Belajar bersyukur dengan kestabilan negara

MENJELANG pilihan raya umum, macam-macam hal berlaku dalam politik. Sama ada UMNO, MCA, Gerakan, MIC, DAP, PKR dan Pas, semuanya ada cerita baik dan buruk. Pemimpin pula ghairah mengeluarkan kenyataan yang ada ketikanya ‘memakan’ diri dan parti. Ada juga yang mengeluarkan kenyataan bertaraf merapu kerana inginkan ‘pengaruh politik’. Akhirnya kenyataan itu umpama meludah ke langit terkena batang hidung sendiri malahan ada yang sanggup menjilat ludah sendiri. Bagi yang mendapat kuasa pula, ada yang seperti beruk mendapat bunga dan lebih teruk seperti tikus membaiki labu. Ahli-ahli parti bolehlah membuat penilaian walaupun ada yang tegar jika dicelup dengan ‘pembersih’ sekalipun tidak akan berubah pendirian mereka. Tidak ramai yang rela mengakui kesilapan sebaliknya akan berusaha ‘membetulkan’ kenyataan itu. Seolah-olah, merekalah manusia yang bersih, ikhlas, jujur dan tidak silap. Itulah politik.

Apa pun minggu ini Selak ingin melupakan sejenak politik dalam negara. Sebaliknya ingin menyelak sedikit ‘politik’ di luar yang juga amat penting. Semasa di Mesir awal bulan lalu, penulis berpeluang menemui ramai pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sana. Kebetulan, ketika itu, kebanyakan mereka sedang bercuti. Sempat juga menziarah rakyat Malaysia yang menetap di sana walaupun tidak layak mendapat kerakyatan. Lebih mudah lagi kerana delegasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang diketuai, Aziz Jamaludin Mhd Tahir itu tinggal di asrama pelajar iaitu Rumah Kedah. Maka lebih mudah mengenali mereka. Ada pelajar yang baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi para anbia itu dan ada juga yang sudah hampir selesai pengajian. Sebahagian besar daripada mereka juga ada yang terpaksa pulang ketika rusuhan setahun yang lalu sehingga membawa kejatuhan Presiden Hos-ni Mubarak. Namun mereka kembali semula ke Kaherah untuk meneruskan pengajian. Bagaimanapun mereka lebih berhati-hati kali ini kerana Mesir sedang dalam pemulihan. Bagi pelajar Malaysia, mereka masih berdepan dengan pelbagai risiko berikutan banyak kejadian jenayah yang turut melibatkan orang luar sebagai mangsa. Begitulah risiko berada di rantau orang. Tetapi apa yang penting semangat untuk belajar tetap ada. Malahan ‘wajah-wajah baru’ yang ditemui tidak terasa bimbang dengan keselamatan di sana.

Rata-rata pelajar yang ditemui menun-jukkan semangat yang kuat dan tidak bimbang dengan apa yang berlaku di Mesir sebelum ini. Dengan kira-kira 11,000 pelajar Malaysia, ternyata Mesir menjadi tumpuan anak-anak Melayu Islam untuk ‘menggali’ ilmu khususnya di Universiti Al-Azhar. Bayangkan jika sesuatu berlaku kepada Mesir. Apa yang akan terjadi kepada anak-anak Melayu ini? Bagaimana mahu belajar jika negara itu tidak tenteram?

Terkini tentulah pelajar Malaysia di Syria, negara Arab yang turut bergolak. Kementerian Pengajian Tinggi sudah pun mengeluarkan amaran bahawa pihaknya tidak akan bertanggungjawab ke atas keselamatan pelajar Malaysia di sana sekiranya mereka enggan dibawa pulang atau dipindahkan ke Jordan. Pelajar-pelajar telah dihubungi dan dimaklumkan mengenai risiko yang bakal dihadapi jika terus berada di negara yang sedang bergolak itu. Malaysia mempunyai 400 pelajar di Syria dengan 222 orang telah dibawa pulang sementara 178 lagi masih berada di sana.

Itu keadaan di Syria.

Seperti di Mesir, kita mengharapkan kemelut di Syria juga akan berakhir. Sama-samalah kita mendoakan agar kestabilan politik berlaku di negara-negara itu yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar Malaysia.

Di Malaysia, ramai juga pelajar dari luar negara yang datang menuntut ilmu. Tetapi mereka yang berada di sini tentunya lebih bertuah. Mereka selamat berbanding dengan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara. Jarang kita mendengar, pelajar luar negara di Malaysia mengalami musibah atau terganggu pelajaran disebabkan pelbagai masalah. Hanya segelintir pelajar yang mendapat musibah. Itu pun disebabkan mereka menyalahgunakan pas pelajar. Lebih mendukacitakan apabila mereka terlibat dalam kes jenayah. Tidak pasti apakah tujuan mereka datang ‘belajar’ di sini.

Sebenarnya, banyak masalah yang timbul jika sesebuah negara tidak stabil. Pelajaran anak-anak kita terganggu. Ibu bapa juga risau dengan keselamatan anak-anak mereka selagi keamanan mutlak tidak dapat dicapai. Pendapatan hasil pelancongan juga merosot. Di Mesir contohnya, kemerosotan pelancong amat terasa. Tidak ramai pelancong berkunjung ke pusat tumpuan seperti Piramid, Sungai Nil dan Iskandariah. Mungkin pelancong belum yakin dengan suasana di sana. Begitulah pentingnya kestabilan sesebuah negara.

Justeru, janganlah kita persiakan kestabilan yang ada. Bersyukurlah!

UMA050312010C001

Related posts

Leave a Comment