Seperti biasa polis disalahkan, mereka mahu ‘cuci tangan’ sampai bersih

dikejutkan dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang yang menamakan dirinya Pemerhati yang bersyukur di bumi Allah. Memang sudah menjadi kebiasaannya akan berada di kawasan berkenaan pada awal pagi atas urusan perniagaan. Beginilah lebih kurang SMSnya.

‘‘Secebis kisah… Orang-orang (maksudnya ramai) Melayu di Dataran Merdeka (sekitarnya) seawal pagi tadi. Perasaan sedih, geram, marah dan malu melihat wanita berpurdah, golongan pertengahan yang sepatutnya menjaga cucu di rumah, lelaki berkopiah pertengahan umur yang seharusnya layak bertaslim di masjid, remaja lelaki dan perempuan yang semestinya mentelaah buku, suami yang sewajibnya berada di samping isteri dan anak-anak di rumah, sang isteri yang sepatutnya mencari keredaan suami, berkumpul menyokong budaya songsang. Semuanya ini bukti perbuatan sia-sia mengikut telunjuk Ambiga yang merosakkan akidah, tata susila, cara hidup dan adat resam orang Melayu yang bertiangkan Islam,’’

Menjelang Zuhur pula, satu lagi SMS masuk. Kali ini daripada seorang bapa.

‘‘Anak saya mahu ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC selepas selesai kokurikulum di sekolah. Saya risau kerana baru tersedar ada perhimpunan terkotor di KL. Saya bimbang kalau anak saya melencong ke sana, terpengaruh dengan perhimpunan haram jadah itu. Saya takut dia jadi mangsa kegilaan manusia hilang pertimbangan.’’.

Pada sebelah petang waktu Maghrib, penulis menerima pula SMS daripada seorang hamba Allah. Begini bunyinya: ‘‘Saya yang terperangkap di Masjid Jamek akibat perhimpunan biadab Bersih amat simpati dengan anggota polis yang bertugas penuh tang-gungjawab telah dibaling dengan objek keras. Paling malang dihina (dengan gelaran tidak elok) seorang yang memakai baju lambang parti berlabelkan Islam, begitu jijik perangai ahli (parti) itu,’’.

Dan petang semalam, semasa mengambil teksi di Salak Selatan, pemandunya menge-luh sepanjang perjalanan. Sebaik saja duduk di sebelahnya, dia mempelawa ‘‘Makan bang’’ sambil mengunyah sebiji roti berisikan hot dog. Saya sekadar mengucapkan terima kasih. Dia kemudian memulakan bicara: ‘‘Saya dah nak balik ke Bandar Permaisuri, letih bang, hari ni kena kerja lebih sikit’’.

Saya bertanya: Kenapa?

‘‘Semalam tak boleh cari makan. Nak cari makan apa? Semua jalan tutup. Saya bukan orang politik tetapi kepala-kepala yang berhimpun tu orang politik, orang yang ada duit, yang hidup senang. Dia orang tak tahu susahnya hidup orang macam saya nak cari duit bagi makan anak isteri. Saya tak kerja satu hari tapi nak kena bayar sewa teksi RM45. Syarikat tak tanya awak boleh bawa teksi ka semalam? Syarikat tidak peduli ada demonstrasi atau tidak. Saya ni orang cari makan, ada anak isteri, mereka semua tu politik. Jadi macam ni bukan orang macam saya saja yang susah, ramai lagi yang susah. Sedih bang. Semalam, orang kita dah tak hormat polis, dia belasah polis macam orang gila. Sedih tengok Melayu sekarang. Orang Melayu dah tak bersatu.

Semua ni sebab nak menang pilihan raya,’’. Begitulah serba sedikit luahan rasa berdasarkan SMS dan perbualan singkat berhubung perhimpunan terkotor yang diadakan Sabtu lalu. Sebenarnya, perasaan malu, sedih, takut dan marah ada pada majoriti rakyat negara ini. Keluhan seumpama ini terutama oleh pemandu teksi telah diselak dalam ru-angan ini dalam siri Bersih 2.0 tahun lalu di-bawah tajuk Apabila Kuala Lumpur bertukar menjadi ‘Hulu Tembeling’ pada 11 Julai 2011.

