Menang dulu kerusi PRU, baru pakat cerita soal jawatan

RAMADAN sekali lagi mengundang pelbagai isu yang menarik perhatian umat Islam. Setiap kali Ramadan, timbul cerita restoran dan hotel yang menyediakan juadah berbuka puasa sama ada halal atau tidak. Isu harga juadah berbuka nampak reda sedikit. Mungkin ramai yang sudah tidak peduli dengan harga kerana poket sudah selesa. Isu halal haram sebelum ini ‘panas’ disebabkan cara penyediaan dan penggunaan bahan tertentu yang disahkan tidak halal. Bagaimanapun kali ini agak mendukacitakan apabila ada pihak yang berani menjadikan daging babi salah satu hidangan Ramadan.

Biar apa pun alasan, menyenaraikan daging babi sebagai juadah berbuka adalah perbuatan melampau yang jelas menunjukkan mereka tidak sensitif dengan Islam. Mungkin akan ada yang berkata, umat Islam boleh membezakan mana yang halal dan haram tetapi apakah muslihat memasukkan sesuatu yang haram dalam senarai juadah berbuka puasa? Sukar untuk menerima alasan tersilap, terlepas pandang atau tidak tahu bahawa babi dan arak haram bagi orang Islam. Semoga isu ini menjadi pengajaran untuk semua pihak menjaga sensitiviti sesuatu kaum terutama orang Melayu-Islam.

Pada tahun ini juga, Pulau Pinang terus membawa cerita menarik sempena Ramadan serta aktiviti masyarakat Islam di negeri bawah naungan DAP itu. Sejak DAP memerintah, setiap kali Ramadan ada saja cerita dan kontroversi yang tercetus di negeri pimpinan DAP-PKR-Pas ini. Rasanya tidak perlulah diselak kembali apa yang berlaku di negeri itu pada Ramadan sebelum ini. Jika dulu isu bazar Ramadan tetapi kali ini isu larangan masjid dan surau memperdengarkan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh. Pelbagai pandangan diberi. Ada pro dan kontra. Tidak pasti sejauh mana fatwa Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang itu akan diikuti dan apa pula tindakan yang bakal diambil sekiranya fatwa itu tidak dipatuhi. Sebelum ini pun khabarnya fatwa merokok itu haram sudah diwartakan di Pulau Pinang tetapi umat Islam masih bebas merokok.

Menarik juga di Pulau Pinang ialah mengenai isu jawatan ketua menteri (KM) dan kisah Presiden Gerakan, Dr. Koh Tsu Koon yang sebelum ini pernah menjadi KM Pulau Pinang ‘dibelasah’ pelbagai pihak.

Pada pilihan raya umum lalu (PRU), Tsu Koon menerima kekalahan yang memalukan. Beliau bukan sahaja tewas di kerusi Parlimen Batu Kawan (majoriti 9,485 undi) tetapi Pulau Pinang ‘hanyut’ kepada DAP. Tidak pasti sejauh mana Tsu Koon sudah bersedia untuk memimpin jentera PRU akan datang. Adakah beliau kini begitu selesa dengan jawatan menteri Kabinet? Adakah beliau sudah bersedia memimpin Gerakan untuk bangkit semula? Berdasarkan ‘serangan’ yang dilakukan ke atasnya, Gerakan serta BN perlu melakukan sesuatu supaya sejarah 2008 tidak berulang.

Menjelang PRU Ke-13, parti-parti politik mula mencari pengaruh sama ada untuk mengekalkan kuasa atau merebut kuasa. Sudah ada pihak yang terasa tergugat dengan kedudukannya dan mula mereka-reka cerita mungkin untuk menyelamatkan kedudukan. Antara cerita menarik ialah mengenai jawatan KM Pulau Pinang. Menurut laporan, KM sekarang, Lim Guan Eng khabarnya mengeluarkan kenyataan memberi gambaran kononnya wakil UMNO akan menjadi KM jika BN menang kali ini. Kenyataan seperti ini samalah seperti orang yang tidak faham bahawa babi itu haram bagi orang Islam. Maka tidak hairanlah, ada yang menyifatkan kenyataan berkaitan isu KM UMNO ini lebih kepada politik perkauman. Adalah mustahil wakil UMNO akan menjadi KM kerana sejarah memperlihatkan bagaimana semangat BN yang tidak mengganggu jawatan KM disandang oleh rakan-rakan komponen lain dari BN selain UMNO.

