DI SINI 930,000 MASIH MENANTI
SELAMAT berangkat ke Tanah Suci Mekah kepada 28,000 bakal jemaah haji Malaysia yang akan memulakan perjalan mereka mulai hari ini. Syukur Alhamdulillah kerana anda semua diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Bakal jemaah haji ini boleh dianggap bertuah kerana mereka bernasib baik daripada lebih 930,000 orang yang masih menaruh harapan untuk ke sana. Entah bila, entah sempat atau tidak, hanya Allah yang menentukan. Kita hanya berusaha.
Semoga penerbangan jemaah ke Madinah atau Mekah sehingga 19 Oktober ini berjalan lancar. Begitu juga dengan per-jalanan pulang ke tanah air yang dijangka berakhir pada 29 November depan. Semoga tidak ada dalam kalangan 28,000 yang sudah terpilih menolak pada saat-saat akhir hanya disebabkan ‘ikatan politik’. Lupakan seketika politik keduniaan ini.
Adalah lebih baik jika kesemua 28,000 jemaah itu tanpa mengira fahaman politik ketika berada di hadapan Baitullah men-doakan kesejahteraan Malaysia. Andainya mendapat perkhabaran bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan semasa masih dalam menjalani ibadah haji, usah gusar. Doakanlah semoga PRU ini berjalan lancar, pengundi terutama pengundi Melayu dan beragama Islam dapat membuat keputusan tepat demi masa de-pan Malaysia yang lebih cemerlang. Sama ada PRU-13 berlangsung pada November ini atau awal tahun depan, serahkanlah kepada mereka yang berada di tanah air untuk menentukannya. Rasanya tidak terjejas PRU-13 tanpa ‘kehadiran’ 28,000 pengundi ini walaupun setiap undi itu amat berharga dan bernilai. Masih ramai yang layak mengundi berada di tanah air. Itu pun jika mereka keluar mengundi.
Ketika berada di sana pula, jagalah adab sopan, budi bahasa ‘identiti’ orang Malaysia. Jika anda semua sudah melepasi halangan untuk menjadi tetamu Allah, jangan lupa baki lebih 930,000 orang yang masih menanti untuk ke sana dan jumlah ini akan meningkat saban tahun.
Justeru jangan rosakkan nama baik Ma-laysia dengan tindakan yang tidak mendatangkan imej yang baik seperti demonstrasi termasuk yang dianjurkan oleh je-maah dari negara lain. Sesungguhnya tindak tanduk seperti itu boleh menjejaskan nama baik Malaysia dan peluang untuk mendapatkan kuota tambahan terjejas.
Walaupun Baitullah itu milik umat Islam seluruhnya tetapi hak penjagaannya masih di tangan kerajaan Arab Saudi. Maka me-reka berhak untuk ‘menapis’ permohonan kita. Justeru jagalah imej Malaysia. Selama ini Tabung Haji sudah mendapat pengiktirafan kerajaan negara itu dan negara-negara lain dalam mengendalikan jemaah. Diharapkan dengan imej yang baik ini, kuota jemaah akan bertambah.
SERAH DIRI KEPADA PENGUNDI
ADA yang kata November. Tidak kurang juga yang kata bulan Mac atau April tahun depan. Tak kisahlah, bila-bila pun boleh diadakan kerana parti politik semuanya dah bersedia. Cuma ada parti politik yang masih teraba-raba mencari alasan untuk tidak mengadakan PRU dalam tempoh terdekat ini. Mereka salahkan daftar pengundi. Dulu semasa menang empat negeri, daftar pengundi tidak disalahkan.
Inilah mainan politik. Jika Nik Aziz Nik Mat tidak gentar menghadapi PRU pada bila-bila masa tetapi Khalid Ibrahim pula terasa lain macam. Maka dia tidak mahu mengadakan PRU serentak jika diadakan dalam tempoh terdekat. Padahal inilah masanya untuk ‘menyerah diri’ kepada pengundi bagi menjawab segala persoalan yang dilemparkan oleh Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan PKR pimpinannya.
Jika tidak berupaya menjawab isu Talam, air, lori sampah, cukai pintu, bantuan itu dan ini dan sebagainya eloklah serah kepada pengundi. Biar pengundi menjadi hakim. Memang betul kenyataan Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai yang berkata, kerajaan negeri yang diperintah PKR sangsi dengan penilaian rakyat terhadap pemerintahan mereka selama ini yang banyak menabur janji kosong daripada menunaikannya.
“Kita kena serah diri kepada rakyat untuk dinilai, bukan menggunakan helah seperti ini (pilihan raya berasingan) untuk menang,’’ katanya semalam.
Jika segala persoalan yang dilontarkan selama ini tidak mampu dijawab, berilah peluang kepada rakyat membuat penilaian. Janganlah dilibatkan soal lain seperti daftar pengundi belum bersih. Ini alasan untuk mewajarkan kekalahan jika tewas, tetapi bagaimana jika kekal perintah Selangor? Dalam isu Talam misalnya, ramai kecewa kerana Khalid gagal memberi jawapan sewajarnya. Beliau juga tidak muncul dalam debat yang diadakan di kawasannya, Bandar Tun Razak. Kenapa Khalid `hilang’ ?
Sebelum ini, Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek sudah bertemu di pentas debat, begitu juga dengan beberapa pemimpin lain. Lebih malang, kain rentang debat melibatkan pemimpin MCA, Chua Tee Yong diconteng. Bertindaklah lebih ma-tang dalam berpolitik. Seperti diselak sebelum ini, enam bulan terakhir ini amat penting untuk parti politik menunaikan janji yang belum tertunai.
Parti politik tentunya tidak mahu segala janji mereka akan bertukar menjadi slogan janji dimungkiri rakyat dibohongi. Masa yang semakin terbatas akan digunakan untuk menutup semua ‘lubang’ atau ‘kebocoran’. Seperti dalam bola sepak, mereka cuba melengah-lengahkan permainan sehingga wisel penamat.
SYAWAL SUDAH BERAKHIR
HARI ini negeri-negeri yang cuti hujung minggu pada Ahad masih bercuti kerana cuti umum sempena Hari Malaysia semalam. Semalam juga, berakhirlah sambutan Hari Raya Aidilfitri 1433H. Selama 29 hari berpuasa, 29 hari juga kita beraya. Makan di rumah terbuka di sana sini, tak kira siang atau malam. Pada masa sama, kenduri kahwin pun banyak. Hari ini pun, rasanya masih ada lagi rumah terbuka atas nama majlis kesyukuran atau doa selamat serta kenduri kahwin. Seorang pelancong Arab hairan melihat sambutan hari raya di negara kita yang berlarutan hingga sebulan. Begitulah mak-murnya bumi Malaysia ini dengan perayaan serta ‘pengisiannya’ – jamuan sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran.
Semangat kunjung mengunjung tidak pernah padam. Bandingkan suasana di negara orang. Ada negara yang rakyatnya ma-sih sengsara walaupun kerajaan berubah. Inilah yang dikatakan ubah bawa rebah. Jagalah Malaysia. Selamatkan Malaysia daripada jatuh ke tangan orang yang rakus, tamak dan mempunyai kepentingan diri yang boleh meruntuhkan negara. Jangan diulangi kisah Pak Pandir atau Lebai Malang. Jangan menang sorak kampung tergadai, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Jadilah manusia yang berpegang kepada janji – kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.
UMA170912010C001