Sejenak merenung sifat-sifat Rasulullah SAW menjelang Maulidur Rasul

MINGGU ini umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul, hari memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sekali lagi, meriahlah seluruh surau dan masjid dengan sambutan yang pelbagai termasuk ceramah, forum dan perarakan. Sambutan ini bukan sekadar untuk mengingati keputeraan baginda semata-mata sebaliknya apa yang lebih penting ialah mengingatkan kembali umat Islam kepada ajaran Rasulullah dan perjuangannya. Pada masa yang sama berusaha mengikuti segala akhlak dan ajaran Nabi Muhammad SAW. Sama-samalah kita menghayati sambutan kali ini yang jatuh pada hari Khamis, 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiulawal 1434. Di peringkat kebangsaan, sambutan akan diadakan di Dataran Putrajaya. Di peringkat negeri juga sudah tentu ada perarakan. Kha-barnya di Negeri Sembilan, pada tahun ini, kira-kira 25,000 orang akan menyertai per-arakan yang bermula dari padang Majlis Perbandaran Seremban ke padang Sekolah Menengah King George V. Kesediaan lebih ramai masyarakat Islam untuk turut serta pada kali ini adalah disebabkan beberapa isu yang berlaku sejak kebelakangan ini yang menuntut mereka bersatu menunjukkan perpaduan dan kesatuan umat Islam.

Berkaitan dengan tema pula, mengikut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sambutan kali ini bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah. Diharapkan tidak ada pihak yang ‘takut’ dengan tema tersebut seperti pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini yang memaksa mereka menukar tema 1Malaysia 1Ummah kepada tema lain. Mereka amat risau dengan perkataan 1Malaysia.

Walaupun sambutan rasmi pada Khamis ini tetapi di kebanyakan tempat sudah mengadakannya secara berperingkat-peringkat. Di Kuala Lumpur baru-baru ini, Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Malam Cinta Rasul yang dihadiri hampir 10,000 orang. Malam minggu lalu pula, saya berkesempatan menghadiri tazkirah Maulidur Rasul di surau Sayyidina Umar Al-Khattab di kawasan perumahan Fasa 7 Bandar Seri Putra, Bangi. Tazkirah berkisar kepada ciri-ciri kepemimpinan yang ada pada Rasulullah SAW.

Secara ringkas, seperti yang kita tahu, banyak sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW yang boleh dipelajari termasuk tawaduk, pemalu, siddiq (benar), amanah (boleh dipercayai), tabligh, fatanah, tabah, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud (hidup soleh tidak dikuasai kemewahan dan keseronokan dunia), lemah lembut dan bijaksana. Sebagai pemimpin, baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur.

Baginda mampu menyusun strategi, berani, tegas dan berprinsip. Sebenarnya bukan sekadar pemimpin negeri atau negara sahaja yang perlu mencontohi sifat-sifat Rasulullah SAW ini, sebaliknya mereka yang memimpin keluarga (ibu bapa), syarikat, persatuan dan sebagainya perlu menerapkan nilai-nilai ini dalam diri mereka. Malangnya kebanyakan umat Islam di dunia termasuk di peringkat pemimpin sudah melupakan sifat-sifat ini. Akhirnya mereka terjebak ke dalam kancah kekalutan, perpecahan, peperangan dan kecelaruan.

Hakikatnya, dunia hari ini mengagumi keperibadian baginda. Michael H. Hart di dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History meletakkan Rasulullah SAW sebagai insan paling berpengaruh di dunia dalam kalangan 100 orang manusia paling berpengaruh di dalam sejarah dunia. Begitulah kehebatan Nabi Muhammad SAW. Baginda memiliki akhlak yang sangat mulia terhadap sesama manusia tanpa mengira status sosial, warna kulit dan bangsa. Baginda berbuat baik termasuk kepada orang jahat atau musuh.

Seperti kita tahu, Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak dan sifat-sifat sangat mulia yang boleh dicontohi khususnya empat sifat iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

Siddiq yang membawa maksud benar merupakan sifat pertama yang wajib dimiliki para Nabi dan Rasul bagi membawa wahyu dan agamanya. Rasulullah SAW bukan hanya bercakap benar malah perbuatannya juga benar. Maknanya tidak bersifat pembohong, penipu dan sebagainya.

Sifat kedua yang perlu diberi perhatian adalah amanah yang membawa maksud boleh dipercayai. Jika sesuatu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan sebaik mungkin. Oleh kerana itulah penduduk Mekah memberi gelaran kepada Nabi Muhammad SAW dengan gelaran Al-Amin yang bermaksud ‘boleh dipercayai’. Apa pun yang beliau ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk kerana beliau terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta. Baginda tidak mengkhianati amanah yang diberi terhadapnya. Ketika Nabi Muham-mad SAW ditawarkan kerajaan, harta dan wanita oleh kaum Quraisy agar beliau meninggalkan tugas menyebarkan agama Islam, Baginda menjawab:

‘Demi Allah wahai pak cik, seandainya mereka dapat meletakkan matahari di tangan kanan ku dan bulan di tangan kiri ku agar aku meninggalkan tugas suci ku, maka aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan (Islam) atau aku hancur kerananya”.

Baginda juga tidak gentar dengan ugutan bunuh terhadapnya.

Sifat ketiga yang perlu diberi perhatian ialah tabligh yang bermaksud menyampaikan. Segala firman Allah SWT disampaikan oleh Baginda tanpa ada yang disembunyikan walaupun ia menyinggung diri Baginda sendiri.

Sifat keempat adalah fatanah yang ber-maksud bijaksana. Dalam menyampaikan ayat al-Quran dan menjelaskan kepada kaumnya, ia memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa. Baginda SAW harus mampu berdebat dengan orang kafir dengan sebaik-baiknya supaya mereka dapat memahami firman-firman Allah SWT.

Begitulah sifat-sifat mulia yang ada pada Nabi Muhammad SAW. Adakah dalam menjalani kehidupan seharian pada hari ini, kita memiliki sifat-sifat ini? Di tahap mana manusia dalam dunia hari ini mampu mengikut sifat-sifat ini? Berapa ramai yang jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sesama umat?

Dalam suasana politik hari ini, ada dalam kalangan kita yang mengakui sebagai umat Islam yang tidak bersifat siddiq sama ada pertuturan, tindakan atau perbuatan, tidak amanah, tidak menyampaikan dan tidak bijaksana. Ada pemimpin yang hanya pandai berkata-kata. Berjanji tetapi tidak mampu menunaikannya. Mereka memungkiri janji yang dibuat sama ada secara bertulis atau lisan. Bak kata orang cakap tidak serupa bikin atau bikin tidak serupa cakap. Kita boleh melihat contoh di depan mata, siapakah yang mampu mengotakan apa yang dikata atau apabila berjanji ditepati.

Dalam menghadapi isu kalimah Allah juga, kita dapat melihat siapakah yang bercakap benar dan siapa pula sanggup ‘menipu diri sendiri’. Ada yang tidak berani bercakap mengenai kebenaran kerana kepentingan politik atau kemaruk kuasa. Mereka sanggup membiarkan orang lain merobek maruah umat Islam, melukakan hati umat Islam dan memecah belahkan perpaduan umat. Begitulah yang terjadi. Kita semakin kehilangan sifat-sifat yang ada pada Muhammad SAW. Wahai Rasulullah, seperti sabdamu, apakah umat Islam kini umpama buih di lautan?

UMA210113010C001#

Related posts

Leave a Comment