KOTA BHARU 26 Mac – Kerajaan Kelantan mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 9,000 penjawat awam di negeri itu yang akan dibayar esok.
Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud berkata bantuan itu bagi menghargai jasa dan bakti mereka yang berkhidmat selama ini diluluskan pada mesyuarat Exco hari ini yang membabitkan peruntukan RM5 juta.
“Selain itu, bayaran penghargaan ini turut diterima pegawai lantikan politik termasuk ahli majlis, penghulu, penyelaras pembangunan armalah, guru pondok, guru al-Quran dan guru jahitan sebanyak RM250,” katanya.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini, beliau juga mengumumkan Ahad ini sebagai Hari Kelepasan Am sempena Aidilfitri.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk menjadikan Ahad, 30 Mac 2025 sebagai Hari Kelepasan Am (cuti peristiwa) sempena Aidilfitri. Ia bertujuan bagi memberi peluang kepada rakyat Kelantan membuat persiapan Aidilfitri dan mengeratkan hubungan bersama keluarga, “ katanya.
Nnn