MINGGU ini umat Islam memasuki 10 malam terakhir Ramadan, dianggap minggu kemuncak sebelum Syawal menjelang tiba. Sewajarnya, pada malam-malam terakhir ini, masjid dan surau semakin dipenuhi umat Islam untuk solat tarawih, witir serta melakukan pelbagai amal ibadat lain dalam mencari keberkatan Lailatulqadar.
Malangnya ketika ini jumlah saf semakin berkurangan. Jika pada awal Ramadan, safnya melimpah hingga ke luar dewan solat utama tetapi hari ini keadaan sudah berubah. Ramai yang sibuk dengan persiapan menyambut hari raya dan memenuhi undangan berbuka puasa. Pada minggu terakhir ini juga, ramai yang terbayangkan lambaian kampung halaman. Laungan selawat ‘ditenggelami’ lagu-lagu hari raya. Dan hari ini juga bermula Ops Sikap yang akan dikenali dengan nama baru.
Bagi yang pulang ke kampung menggunakan pengangkutan awam – bas atau kereta api – sudah tentu telah mendapatkan tiket sejak awal lagi. Bagi pengguna kereta api, pastinya ramai yang lega dengan jaminan Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) yang bersedia menangguhkan ‘kerja ikut peraturan’ berikutan krisis yang berlaku dengan Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan.
Semoga kesediaan mereka ini akan melancarkan perjalanan orang ramai balik kampung. Sesungguhnya tugas mereka memudah dan melancarkan perjalanan orang ramai pulang ke kampung merupakan satu ibadah dan tanggungjawab besar.
Namun menyentuh soal perkhidmatan kereta api ini, apa yang belum selesai sehingga hari ini adalah mengenai perkhidmatan komuter. Baru-baru ini di stesen Bangi, ada rungutan mengenai bayaran letak kereta RM3 dan RM1 (motosikal). Setelah sekian lama percuma, tiba-tiba pengguna komuter dikenakan bayaran. Adakah ini wajar?
Harus diingat salah satu tujuan pengenalan komuter adalah bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam dan mengurangkan beban pengguna yang menanggung pelbagai kos membawa kenderaan ke tempat kerja.
Bagaimanapun bayaran tempat letak kereta menjadi bebanan baru. Ada yang berkata, langkah itu disebabkan penutupan parkir di Serdang sehingga tahun depan untuk dibina tempat letak kereta baru menyebabkan pihak berkenaan kehilangan hasil. Akhirnya Bangi menjadi ‘mangsa’. Itu rungutan terbaru pengguna.
Mengenai perkhidmatan komuter, sejak kebelakangan ini, banyak rungutan yang dilontarkan oleh pengguna. Ini jelas menunjukkan kekecewaan yang teramat sangat. Namun semuanya hanya tinggal rungutan. KTMB tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah ketibaan koc baru, khabarnya awal tahun depan. Maka sehingga tempoh itu, penumpang harus banyak bersabar, lebih-lebih lagi pada bulan puasa ini. Tetapi apakah KTMB tidak mampu lagi melakukan sesuatu? Sejak kebelakangan ini, cerita para penumpang ‘terperangkap’
dalam koc sering didengari.
Isu berkaitan perkhidmatan komuter ini bukanlah perkara baru. Penulis sudah beberapa kali menyelak isu ini. Paling akhir pada 2 Mei 2011 di bawah tajuk Ibarat memilik nafsu besar tetapi tenaga kurang.
Komuter kini umpama bas mini yang pernah mewarnai Kuala Lumpur satu ketika dulu. Sentiasa padat dengan penumpang.
Di samping itu, banyak masa penumpang terbuang begitu sahaja di stesen komuter. Cuba lihat situasi di bawah ini. Hampir pukul 2.32 petang, anda tiba di stesen dan kebiasaannya anda tidak perlu beratur membeli tiket di kaunter atau mesin. Anda memiliki kad Touch n‘Go. Komuter tiba pada masa itu dan anda yakin dapat memasuki koc itu.
Malangnya sistem Touch ‘n Go tidak berfungsi. Di kaunter tidak ada petugas, di mesin pasti bermasalah. Tidak ada wang kecil. Akhirnya anda terlepas komuter itu. Maknanya anda terpaksa menunggu 30 minit lagi untuk mendapat komuter berikutnya, 3.05 petang. Tetapi tiba-tiba diumumkan, tren berikutnya (3.05 petang) dibatalkan!
