menemui noktahnya. Apa yang penting kita tidak seharusnya berputus asa.

UMA170314010C#

Related posts

Leave a Comment