WASHINGTON – Kapal persiaran ‘Princess Cruises’ Caribbean Princess’ akan menjalani pembersihan menyeluruh sebaik tiba di Pelabuhan Canaveral pada 11 Mei sebelum berlepas untuk pelayaran seterusnya.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, ini susulan wabak norovirus dilaporkan merebak di atas sebuah kapal persiaran itu semasa pelayaran transatlantik.
Wabak itu, yang dilaporkan pada 7 Mei kepada CDC, meliputi pelayaran kapal pada 28 April-11 Mei dari Pelabuhan Everglades.
Daripada 3,116 penumpang, sebanyak 102 (3.3 peratus) dilaporkan mengalami gejala, selain 13 daripada 1,131 anak kapal (1.2 peratus). Gejala utama termasuk cirit-birit dan muntah.
Pihak kapal dengan segera menyahjangkit setiap kawasan kapal dan menambah sanitasi tambahan sepanjang pelayaran.
Sementara itu, dua penduduk Singapura yang baru-baru ini menaiki kapal persiaran MV Hondius didapati negatif hantavirus.
Dalam satu kenyataan, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) memaklumkan, Makmal Kesihatan Awam Nasional menjalankan ujian menggunakan beberapa sampel yang diambil daripada individu terbabit dan mengesahkan hantavirus termasuk virus Andes tidak dikesan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kedua-dua individu itu akan dikuarantin selama 30 hari dari tarikh pendedahan terakhir dan ujian akan dijalankan sekali lagi sebelum mereka dibebaskan daripada kuarantin.
“Mereka kemudian akan dipantau melalui panggilan telefon bagi baki tempoh pemantauan selama 45 hari dari tarikh pendedahan terakhir, iaitu tempoh inkubasi maksimum bagi pendedahan hantavirus,” menurut CDA.
Nnnn