Maknanya masa menunggu meningkat kepada satu jam. Kadangkala sikap tidak mesra pelanggan amat mengecewakan. Tidak ada pengumuman mengenai di mana komuter itu berada. Apa salahnya diumumkan kedudukan tren itu dari semasa ke semasa, sekurang-kurangnya memberi keyakinan kepada penumpang yang lama menunggu bahawa tren itu pasti muncul.
Pada kebiasaannya apabila berlaku penangguhan atau pembatalan tren, jumlah penumpang akan meningkat secara mendadak. Ketika itulah suasana di dalam koc bagaikan ikan dalam tin sardin. Jika bernasib baik, anda mampu memasuki tren, jika tidak, tunggulah setengah jam berikutnya, itu pun jika anda yakin tren itu akan muncul setengah jam lagi.
Di dalam koc pula suasana bertambah panas kerana pendingin hawa tidak berfungsi atau sekadar ada. Mungkin kes ini terpencil tetapi pengguna tetap sering mengalami pengalaman yang sama.
Kita tidak mahu komuter bertukar menjadi perangkap maut. Di dalam komuter, ada bermacam manusia bukan sekadar orang kita Melayu, Cina atau India. Warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Pakistan, Afrika, Arab serta orang ‘putih’ dan macam-macam lagi boleh dilihat memenuhi komuter. Di dalam koc, ada yang bersin, batuk, mata merah dan macam-macam lagi. Mereka duduk berhimpit-himpit. Macam-macam bau. Jika kenderaan lain ada had jumlah penumpang tetapi tidak pasti apakah komuter boleh ‘disumbat’ selagi ada ruang untuk kaki berpijak di lantai?
Tidak dapat dibayangkan, apabila suasana sesak begini tiba-tiba komuter rosak di pertengahan landasan. Mungkin ada yang sesak nafas kerana tidak tahan dengan suasana di dalamnya. Apakah KTMB bersedia dengan langkah-langkah keselamatan bagi menghadapi situasi ini? Apakah jaminan perkhidmatan awam seperti komuter ini tidak menyebarkan pelbagai penyakit?
Justeru jangan biarkan komuter menjadi perangkap maut. Sesuatu perlu dilakukan. Jangan biarkan pengguna terus merungut sehingga menimbulkan kemarahan yang kesannya akan ditanggung kerajaan.
KTMB terus ghairah mahu memanjangkan destinasinya. Jika dulu hanya laluan Rawang-Seremban atau Pelabuhan Klang-Sentul tetapi kini Rawang-Sungai Gadut dan Pelabuhan Klang–Batu Caves. Destinasi yang bertambah akan melibatkan masa menunggu penumpang. Dengan tiga gerabak – satu untuk wanita – maka dua gerabak seringkali tidak mampu menampung jumlah penumpang yang meningkat.
KTMB harus sedar bahawa seperti jalan raya di ibu negara, sudah tidak ada istilah waktu puncak. Jalan raya sering sesak tanpa mengira masa. Begitu juga dengan komuter, sentiasa sesak lebih-lebih lagi di laluan yang mempunyai institusi pengajian tinggi awam/swasta dan pusat membeli-belah. Akhirnya kepada KTMB, sekurang-kurangnya dengarlah rintihan Rohani Hashim, KL Sentral seperti disiarkan dalam Forum Utusan pada 18 Ogos lalu! Katanya, sudah dua Perdana Menteri meninjau perkhidmatan itu. Isunya, apakah hasil tinjauan itu?
SELAMAT JALAN PAK LANG AZIZI
SEMALAM, penulis menerima khabar duka mengenai pemergian Azizi Haji Abdullah. Di kalangan penulis dan rakan-rakan yang pernah bertugas di pejabat Bintang Timur dan Utusan Malaysia di Jalan Argyll, Pulau Pinang, Allahyarham sangat mesra dengan kami. Kami memanggilnya Pak Lang. Allahyarham sering singgah di pejabat untuk bertanya khabar dan menulis karyanya. Banyak cerita suka dan duka dikongsi bersama. Salah satu yang masih dalam ingatan bagaimana Allahyarham sanggup ke mahkamah kerana tidak puas hati disaman atas kesalahan melanggar lampu isyarat. Pastinya pemergian Allahyarham amat dirasai oleh semua yang mengenalinya. Kepada keluarga Allahyarham, bersabarlah. Semuanya ini sudah ketentuan Allah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah!
UMA220811010C001