HUJUNG minggu lalu, bermulalah perjalanan Tren Enam Gerabak (SCS) atau dikenali juga sebagai MyKomuter. Walaupun hanya baru empat set SCS beroperasi, sekurang-kurangnya sudah nampak ‘lorong cahaya’ yang bakal memberi harapan baru dan keselesaan kepada pengguna. Sudah lama pengguna komuter ‘menderita’ dengan komuter tiga koc yang sering padat dengan manusia, isu kelewatan dan pembatalan tren (tidak mengikut jadual) dan tempoh menunggu yang terlalu lama. Seperti yang pernah diselak dalam beberapa isu Selak sebelum ini (sejak 2009), khidmat komuter ketika ini umpama muatan bas mini suatu masa dulu. Bezanya bas mini berada di atas jalan raya yang memberinya kebebasan bergerak. Jika laluan utama sesak, bas mini akan melencong atau ‘mencelah’ di tengah-tengah kesesakan.
Pergerakannya lebih pantas walaupun muatannya terlebih. Tetapi pergerakan komuter terbatas di landasan. Jika sesuatu berlaku ke atas landasan atau menghadapi gangguan bekalan elektrik, maka komuter akan ‘tersadai’ yang secara tidak langsung menjejaskan operasi hariannya. Namun, Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) tidak pernah berputus asa untuk memperbaiki keadaan walaupun pada masa yang sama pengguna semakin ‘terseksa’ dengan perkhidmatan yang diberi.
Menyelak kembali secara ringkas sejarah perkhidmatan kereta api di negara ini, ia bermula dengan pembukaan landasan per-tama sepanjang 12.5 kilometer (km) dari Taiping ke Port Weld (Kuala Sepetang), pada 1 Jun 1885. Kini sudah ada landasan ber-kembar. Menarik juga untuk diselak serba sedikit ialah perkembangan kereta api yang bermula dengan lokomotif wap sehinggalah era tren berkuasa elektrik. Lokomotif Wap Kelas T yang pertama dari England diterima pada 1929 dan kali terakhir beroperasi pada 1964. Jika tidak silap, kita boleh melihat lokomotif ini di Muzium Negara. Pada tahun 1965, muncul pula Lokomotif Diesel Hydraulic Kelas 21, keluaran Kisha Seizo Kaisha Ltd. dari Jepun dan kali terakhir digunakan pada tahun 1994. Pada 1997, Electric Multiplee Unit (EMU) Kelas 83 diterima dari Korea Selatan. Tren janaan kuasa elektrik keluaran Syarikat Marubeni/Hyundai Corporation ini masih beroperasi sehingga kini untuk perkhidmatan komuter.
Pada Disember 2009, KTMB menerima Electric Train Set (ETS) Kelas 91 keluaran Hyundai-Rotem Corporation dari Korea Selatan. ETS yang mampu bergerak pada ke-pantasan 160km/jam beroperasi bagi laluan Seremban-Kuala Lumpur-Ipoh.
Dan kini, secara berperingkat sehingga Jun ini, pengguna komuter bakal menikmati perkhidmatan yang lebih cekap melalui SCS yang mampu membawa sehingga 1,100 pengguna bagi perjalanan sehala berbanding 400 orang sekarang. Secara keseluruhan, KTMB akan memiliki 38 set Tren SCS bernilai RM1.894 bilion. KTMB sudah menerima 16 set dan baki 22 set lagi akan diperoleh secara berperingkat sehingga Jun ini. Perkhidmatan ini merupakan sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam bandar.
Dengan kehadiran SCS, buatan Syarikat Zhuzhou Electric Locomotive Company (ZELC) dari China itu, KTMB merancang melaksanakan jadual ketibaan setiap 10 minit pada waktu puncak apabila semua set
Tren SCS digunakan. Ketika ini waktu menunggu 30 minit kecuali pada waktu puncak pada sebelah pagi dan petang. Kadang-kadang waktu menunggu boleh mencecah sehingga satu jam atau lebih apabila berlaku kelewatan dan pembatalan tren.
Terdapat beberapa ciri istimewa dalam SCS seperti ruang tempat duduk dan berdiri yang lebih ergonomik, tiga baris ruang pemegang untuk pengguna berdiri serta ruang kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) yang lebih luas dan selesa. Terdapat juga tiga unit kamera litar tertutup pada setiap koc, tangga kecemasan serta sistem pengudaraan yang lebih baik.
Justeru sementara menunggu Jun ini yang dikatakan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, diharapkan penumpang atau pengguna tetap komuter dari Sungai Gadut-Rawang dan Pelabuhan Klang-Batu Caves dapat bersabar.
Apa yang penting, kerajaan sudah memberi perhatian terhadap masalah pengguna komuter termasuk golongan kakitangan awam dan swasta, pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Mereka termasuk penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta banyak lagi kolej swasta. Merekalah yang sering menjadi ‘mangsa’ perkhidmatan yang tidak selesa ini.
Pastinya kerajaan sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat. Keluh-kesah ini tidak boleh dibiarkan dibawa pulang oleh anak-anak perantau di Lembah Klang ke kampung halaman mereka sehingga menimbulkan rasa tidak kurang senang ibu bapa, saudara mara di kampung yang kemudian menterjemahkan protes melalui undi. Biarlah keluhan warga Lembah Klang diselesaikan segera dan cerita baik mengenai usaha kerajaan menyelesaikan masalah rakyat akan tersebar di seluruh pelusuk negara.
Semoga, menjelang Jun ini tidak ada lagi cerita buruk mengenai komuter. Dengan ‘nama baru’ MyKomuter, diharapkan ia dapat ‘memadam’ pengumuman yang ‘ditakuti’ penumpang seperti ‘tren mengalami kelewatan’, ‘tren dibatalkan’. Begitu juga dengan muatan umpama ikan sardin, pintu komuter tidak dapat dibuka, pendingin ha-wa sama ada tidak berfungsi atau gagal berfungsi dengan baik, tren ‘bocor’, terkandas atau tertahan di landasan dan macam-macam lagi.
Biarlah MyKomuter menjadi pengangkutan pilihan pada masa depan.
UMA120312010C001