Pelan kecemasan hadapi sabotaj calon pada PRU

UMNO sudah pun menetapkan 27 November sehingga 1 Disember depan sebagai tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2012. Pada masa yang sama menurut Presiden UMNO, Najib Tun Razak, pemilihan akan ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dilangsungkan. Malahan perhimpunan juga akan ditunda sekiranya PRU muncul menjelang perhimpunan itu. Maka ramailah yang terus membuat spekulasi mengenai tarikh PRU13. Mana satu datang dahulu? Adakah PRU datang sebelum atau selepas perhimpunan? Jika sebelum PRU, sahlah tidak akan ada pemilihan. Bila pula tarikh akhir pemilihan mesti dilangsungkan selepas diberi ruang untuk ditangguhkan sehingga 18 bulan? Nampaknya Najib terus bermain teka-teki mengenai tarikh PRU. Ada yang berpendapat, jika 27 November dipilih sebagai tarikh perhimpunan, maka tidak ada ruang lagi untuk bulan itu dilangsungkan PRU.

Ada yang menjangkakan PRU akan berlangsung selepas berakhirnya perhimpunan UMNO iaitu ‘amanat terakhir’ Najib kepada seluruh pimpinan parti dari seluruh negara. Ketika itu, jika ada perwakilan UMNO yang menunaikan haji, mungkin sudah pulang ke tanah air kerana penerbangan pulang terakhir jemaah haji dijadualkan pada 29 November. Semasa perhimpunan agung itu juga, Najib selaku Pengerusi BN akan turut memberi amanat kepada pemimpin parti komponen yang akan diundang. Tetapi jika selepas perhimpunan, adakah sesuai PRU diadakan pada bulan Disember? Apa pun kita tunggu menjelang November ini. Adakah akan ada tanda-tanda ia akan berlangsung pada bulan November atau sebaliknya dibawa sehingga ke awal tahun depan?

Mungkin juga Najib akan mengambil kira jika diadakan tahun depan iaitu penghujung penggal lima tahun, kerajaan negeri Selangor dan mungkin Pulau Pinang tidak dapat mengelak daripada mengadakan PRU serentak. Langkah ini dapat menjimatkan kos perbelanjaan PRU jika dua negeri itu mengadakannya secara berasingan.

Sebagai selingan, ada yang berkata, mengadakan PRU sehingga penggal akan berakhir merupakan satu ekspektasi kepada rakyat yang memilih mengundi untuk tempoh lima tahun. Tetapi bagaimana jika harapan lima tahun itu bertukar menjadi kekecewaan lima tahun rakyat?

Apa pun segala kemungkinan boleh berlaku. Jika perhimpunan diadakan sebelum PRU, maka sudah tentu para perwakilan terpaksa berhati-hati supaya segala tindak tanduk mereka tidak menjadi ‘modal’ sama ada rakan-rakan dalam BN atau parti pembangkang. Sebelum ini ada sahaja isu yang dibangkitkan perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), diputar belitkan untuk menjadi isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak-pihak tertentu. Setakat ini, ‘perjalanan’ perwakilan ke Dewan Merdeka PWTC berjalan lancar. Sehingga minggu lalu, 176 bahagian sudah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing manakala 15 lagi difahamkan berlangsung sehingga semalam. Mungkin semua bahagian sudah selesai bermesyuarat. Jika itu sebagai pertemuan terakhir di peringkat bahagian sebelum PRU, maka sudah tentu segalanya berada dalam keadaan baik lebih-lebih lagi tidak timbul sebarang pertandingan di peringkat bahagian. Mengenai calon pula, khabarnya BN sedang menyenarai pendek 2,181 calon yang diterima kepada 727 calon yang akan dipertimbangkan bertanding di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Najib akan membuat keputusan mengenai siapa calon yang bakal dipilih. Beliau sudah tentu mempunyai kriteria dan pertimbangan tertentu sebelum memuktamadkan nama calon berkenaan. Sebelum ini, setiap bahagian atau kawasan Parlimen disaran mengemukakan sekurang-kurangnya tiga nama. Tidak dinafikan ada bahagian yang hanya menamakan seorang calon untuk dipertimbangkan. Mungkin ini juga baik bagi mengelakkan ‘perebutan’ dan lobi melobi sehingga menjejaskan parti. Tetapi sekurang-kurangnya biarlah calon tunggal itu benar-benar layak. Mungkin elok bagi mereka yang sudah terlalu lama duduk di kerusi wakil rakyat menawarkan diri berundur walaupun pada masa yang sama turut mencalonkan diri sendiri dalam senarai untuk terus bertanding pada PRU akan datang. Ukurlah baju di badan sendiri.

Dalam memuktamadkan nama calon ini, pasti ada yang akan rasa kecewa kerana tidak dipilih. Tetapi sejauh mana mereka yang kecewa ini dapat menerima keputusan Najib? Berapa ramai pula yang akan bertindak sebaliknya? Seperti yang diselak dua minggu lalu, orang seperti ini yang cepat merajuk dan kecewa kerana tidak dipilih, eloklah berundur lebih awal sebelum mereka terdorong untuk melakukan sabotaj atau cah keting apabila tiba PRU nanti.

Pada masa yang sama sebagai persediaan, setiap parti politik yang bertanding sudah tentu mempunyai pelan kecemasan bagi menghadapi tindakan sabotaj seumpama ini. Memang tindakan memecat anggota parti yang sabotaj, belot atau berpaling tadah menikam dari belakang perlu dilakukan. Tetapi ketika itu semuanya sudah
terlambat. Justeru pelan kecemasan untuk menghadapi kemungkinan tindakan sabotaj ini disediakan khususnya di kawasan-kawasan yang dijangka berlaku tindakan sedemikian.

Ini kerana dalam politik, sabotaj akan berlaku sepanjang masa dan di mana-mana sahaja. Cuma yang membezakannya tahap sabotaj itu sendiri sama ada di paras terlalu bahaya atau sederhana. Maka setiap kawasan yang dijangka bermasalah perlu bersedia mewujudkan pasukan yang akan turun menghadapi tindakan sabotaj ini. Terserah kepada pucuk pimpinan bagaimana mahu mengenal pasti siapa yang akan mengendalikan pelan kecemasan ini.

Pasukan yang membentuk pelan kecemasan ini adalah bagi memastikan bilik gerakan PRU dibuka di semua peringkat sama ada cawangan atau bahagian, kempen PRU berlangsung tanpa sekatan, poster calon dan bendera parti disebarkan seluas-luasnya dan memastikan pelbagai tugasan lain yang lazimnya dilakukan semasa menghadapi PRU. Biarkan puak atau individu yang sabotaj ini membawa diri sama ada mahu ‘melancong’ atau mengurung diri di rumah bagi memujuk diri yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon.

UMA240912010C001

 

Related posts

Leave a Comment