‘Kerana mu Merdeka, ku nikmati Aidilfitri’

RAMADAN sudah tiba di penghujungnya. Ramai warga kota kini berada di kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Buat seketika, ibu negara sepi daripada kesesakan lalu lintas dan kebanjiran manusia yang sibuk menjalankan aktiviti seharian. Cuti panjang hari raya yang dijadualkan esok, disusuli Hari Kemerdekaan Ke-54 lusa menyebabkan suasana lebih meriah. Namun tidak semua bercuti pada hari raya. Masih ramai yang bekerja bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati Aidilfitri dalam suasana aman dan memastikan segala ‘urusan kehidupan’ berjalan lancar. Tidak mungkin semuanya bercuti atau ‘tutup kedai’. Penulis juga bekerja pada hari raya pertama. Jika esok hari raya, maka hari ini hari terakhir kita berpuasa dan malam ini tiada lagi solat tarawih. Syukurlah bagi mereka yang dapat menyempurnakan Ramadan kali ini dan memenuhinya dengan amalan ibadat termasuk membaca al-Quran, qiamullail, solat sunat serta melakukan kebajikan. Bertuahlah mereka yang menemui Lailatulqadar. Semoga kita ketemu lagi Ramadan akan datang. Diharapkan semangat Ramadan akan terus menyala bukannya terpadam bagaikan terpadamnya pelita atau lampu hiasan yang menyerikan malam-malam menjelang Aidilfitri. Semoga surau dan masjid tetap dipenuhi ketika solat lima waktu dan dipenuhi tazkirah, tahlil dan sebagainya. Anak-anak yatim yang mendapat perhatian sepanjang bulan puasa juga jangan dipinggirkan selepas Ramadan berakhir.

Kepada yang masih belum pulang ke kampung, diucapkan selamat berangkat.

Sebelum meninggalkan ibu kota, jangan lupa menunaikan zakat fitrah. Firman Allah SWT yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) At-Taubah 9:103.

Dan jangan lupa keselamatan rumah yang ditinggalkan. Kita tidak mahu apabila balik dari kampung, rumah kosong disebabkan isi di dalamnya dikebas penyamun. Semoga Allah melindungi keselamatan dan kesejahteraan anda sekeluarga. Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran. Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa‘I menyebut: Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.

Syukurlah kerana kita dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana aman damai. Semuanya hasil kemerdekaan negara. Ketika beberapa negara Islam dilanda perang saudara atau diserang musuh, kita dapat menjalani ibadah puasa dan berhari raya dengan sempurna. Seorang sahabat, Haji Ismail Saad dari Terengganu berkata, ketika bedil kedengaran di negeri itu, ia menandakan masuknya waktu berbuka. Pada masa yang sama pelbagai juadah terhidang. Tetapi bedil di Palestin atau di negara bergolak menandakan tentera Yahudi atau musuh menceroboh. Mereka berpuasa dalam suasana tidak tenteram dan serba kekurangan.

Malahan ada yang berebut-rebut mendapatkan sekeping roti atau makanan ketika waktu berbuka. Tetapi di negara kita jenuh dengan makanan. Setiap petang di bazar Ramadan, penuh dengan pengunjung. Dihotel bertaraf lima bintang, penuh orang ramai yang berbuka puasa. Kadangkala dalam memenuhi nafsu ketika berbuka, ada makanan yang tidak termakan sehingga menjadi habuan tong sampah.

Lebih menyedihkan ada umat Islam minoriti di luar negara dilarang berpuasa dan beribadah pada bulan Ramadan. Begitulah suasana di beberapa negara di dunia sama ada penduduk Islam sebagai majoriti atau minoriti. Semoga pengalaman pahit di negara orang itu tidak berlaku di sini.

Justeru, insaflah bahawa suasana yang kita nikmati hari ini tidak datang bergolek. Semuanya adalah hasil kemerdekaan negara. Penulis tertarik dengan kiriman sekeping kad ucapan selamat hari raya daripada pengendali lebuh raya DUKE yang tertera perkataan Kerana Mu Merdeka, Ku Nikmati Aidilfitri. Memang tepat, tanpa kemerdekaan entah apalah nasib kita. Adakah kita mampu menikmati suasana Aidilfitri seperti hari ini jika negara dijajah dan bergolak? Atau jika merdeka tetapi kepimpinannya tidak cekap mentadbir sehingga menimbulkan kemarahan rakyat? Hari ini kita dapat lihat satu persatu negara Islam jatuh ke tangan ‘pemberontak’. Sungguh malang mengenangkan nasib negara-negara Islam ini. Ia tidak berlaku di Barat.

Dalam suasana Aidilfitri dan merdeka ini, marilah kita perkukuhkan perpaduan.

Selaklah kembali perjalanan kemerdekaan kita. Janganlah kerana politik dan kuasa, ada di antara kita mahu mencipta sejarah baru musuh yang ditentang oleh generasi terdahulu diangkat sebagai hero, pahlawan yang menentang penjajah/pengganas pula dianggap musuh. Usahlah kerana mabuk kuasa, kita mudah lupa atau buat-buat lupa dengan sejarah kemerdekaan. Sesudah 54 tahun merdeka, jangan kita merapu seperti orang gila meroyan. Jangan dirosakkan imej Malaysia disebabkan kerakusan politik. Nama Malaysia sememangnya dikagumi negara luar. Seorang sahabat, Mejar Zainal Abidin Husin (bersara) dari Kuala Lumpur, yang baru pulang dari Mekah, memberitahu beliau menghadapi masalah pasport di lapangan terbang Jeddah. Kecoh seketika. Tetapi akhirnya pegawai Arab berlembut dan berkata ‘Malaysia bagus’.

Amat malang jika kita sendiri di negara merdeka ini gagal menghargai nikmat yang ada di negara ini.
Akhir kalam, Selak ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca. Maaf jika Selak selama ini terselak atau menyelak isu-isu yang kurang menyenangkan pembaca. Terima kasih kepada mereka yang menghantar ucapan selamat hari raya melalui kad, khidmat pesanan ringkas atau e-mel. Maaf jika tidak sempat membalasnya. Sepuluh jari dihulurkan, segala kekhilafan mohon dimaafkan. Semoga Syawal ini hubungan silaturahim sesama kita dapat diperkukuhkan. Maksud hadis Nabi SAW riwayat Al-Imam At-Tarmizi: Hubungan silaturahim adalah jalinan daripada Tuhan yang pengasih. Siapa yang menyambungnya, Allah juga berhubung dengannya dan siapa yang memutuskannya, Allah memutuskan hubungan dengannya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Hari Kemerdekaan. Kerana mu Merdeka, ku nikmati Aidilfitri!

UMA290811012C001

Related posts

Leave a Comment