Dan setakat ini MCA dan Gerakan telah diberi tanggungjawab itu. Maka kenyataan berkaitan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman akan dilantik sebagai KM Pulau Pinang jika BN kembali memerintah sebagai kenyataan nakal, lucu dan bersifat perkauman. Golongan ini sudah kehabisan modal untuk memancing undi. Mereka ghairah dengan kuasa dan jawatan kerana tidak mahu kehilangan kedua-duanya. Mereka sudah terasa nikmat menjadi orang yang berkuasa dan berjawatan, maka akan dicari segala modal politik untuk mengekalkan kuasa.

Justeru, tidak perlulah parti komponen BN terutama Gerakan dan MCA ‘melompat’ dengan cerita karut mengenai jawatan KM ini. Tidak pasti pula jika DAP yang khabarnya mahu menurunkan lebih ramai calon Melayu pada PRU akan datang bersedia memecah tradisi untuk memberi peluang orang Melayu sebagai KM Pulau Pinang. Jika ini berlaku, mungkin KM itu sekadar boneka yang boleh dikawal oleh parti induk.

Diselak kembali pengalaman lalu, UMNO Pulau Pinang bukanlah parti gilakan kuasa.

Contohnya, pada PRU 1990, UMNO memenangi semua 12 kerusi yang ditandinginya sementara Gerakan hanya lapan kerusi dan DAP menang 13 kerusi. Maka berdasarkan kedudukan itu, sudah tentulah UMNO sebagai parti komponen BN yang menang besar layak menduduki jawatan KM. Bagaimanapun jawatan itu diserahkan kepada Gerakan dan Tsu Koon dilantik menggantikan Dr. Lim Chong Eu yang tewas. Sebenarnya perkiraan politik yang dilakukan oleh BN berhubung jawatan KM ini adalah mengambil kira realiti politik di pulau itu. Tidak perlulah ada pihak yang temberang sebarangan mengenai jawatan itu.

Pada PRU 2008, MCA dan MIC gagal memenangi sebarang kerusi sementara UMNO menang 11 kerusi. Ketika itu timbul persoalan sama ada UMNO perlu diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi BN Negeri tetapi atas semangat BN, jawatan itu tetap diberikan kepada Gerakan. Begitulah semangat kompromi dan menghormati status quo dalam BN.

Maka, usah dilayan cubaan untuk melagakan komponen BN. Soal siapa KM tidak penting. Apa yang penting bagaimana Tsu Koon atau Gerakan mahu memenangi semula hati pengundi-pengundi Cina di Pulau Pinang. Begitu juga dengan MCA dan MIC. Jangan lagi goyang kaki. Jika diselak kembali menjelang PRU 2008, Gerakan kalut dengan siapa mahu menggantikan Tsu Koon sebagai KM apabila beliau dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan. Beberapa nama disebut tetapi akhirnya semua ‘bakal KM’ itu tewas di gelanggang PRU.

Kini masa hampir tiba untuk menebus kembali kekalahan lalu. Apakah formula yang perlu disediakan bagi memastikan BN kembali memerintah? UMNO perlu menang semula empat kerusi DUN iaitu Permatang Pasir (Pas), Penanti, Sungai Bakap dan Batu Maung (PKR). Begitu juga MCA, Gerakan dan MIC, sekurang-kurangnya memenangi semula kerusi yang pernah mereka menangi walaupun laluan yang ada amat sukar.

Bagi Melayu Pulau Pinang, mereka sudah merasai ‘nikmat’ berada di bawah pentadbiran kerajaan DAP. Hanya yang terasa ‘terlalu nikmat’ atau ‘seperti tikus jatuh ke beras’ akan mempertahankan ‘kehebatan’ kerajaan DAP ini.

Pembangkang sudah tentu akan mencari jalan bagaimana mahu melemahkan jentera BN. Isu-isu yang boleh mencetuskan perbalahan antara komponen BN akan dicari supaya jenteranya dalam keadaan lemah dan tidak mampu menghadapi propaganda jentera DAP.

UMA150811010C001

 

Related posts

Leave a Comment