Sudah banyak yang diperkatakan menge-nai keganasan semasa Bersih 3.0 ini. Tahniah kepada polis kerana masih ‘sabar’ menghadapi provokasi yang dilakukan oleh peserta yang bukan sahaja orang muda tetapi juga warga emas dan kanak-kanak. Amat malang, perasaan hormat terhadap anggota pasukan keselamatan sudah hilang. Polis terpaksa ber-hati-hati untuk bertindak kerana ramai yang menunggu peluang untuk ‘membelasah’ sebarang ‘kesilapan’ polis. Polis akan dipersalahkan dengan bersandarkan alasan seperti hak demokrasi dan hak asasi manusia. Inilah modal paling popular jika polis melakukan ‘kesilapan’. Sebenarnya awal-awal lagi perasaan hormat terhadap polis sudah tidak ada apabila mereka berdegil ke Dataran Merdeka sedangkan polis sudah mendapatkan perintah tidak boleh mengadakan perhimpunan di situ. Pilihan diberi iaitu di stadium. Tetapi lokasi stadium ditolak atas alasan notis yang singkat. Alasan ini tidak masuk akal. Kita bukan berada di zaman batu yang tidak ada kemudahan menyalurkan maklumat dengan pantas. Pada perhimpunan yang lalu juga, ditawarkan stadium tetapi Dataran Merdeka juga yang mereka rempuh.

Mungkin jika ia berlangsung dalam stadium, keadaan lebih terkawal. Anak-anak yang diheret ibu bapa lengkap dengan baju kuning juga tidak menjadi mangsa. Kita marah apabila mendengar anak-anak didera di rumah oleh ibu bapa atau pembantu rumah tetapi membawa anak-anak ke perhimpunan haram itu lebih teruk daripada mendera anak di rumah. Adakah ibu bapa seumpama ini tidak boleh dikenakan tindakan kerana mendedahkan anak-anak mereka kepada bahaya yang tidak dijangka? Ingatlah perhimpunan seumpama itu tidak pernah berakhir dengan aman. Di dalam perhimpunan seumpama itu akan ada manusia yang sama ada melalui tindakan, perbuatan atau kata-kata mampu mencetuskan provokasi membakar semangat sehingga mendorong manusia bertindak kurang siuman, berlaku kurang ajar dan biadab. Maka itulah yang terjadi pada Bersih 3.0 yang mulanya dengan slogan Duduk dan Bantah bertukar menjadi Bangun dan Rempuh.

Perhimpunan kelmarin yang juga diadakan di beberapa negeri dan negara adalah lebih menjurus kepada ‘perjuangan memenangi pilihan raya’. Pilihan raya umum (PRU) di Malaysia digambarkan penuh dengan peni-puan sedangkan hakikatnya pada 2008 pakatan 3P – DAP, Pas, PKR memenangi lima negeri – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan. Adakah kemenangan itu juga satu penipuan?

Kita tidak akan terkejut jika selepas ini akan ada lagi ‘acara’ sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan kuasa. Lebih-lebih lagi masa yang semakin suntuk menjelang selewat-lewatnya setahun pembubaran Dewan Rakyat (jika memenuhi tempoh lima tahun), mereka yang mengimpikan kuasa Putrajaya akan melakukan apa sahaja demi untuk ke-menangan. Bagi mereka yang sudah terbayang kuasa di depan mata, soal tindakan mengikut adab, budaya, tata susila mengikut kehendak Islam akan ditolak ketepi. Apa yang penting matlamat dapat dicapai. Dunia dapat melihat ‘kepincangan’ yang berlaku di Malaysia dan seolah-olah ia sama seperti berlaku di Mesir atau Syria. Itulah perjuangan dan strategi memenangi pilihan raya. Dan seperti biasa, pihak berkuasa akan dipersalahkan dan mereka yang bertanggungjawab menganjurkannya akan ‘cuci tangan’ sampai bersih.

UMA300412012C001

Related posts

Leave a Comment